Dr M: Gelombang ‘1Melayu,1Bumi’ Utusan idea malapetaka
KUALA LUMPUR, 22 April — Dipetik daripada laporan oleh Shazwan Mustafa Kamal di dalam Malaysian Insider dan Yahoo Malaysia, bahawa Tun Mahathir mengambil pendirian yang agak mengejutkan mengenai gelombang “1Melayu, 1Bumi” Utusan Malaysia dengan menyifatkannya sebagai satu “malapetaka” jika menjadi kenyataan.
Katanya, “Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku,” kata bekas perdana menteri ini kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Perkasa berkata pertubuhan bukan kerajaan itu akan mengepalai gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang disarankan oleh Utusan Malaysia sambil memberi kaum Melayu amaran kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, kumpulan itu tiada masa “selesa” lagi untuk menunggu parti-parti Melayu bertindak.
“Perkasa akan memikul tanggungjawab menggerakkan gelombang 1Melayu, 1Bumi, di mana adalah jelas masyarakat Cina menerusi DAP cuba mahu mengambil alih kuasa politik Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
Dalam tulisan ruangan Cuit sebelumnya, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina (tanpa beliau gariskan punca terjadi demikian).
Justeru beliau bimbang, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya oleh DAP untuk menyatukan kuasa mereka. Dan tambah Ketua Pengarang itu, “sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.”
Akibat dari kebimbangan itu lantas beliau menyarankan agar Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi.”
Ahad lalu, edisi Mingguan Malaysia menggesa Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu “pemurah” dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak.
Mingguan Malaysia, yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.
BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu. Sedang pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak memperoleh 62 kerusi dan ia meningkat kepada 63 kemudian.
Kali ini walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan kerusi kali ini. Begitu juga undi popular diperoleh BN berbanding lima tahun lalu.
Sementara itu Awang Selamat dalam ruangannya juga berkata kerajaan negeri BN tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum itu.
Menurut laporan itu, Dr Mahathir dilaporkan berkata gerakan sedemikian akhirnya akan membawa kepada sistem dua parti di mana setiap satu akan didominasi oleh satu kaum sahaja.
“Jika kita teruskan dengan ini, akan wujud sistem dua parti... jika satu sebelah didominasi kaum Melayu dan satu lagi oleh Cina, maka ia adalah tidak baik,” kata bekas pengerusi BN dan bekas presiden Umno ini.
Laporan itu juga berkata, ini kali pertama Dr Mahathir yang juga penaung Perkasa melahirkan pandangan yang bertentangan dengan pendirian pertubuhan bukan kerajaan yang mahu membela hak dan keistimewaan orang Melayu itu.
Lebih berita. Sila klik untuk ke blog yang lain. .
drhatta.com