Laman Utama

 

FRONT PAGE

   

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2010 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

   
           
     

PERUBATAN DAN AMALAN PUASA

Produk HBI lebih sedekad di pasaran Malaysia.

  30 Ogos 2010, K. Lumpur        
                       
     

   Pada tengahari hari ini saya berkunjung ke hospital Putrajaya untuk menziarahi seorang suami sahabat bersama rakan setugas lain. Beliau baru saja empat hari mengalami kemalangan motosikal kerana dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah kenderaan yang menuju ke KLIA. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Hospital Putrajaya.

   Apa yang saya perhatikan ialah pesakit masih tidak sedarkan diri. Selama tiga hari dia telah diberi ubat penenang. Banyak maklumat mengenai keadaan mangsa disampaikan oleh ahli keluarga. Bahkan ayahnya yang datang dari Terengganu memaklumkan kalau-kalau diberi pilihan, dia akan mencuba rawatan homeopati. Dan sepanjang pemerhatian saya, semua simptom-simptom pesakit, beserta punca sakitnya, terpancar jelas bahawa dia akan menerima kesan paling baik hanya dengan remedi Arnica. Malahan dalam tempoh 4 hari hingga ke hari ini (ke lima) beliau tidak memerlukan remedi lain selain daripada Arnica.

   Selepas waktu 'asar, saya sempat mendengar ceramah daripada seorang pakar fizik, iaitu Prof Dato Dr Yusuff Haji Othman dari UKM, Bangi. Ceramahnya umum berkaitan Ramadan. Beliau amat tidak setuju dengan kecenderungan pakar perubatan hari ini yang menguar-uarkan kebaikan puasa dari sudut kesihatan sehingga terasa seolah-olah kita berpuasa kerana ingin sihat semata-mata. Inilah yang menjadi fokus kebanyakan media massa hari ini sama ada akhbar, tv radio, maupun internet. Bagi beliau, semua ini adalah sangat tidak wajar.

   Saya percaya beliau tidak menolak dari segi kesan puasa terhadap tubuh badan dan rohani manusia. Sudah tentu banyak kebaikannya. Bahkan itu pasti sebahagian daripada kaifiat puasa. Tetapi justeru bobokan media dan para doktor yang melampaui dari segi usaha memberi justifikasi amalan puasa dalam Islam, ini menyebabkan beliau agak emosional mempertahankan tujuan puasa.

   Saya percaya beliau betul. Sememangnya di dalam al-Qur'anpun Allah s.w.t sendiri menyebut tentang tujuan atau matlamat puasa, yakni supaya atau "moga-moga kamu bertaqwa". Justeru kesan-kesan positif puasa adalah kaifiatnya, bukan tujuan kita berpuasa. Sama halnya dengan kesibukan sesetengah para intelek yang cuba menunjukkan bahawa al-Qur'an adalah sebuah kitab saintifik dan mendahului penemuan-penemuan sains, yang kemudiannya membawa kepada lahirnya keperluan menilai semula Hadis dan Qur-an. Sedangkan tujuan al_Qur'an diturunkan adalah sebagai pembawa hidayah dan agar kita semua meningkatkan ketakwaan. Perkara ini kerap kali diingatkan oleh para ulama, termasuk Allahyarham Yusuf Zaky Yacob, penterjemah "Ma'alim fi Tarib" (Petunjuk Sepanjang Jalan) dan "Fi Zilalil Qur'an" (Di bawah Bayangan al-Quran).

   Bagaimanapun, apa yang menarik antara isi ceramah Dr. Yusuff Othman itu iaah teori yang beliau kedepankan berkaitan jenis dan sebab-sebab penyakit. Katanya, penyakit boleh dibahagikan kepada tiga atau empat. Pertamanya ialah penyakit fizikal, kedua penyakit akal atau minda, dan ketiga ialah penyakit rohani.

  Dalam jenis yang pertama, seseorang itu boleh (i) sakit disebabkan cedera atau kemalangan, (ii) disebabkan serangan mikroorganisma, spt bakteria atau virus, (iii) kerana kandungan bahan kimia yang tak sesuai dengan tubuh, (iv) organ tubuh tak berfungsi atau lemah, dan (v) justeru sakit tua (ageing). Meskipun beliau tidak menyebutkan kesemua ini pada ceramah ramadan, tetapi intisari inilah juga yang saya dengar semasa ceramah beliau di Masjid Persekutuan Jalan Duta beberapa bulan yang lalu.

   Kita tahu semua itu disimpulkan oleh Dr. Samuel Hahnemann dengan satu punca sakit sahaja, iaitu kelemahan tenaga hayat, melainkan sakit disebabkan kecederaan atau kemalangan. Mereka yang baru mendengar teori Dr. Hahnemann ini perlu membaca lebih dalam lagi untuk memahaminya (justeru saya tidak berniat untuk menerangkan di sini). Kerana itu, jika kita sakit kerana faktor-faktor di atas maka kita harus mencari ubatnya yang bersesuaian. Ia tidak akan sembuh dengan semata-mata puasa.

   Dan dalam ilmu homeopati, sekiranya kita menghadapi sakit atas sebab-sebab pertama, tentu kita harus bersedia dengan beberapa pilihan penawar seperti Calendula, Arnica, Bellis perennis, Rhus tox, Belladonna, Cantharis, Symphytum, dsbnya. Sekiranya kita diserang oleh jenis nyamuk tertentu yang membawa kepada denggi atau chikugunya, kita carikan simptom-simptom tambahan pesakit yang serupa dengan beberapa pilihan penawar seperti Acon., Arsen., Bell., Bryonia., Canthar., China., Eup-perforatum., Gelsemium., Ipecac., Nux-vomica., Rhus-tox., Rhus-ven. ataupun Ferrum phos dan Calcarea phos.

   Sakit tua tentulah tiada ubatnya seperti sabda RasuluLlah s.a.w. Namun simptom-simptom kemerosotan boleh dirawat. Demikian juga dengan mereka yang menghadapi sakit mental. Ia boleh dirawat berpandukan simptom-simptom yang jelas dan menyeluruh. Dr. Hahnemann sendiri telah menunjukkan kaedah merawat paling baik untuk pesakit mental bersama-sama dengan layanan yang baik. Bahkan homeopati paling berjaya menunjukkan keberkesanan rawatannya terhadap pesakit mental (pengalaman Dr.Hahnemann dan rakan-rakan).

   Hal ini (bagaimana mengenali dan merawat penyakit mental) dinyatakan oleh Dr. Hahnemann di dalam Organon para 210 hingga 230, sama ada penyakit mental itu mengalami komplikasi dengan penyakit kronik maupun tidak. Pada waktu yang sama beliau mengkritik keras kaedah yang digunakan pengamal alopati dalam merawat penyakit orang gila, baik dari sudut layanan maupun dalam penggunaan ubat-ubat kasar dadah yang tidak membantu. Malahan tindakan mereka itu menyebabkan pesakit bertambah parah dan makin sukar untuk disembuhkan, seperti usaha mereka membenamkan penyakit kulit.

   Demikianlah halnya dengan penyakit rohani. Apalagi yang boleh diharapkan sekiranya amalan satu-satu sistem perubatan itu berlandaskan prinsip sekular, yakni pemisahan di antara material dengan non-material. Hendak mempercayainya pun sukar, jadi bagaimana mahu dirawat. Sudah pasti di dalam sistem perubatan itu sendiripun tidak ada cara untuk merawat.

   Sedang homeopati sendiri (seperti perubatan Islam) meletakkan asas kepada rawatan itu ialah pada apa yang berada di dalam diri insan, iaitu tenaga hayat, yang berkait dengan hadirnya roh. Kerana itu Hahnemann pernah menyatakan tanpa roh ",... tanpa tenaga hayat, jasad itu mati." Hidup insan bukan bergantung pada denyutan jantungnya, hatinya atau sebarang organ material semata-mata. Ada suatu yang tidak tampak di sebaliknya.

 

Salam.

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

31 Ogos 2010.

HBI Health & Homoeopathy Centre

Emel: drhatta1@homeolibrary.com

 

 

 

     
                       
                       
                       
                       

homeolibrary version - web consultant 2010