Laman Utama

 LAMAN KONSULTAN HBI DRHATTA.COM 2008-9-10  

 

 

Sudah lama Dr tidak mengadakan interview online?

Ya. Tiada kesempatan.

Apa yang menyebabkan Dr sibuk?

Seperti biasa, soal kerja. Bagaimanapun usaha-usaha dalam homeopati masih diteruskan.

Apa yang Dr usahakan sekarang?

Sekarang saya mengusahakan kembali menyaring buku Dr. Samuel Hahnemann, Organon of Medicine.

Mengusahakan kembali? Apa maksud Dr.?

Ya. Saya telah tertinggal daripada usaha-usaha penyaringan sejak sekian lama. Kira-kira lima tahun dahulu usaha saya terhenti kerana sibuk dengan banyak urusan. Saya tumpukan kepada banyak perkara lain, kerana saya dapati buku Organon itu teramat sukar dan bahasanya terlalu klasik.

Sudah berapa banyak Dr terjemahkan?

Pada waktu itu saya telah menyaring sehingga 141 aphorism, tetapi terhenti. Kemudian saya menterjemah ringkasan Organon yang ditulis oleh Julian Winston. Yang itu saya lakukan sehingga selesai. Tulisan Julian Winston lebih mudah, seperti sewaktu saya terjemahkan petikan Organon daripada nota-nota The Britsih Institute of Homoeopathy. Terjemahan daripada nota British Institute itu yang saya masukkan ke dalam buku Perubatan Homeopati menarik minat ramai pembaca dan pengamal homeopati.

Selepas itu?

Saya berhenti lagi sehingga saya bersua dengan Dr. Suriya Othman di Hotel City Villa sewaktu seminar Ke Arah Pengiktirafan Pengajian Homeopathy Di Malaysia pada 30 mac tahun 2009. Saya ke seminar itu kerana menerima pelawaan Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia bagi pihak Malaysia Homoeopathy Virtual Institute.

Apa katanya?

Beliau meminta saya meneruskan usaha terjemahan. Saya menjawab mengatakan tak mampu kerana ia memerlukan banyak masa dan tenaga justeru bahasanya terlalu sukar. Lagipun, pulangannya tidaklah banyak berbanding dengan kerja keras yang terpaksa dicurahkan.

Dari situ beliau cuba memujuk dengan mengatakan "Buku perubatan harganya mahal. Ia bukan seperti buku biasa". Saya terima kenyataan beliau.

Habis tu, apa tindakan Dr?

Saya hanya terjemah dua lagi aphorism kepada 143, kemudian terhenti sekali lagi. Tetapi saya lengkapkan buku kamus yang tertangguh dan menerbitkan Kamus Istilah Perubatan Homeopati pada tahun 2009. Malangnya tahun itu adalah tahun yang tidak dapat saya lupakan.

Mengapa begitu?

Pada 21 Julai 2009, ayah saya meninggal. Antara orang yang selalu berbangga dengan pencapaian saya dalam pendidikan dan homeopati pergi, dan saya menjadi serba salah.

Ya, begitu ke?

Ya. Saya masih ingat ketika buku pertama Perubatan Homeopati saya keluar dulu, dia meminta beberapa buah untuk ditunjukkan dan dihadiahkan kepada rakan-rakan beliau. Itu pada tahun 1997. Dia juga telah membawa saya dan buku tersebut untuk berjumpa arwah Yusof Zaky Yacob, rakan beliau dan pengarang ilmu psikologi dan agama yang tersohor.

Ya. Beliau pemilik Syarikat Dian yang popular dengan Majalah Dian dan Pengasuh suatu waktu dulu.

Kemudian pada tahun ini beberapa kejadian berlaku yang meruntun saya seperti tahun sebelumnya. Saya dapati banyak  usaha yang saya buat untuk mengangkat pencapaian tetapi hasilnya tidak cukup memberansangkan. Baik bisnes maupun perkembangan diri. Itulah nasib kebanyakan kita bangsa Melayu

Jadi?

Saya kembali kepada usaha saya yang membanggakan keluarga, sahabat handai dan pada waktu sama menyempurnakan keperluan bangsa.

Maksud Dr., menterjemah buku Organon?

Ya. Saya percaya itu harapan ramai orang di Malaysia, sama ada peminat homeopati, pengamal-pengamalnya, para pelajar dan pelanggan HBI. Dengan itu juga saya boleh memberi sumbangan terbesar kepada bangsa dan negara Malaysia. Itu juga pasti membanggakan ayahanda saya yang saya kasihi.

Bila Dr mulai menterjemah semula?

Kira-kira dua tiga minggu yang lalu.

Sehingga kini sudah berapa para?

Sudah 199 aphorism.

Nampaknya sangat pantas.

Ya. Kerana komitmen saya kini cukup tinggi. Insya Alah, dengan izinNya, tahun ini mungkin dapat disiapkan.  Ada kawan-kawan yang sudah mula booking kalau ianya diterbitkan nanti. Hanya... saya tidak boleh janji bilakah ia akan selesai.

Dr tidak ingin menulis materia medika ke?

Itu sudah saya terbitkan dalam buku Penawar Homeopati Pilihan. Sebahagian besarnya merupakan kutipan daripada buku materia medika William Boericke di samping rujukan lain.. Ada lagi remedi bukan herba yang siap, tetapi saya tidak bukukan. Mereka yang mahu terpaksa membeli dalam bentuk CD atau download sebagai e-buku.

Bagaimanapun, itu tidak menjadi fokus sangat kerana memang sudah ada beberapa pengamal yang menerbitkannya, termasuk Allahyarham Dr. Mohamed Yacob.

Buku Orgnanon ini belum diterjemahkan oleh sesiapa lagi ke?

Setahu saya belum lagi. Ini yang menjadi masalah kepada pembelajaran homeopati di Malaysia. Terutama kalau pengamal kita kurang mahir bahasa Inggeris. Meskipun ada ringkasan yang diperturunkan oleh Dr. Brhanuddin al-Helmy, kemudian diperkemas oleh Dr. Dali Muin, namun dalam keadaan itupun saya rasa lebih lengkap dan mudah difahami lagi kalau kita membaca ringkasan penerangan Julian Winston dalam Outline of Organon.

Agak-agaknya berapa harganya?

Itu belum saya putuskan dengan HBI. Tetapi saya terima saranan Dr. Suriya yang kini merupakan tenaga pensyarah utama dalam bidang homeopathy di Cyberjaya University of Medical Science (CUCMS).

Terima kasih kerana sudi bersama HBI sekali lagi.

Terima kasih kembali.

 

 

Milik penuh: HBI Health & Homoeopathy Centre