25 April 2011 (Isnin/Monday) - updated 26th
April 2011
Hari ini cukup mengantuk justeru pagi semalam
berangkat ke Kota Bharu dan selamat pulang menggunakan penerbangan AirAsia
yang terakhir ke LCCT. Sampai di airport jam sudah 11.30 dan tidur lewat jam
1 pagi. Bagaimanapun pagi ini terpaksa bergegas menghantar anak kedua yang
cemerlang SPM tempoh hari untuk menghadapi interview di Anggerik Mall Shah
Alam.
Di sinilah
bermula ceritera. Ketika saya hendak ke mesin ATM di bangunan PKNS Shah Alam
itu, tanpa semena-mena terlihat seorang pelakon hebat dengan pakaian smart
sedang bersedia untuk 'shooting'. Saya memandang tepat ke arahnya dan
begitu juga beliau. Tetapi kerana hendak cepat saya segera bergegas ke
bangunan PKNS tanpa berhenti di laluan SACC Mall, lokasi penggambaran.
Namun hasrat
untuk bertemu dan berbual dengan beliau itu begitu kuat. Jadi dengan niat
yang tetap, saya berjalan kembali selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM
PKNS dan masuk ikut pinta depan SACC Mall. Apabila saya keluar menerusi
pintu sisi (tempat parking) SACC Mall, saya dapati sesi penggambaran sedang
rehat seketika. Saya lihat pelakon tersohor sdr Eman Manan sedang santai dan
bersiap-sedia serta sambil-sambilan berbual dengan seorang lelaki
berhampiran gerai bunga-bungaan. Kemudian lalu seorang perempuan serta
bersalam dan berlalu pergi.
Saya terus
mendekatkan diri, memberi salam dan mulai membuka sesi perbualan. Apabila
kami berbual dan saling bertanya khabar, jelas sekali beliau sedia beramah
mesra dan berbicara. Di sini sekali lagi kita dapat lihat ciri sebenar
seorang pelakon yang tegas, berprinsip, bercakap terus jujur kepada tujuan
dan tidak bengkang-bengkok bicaranya. Itulah beliau seorang pelakon yang
sentiasa berjaya memegang peranan watak yang diberikan, khususnya watak yang
memerlukan karaktor yang serius (seperti Allahyarham Nordin Ahmad).
Perbualan
itu menjadi rancak apabila mengetahui saya berasal dari Kelantan (terus
beliau membahasakan "Kelate") kerana katanya beliau kerap sekali ke Kelantan,
terutama Kota Bharu. Katanya beliau kerap ke sana kerana mempunyai ramai
kawan-kawan di kawasan bandar itu, iaitu sekitar kawasan Berek Dua Belas (12). Kalau ke
sana, selalunya beliau tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada
rakan-rakannya kerana bimbang masing-masing akan berebut untuk menjemput
beliau ke rumah. Orang "Kelate" selalu peramah, katanya.
Pelakon yang
berasal dari Pengadang Baru, Terengganu ini merupakan seorang yang komited
terhadap kerjanya. Katanya, "Bidang lakonan ini memerlukan suatu komitmen
yang tinggi". Dan dia memaklumkan bahawa jika kita dikehendaki berada di
lokasi untuk penggambaran pada waktu yang ditetapkan, kita tidak harus cuai
atau lengah-lengahkan kerana ia akan melibatkan kerja dan orang lain.
Apabila
melihat beliau fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, saya bertanya
mengenainya. Lantas beliau memberi jawapan yang memuaskan, iaitu, "I
studied at Sekolah Men Sultan Sulaiman until Form Six." Malahan
sambungnya, "I was in the same football team with (Yang
Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku)
Sultan Mizan". Mengingati hal itu lantas saya menjawab, "(YMM) Sultanpun pasti
tidak lupa. Seperti arwah ayah saya yang sekelas dengan (KDYMM)
Sultan Pahang (Sultan Haji Ahmad Shah) hari ini semasa belajar di Sekolah
Rendah di Pekan dahulu".
Itulah
antara intisari perbualan kami. Sungguhpun perbincangan kami berlangsung
dengan nada agak serius tetapi menyeronokkan. Itulah pelakon hebat kita yang
sentiasa mampu memberi kesan dan impak yang besar terhadap watak yang
dipegang.
Krew
penggambaran sedang berbncang untuk membuat shooting semula, dan sdr
Eman sedang bersiap sedia untuk memberikan lakonan terbaik beliau.
Sebenarnya, penggambaran yang dijalankan pada
tanggal 25 April (Isnin) ini ialah sebuah telemovie keluaran dan akan
disiarkan oleh RTM yang diberi judul "Manual Cinta". Pelakon utamanya
tentulah jelas sekali sdr Eman Manan sendiri. Dan ini tentulah
ditunggu-tunggu oleh peminat Eman kerana bukan selalu kita dihidangkan
dengan lakonan Eman mutakhir ini.
Ketika hampir di penghujung sesi
penggambaran itu, beliau memperkenalkan Marissa Yasmin sebagai wanita yang
memegang watak heroin di dalam filem tersebut. Pada waktu itu, Marissa
datang bersama adiknya.
Foto
selepas masing-masing mengucapkan tahniah kepada sdr Eman Manan, dan
kemudiannya memperkenalkan Marissa Yasmin sebagai heroin filem.
Seorang krew unit penggambaran
memaklumkan bahawa telemovie ini diarahkan oleh Malik Rahman, iaitu seorang
yang terkenal dengan drama bersiri 'TV Astro', "Halimah Jongang". Sewaktu berbual
dengan beberapa rakan wanita yang terlibat dengan proses penggambaran itu,
ada juga pelakon bernama Norish Ali disenaraikan. Tetapi itupun nama yang
saya sendiri tidak pernah mendengarnya.
Oleh kerana saya bukan wartawan filem
dan tidak pula melaksanakan sebarang interview secara formal,... jika anda
ingin mengetahui cerita selebihnya harus tunggulah waktunya, atau bertanyalah
kepada produser
atau penulis cerita "Manual Cinta".
Berdasarkan tajuk telemovie (90
minit panjang) ini, saya fikir filem ini pasti menarik untuk ditonton. Boleh rekomenlah kat teman-teman. Saya
memang peminat Eman sejak filemnya bersama dengan OGY dan drama bersiri RTM, Pendekar Kundur.
Filem dan drama di mana beliau terlibat kerap kali mempamerkan ketangkasan
dan kehebatan beliau dalam apa yang diminati. Ini sangat sepadan kerana
kedua-dua aktiviti ini, iaitu berlakon dan seni silat merupakan kemahiran
beliau sejak dulu.
Kehebatan sdr Eman juga terserlah
bukan sahaja justeru banyak filem yang dilakonkan, tetapi juga boleh dilihat
pada pencapaian-pencapaian yang diperolehinya hingga ke hari ini.
Suatu penjelasan yang pernah diberi
oleh sdr Eman Manan tentang kenapa lakonan beliau kurang di akhir-akhir ini
adalah justeru (petikan) "Baru semalam saya menolak
tiga tawaran berlakon daripada tiga produksi yang berlainan. Saya bukan ego
tetapi dalam usia begini saya rasa perlu memilih kerana buat masa ini duit
bukanlah segala-galanya. Saya lebih mementingkan kepuasan dalam berlakon.
Sebab itu apabila membaca skrip yang klise, biarpun tawarannya tinggi
menggunung saya sanggup menolaknya." Demikian Eman berkongsi caranya 'berurusniaga'
dengan produser drama atau filem.
Sukacita saya masukkan di sini
kenyataan akhbar yang boleh menggambarkan siapa Eman Manan: