|
Ramli bin
Husin adalah saudara keluarga yang boleh dianggap berjaya di dalam
kerjayanya sebagai seorang pengusaha dan contoh yang baik
dalam hubungan kekeluargaan. Agak lebih 30 tahun saya
sebagai saudara mengenali dan bergaul dengannya dan keluarga.
Bahkan sejak sebelum saya berkunjung ke luar negara pada
tahun 1980an, saya sudah dibawa oleh ayah mengenali ahli
keluarganya. Walaupun pada waktu itu keadaan hidupnya sangat
sederhana tetapi layanannya terhadap ayah dan keluarga bagai
saudara yang akrab.
Pemergiannya
dirasakan bagai suatu kehilangan yang amat. Ini adalah
justeru agak sukar mencari seorang ahli keluarga yang
sangat-sangat mengalu-alukan keluarga, sanak saudara dan
rakan taulan dari kampung (atau di mana saja) berkunjung.
Persiapan dari segi tempat tinggal dan makan minum dilayan
umpama tetamu di hotel dengan layanan peribadi yang tinggi.
Itu semua dilakukan secara bersama hanya sesama suami isteri
dan anak-anak sahaja
Apa lagi, dalam
jangka 15 tahun yang akhir apabila rumah dan ofisnya
dilengkapi dengan kemudahan agak mewah termasuk dengan
menyediakan kolam renang untuk siapa saja tetamu menggunakan
kemudahan itu. Malahan beliau selalu berpesan, kalau ke
Kuala Lumpur untuk berkursus tidak perlulah menyewa hotel,
kalau boleh tinggal saja di rumahnya. Demikian ramahnya
beliau kepada keluarga kami. Demikian juga saudara dan
kaum kerabat sebelah isteri beliau. Selain itu, deliau juga
sentiasa memberi masa untuk berbual dan beramah mesra
sepanjang ahli keluarga kami maupun keluarga sekampung
berkunjung.
Beliau berminat
design sendiri bentuk dan ubah suai rumah menurut spec
terkini dan kemas. Beliau juga adalah seorang yang amat
menjaga susun atur dan kebersihan. Kalau hendak
dianugerahkan sijil 5s, beliau sebagai ketua keluarga maupun
sebagai ketua syarikatnya layak mendapat anugerah sijil 5s
itu, justeru tersusun dan kemasnya pejabat dan rumah beliau.
Satu insiden
menarik pernah berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu.
Terdapat pembengkakan di bahagian kerongkong beliau. Beliau membuat
pemeriksaan di Hospital UM dan dimaklumkan sebagai kanser.
Justeru beliau telah berusaha mendapatkan pelbagai rawatan
alternatif dari pelbagai tempat sehingga pernah dirawat di
sebuah tempat di Terengganu yang kemudian diberi jaminan,
kalau ianya kanser pasti tidak akan merebak lagi tetapi
sekadar tinggal keras setakat itu sahaja.
Beliau mengamalkan
seperti saranan pengamal tradisional berkenaan. Kemudian bagi mempastikan
rumusan dan hasil itu benar, beliau telah pulang ke Kuala Lumpur dan
kembali ke Hospital UM. Beliau minta dibuat pemeriksaan
sekali lagi. Doktor berkenaan mengatakan adalah tak mungkin
kanser boleh disembuhkan oleh sebarang rawatan tradisional (Apakah
ini timbul dari prejudis?). Beliau bertegas meminta
disiasatkan juga. Lalu tisu beliau diambil sekali lagi.
Namun justeru beliau tidak yakin dengan ketepatan
pemeriksaan
kali ini, lantas beliau juga telah pergi ke Hospital Pantai.
Beliau juga meminta hospital berkenaan membuat pemeriksaan
yang sama dan ingin mendapatkan hasil diagnosisnya dua
minggu kemudian.
Apa yang berlaku
dua minggu kemudian ialah, Hospital UM mengeluarkan
keputusan mengatakan beliau masih mengidap kanser, tetapi
keputusan daripada Hospital Pantai mengatakan beliau tidak
mengidap sebarang kanser. Bengkak yang dialami itu adalah
bengkak biasa yang tidak malignan. Isunya kemudian ialah:
Apakah rawatan tradisional yang dilaluinya dahulu berjaya
menyembuhkan kanser yang didiagnoskan sebelumnya sehingga (kalau
benar laporan Hospital Pantai tepat) didapati tiada lagi
penyakit itu pada dirinya? Atau, apakah diagnosis Hospital
UM sebelumnya adalah tidak tepat dan memang pada asalnya
beliau tidak mengidap kanser?
Banyak isu
berbangkit sehingga beberapa tahun kemudian. Tetapi beliau
berjaya melalui hidup seperti biasa sehingga ke akhir
hayatnya. Saya masih fikir, seperti juga ramai pengamal
tradisional yang lain, penyakit itu adalah apabila seseorang
merasa dirinya tidak selesa (dis-ease). Penyakit itu bukan
disebabkan apabila kita temui kuman atau virus atau apa saja
yang diluar atau apa yang diistilahkan sebagai objective signs. Seperti kenyataan dalam amalan homeopati, kuman atau virus
itu hanya timbul apabila keadaan sudah lewat untuk dirawat.
Kami dalam rawatan
homeopati percaya seseorang itu boleh dirawat sedari awal,
apabila simptom-simptom itu didiagnos walaupun sebelum lahir
gejala-gejala (signs) atau ianya
berupa simptom subjektif sahaja. Menunggu sehingga simptom itu
bersifat objektif (signs) akan mengakibatkan rawatan
yang diusahakan akan terlalu lewat.
Hal ini tentulah
bunyinya pelik, kerana ia tidak ada dalam prosedur
kedoktoran konvensional. Bagaimana mau rawat berasaskan
simptom dan ubat apakah yang hendak diberi jika nama
penyakit belum dapat ditentukan. Tetapi itulah yang
menyebabkan sesetengah pesakit yang berusaha pergi mendapatkan
rawatan awal dengan pengamal perubatan konvensional (doktor),
akhirnya mereka dimaklumkan tiada penyakit. Itu berlaku walaupun orang
@ pesakitnyanya merasa sakit
dan tidak selesa.
Kesimpulannya,
dalam kebanyakan kes bukan rawatan tradisional yang
melewatkan sehingga rawatan oleh perubatan moden tidak dapat
diberikan. Tetapi sebenarnya ia berlaku justeru bentuk dan
amalan dalam perutabatan itu sendiri. Dan seperti biasa,
apabila tidak dapat dirawat, barulah kes itu dimaklumkan
sudah lewat atau tiada kemampuan untuk diubat lagi.
Kesimpulannya juga
ialah, Allah s.w.t.lah yang Maha Kuasa. Seperti perubatan
moden, pengamal perubatan lain pun boleh mengatakan bahawa
keadaan sudah
di luar kemampuannya untuk merawat apabila penyakit sudah
menjadi terlalu kronik. Jadi jika begitulah senarionya, tidak harus ada salah menyalah dalam
perkara ini. Tiada siapa atau mana-mana sistem yang cacat
apabila penyakit sudah tidak dapat diubat atau ajal sudah
hampir sampai.
Maaf terlanjur
berbicara mengenai isu ini. Namun orang yang kami semua
kenal sebagai Abang (Abe) Li akhirnya menghembuskan nafasnya
yang terakhir pada 4.50 petang, hari Selasa, 22.2.2011.
Harinya bersamaan dengan tarikh lahir anak bongsu saya.
Dengan itu, mudah kami mengingatinya.
Namun sukacita
saya sebutkan di sini bahawa apabila dibuat pembedahan bagi
mengatasi keadaan saudara saya ini yang sukar bernafas,
tindakan itu agak meragukan. Dan ini berlaku dalam banyak
kes yang lain juga dalam perubatan moden. Sebab selepas tindakan itu diambil,
beliau bukan sahaja berterusan mengalami kesesakan nafas,
tetapi juga turut mengalami masalah kelemahan justeru
kekurangan oksigen, kekurangan darah.
Perkara ini pernah
dipesan oleh Dr. Samuel Hahnemann 200 tahun yang lampau.
Yakni ramai pesakit di masa itu mati bukan akibat
penyakitnya, tetapi justeru kehilangan darah. Dr. Hahnemann
menyebutnya sebagai kehilangan "vital fluids". Ini
berlaku dimasa Hahnemann, di mana amalan penggunaan lintah
menjadi-jadi sewaktu ingin melakukan prosedur pembedahan.
Hari ini suasana tentulah lain. Darah boleh diganti,
proses pembedahan lebih sofistikated, prosedur sudah moden. Kendatipun begitu, sama ada secara
sedar atau tidak, tetapi dua hari sebelum saudara kami itu
menghembuskan nafas terakhir, nilai darah hbnya turun
mendadak kepada 6.5
g/dL,
jauh lebih rendah berbading hari-hari sebelumnya. Saya lihat
hujung jarinya pucat putih, dipicitpun sudah tiada merahnya.
Namun kita semua
harus terima hakikat bahawa ajal maut itu di tangan Tuhan.
Apabila tiba masanya, kita tidak dapat menolak sesaatpun.
Semua amalan perubatan pada waktu itu bersifat alternatif.
Tiada satupun yang jadi juara. Semua kalah. Perubatan arus
perdanapun mulai mengaku kekurangannya. Baru dia tersadar.
Setaraflah ia dengan perubatan lain.
Akhir kata, semoga Allah s.w.t.
mencucuri rahmat ke atas rohnya dan beliau ditempatkan
bersama orang-orang yang bertaqwa, para alim-ulama dan
Salihin. Sesiapa yang membaca artikel ini, saya mohon
bacakan dan sedekahkan fatihah untuk beliau.
Wa salam.
-
Mohamed Hatta, HMD
25 Feb 2011.
|