Amat teringin
kami buat ulasan kepada isu tuntutan BERSIH dan perhimpunan yang bakal
diadakan pada 9 Julai 2011. Memerhatikan senario dan perkembangan berita
baik dari pihak anti-Bersih maupun pro-BERSIH, hati dan minda cukup tergugat
untuk mengatakan sesuatu dan memberi pandang. Namun, apabila kami lihat
coretan dan pendapat cendekiawan sedia ada, rasanya sudah cukuplah dengan
apa yang mereka utarakan. Justeru kami telah memilih untuk memetik beberapa
pandangan dengan harapan ianya berguna kepada umum khususnya pelawat laman
HBI.
Dari SUHAKAM: mereka "mengulangi
pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak untuk berhimpun dan
menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam
Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan
Hak Asasi Manusia Sejagat".
Kenyataan daripada Pengerusinya menjelaskan
"Suruhanjaya menyeru
pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut dijalankan, dan
kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar
melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab.
Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu sewajarnya".
Seterusnya
mereka menyeru
"Suruhanjaya mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada
Kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun, seperti yang terkandung
dalam, antara lain, Laporan Tahunannya kepada Parlimen, serta permintaan
bagi pemansuhan sub-seksyen (2), (2A) - (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C),
(7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967, dan mengesyorkan
agar pihak Polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan
sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang
ramai semasa perhimpunan."
(http://merdekareview.com/bm/news.php?n=11992)
Demikian pandangan dari SUHAKAM.
Doktor kontroversial yang gigih memberi
pendapat berkaitan isu-isu semasa juga memberi komentar. Lewat artikel
beliau dalam lamannya bertajuk
‘BERSIH’ WAJIB BERJALAN DENGAN
BERSIH, Dr Asri Madya
Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencatatkan pendirian beliau sebagaimana berikut:
1.Sesuatu tindakan dalam urusan
kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika
tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik. Jika
tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana
mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah.
Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai
berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah
memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.
2.Setelah saya mendengar
taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik,
menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan
oleh perlembagaan. Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk
kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik
sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak
mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya. Cuma saya bimbang jika ada parti
tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat
secara umum. Sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan
keadilan dalam pengurusan pilihanraya.
3. Adapun cara yang hendak dicapai iaitu
dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan
jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda
awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk. Nabi s.a.w dalam hadis
pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di
jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda
Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki
itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang
melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku
menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah
hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu,
aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak.
Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).
Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di
jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini,
demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan munkar politik yang telah
terbukti keberkesanannya di banyak negara.
4. Namun, oleh kerana demonstrasi itu
terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi
pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. Perbincangan,
rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya
hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan. Pihak
SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut
ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.
5. Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat
untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar
menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak. Maka, sesiapa
yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam
bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak
mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan
tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati.
6. Adalah haram mana-mana pihak, samada
peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan
berlakunya rusuhan. Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan
itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat.
Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas
dan dilangsaikan dengan segera. Para peserta demonstrasi juga hendaklah
sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan
apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas
dengan betul menurut peraturan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau
menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.
7. Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai
melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan
golongan atasan. Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita
adil, aman dan teratur. Menyertai BERSIH merupakan salah
satu dari usaha yang mulia itu, dan memastikan BERSIH itu
bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang
terlibat.
(http://drmaza.com/home/?p=1436)
Berikut pula adalah pendapat Dr. Chandra Muzaffar, seperti yang disiarkan di
dalam UtusanOnline yang kemudiannya dipetik oleh The Malaysian Insider
(3 Julai):
"Sangat menyedihkan setelah
hampir 54 tahun merdeka, masih terdapat keresahan di kalangan pihak berkuasa
berkenaan hak asasi yang merupakan faktor penting dalam fungsi demokrasi.
Mereka terlupa bahawa “hak untuk
berhimpun secara aman dan tanpa senjata” adalah kebebasan yang termaktub
dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. Ia adalah kebebasan yang seharusnya
tidak mengancam kesejahteraan masyarakat.
Walau bagaimanapun, seperti mana
semua hak dan kebebasan, ungkapan sebenar serta maksud kebebasan berhimpun
perlulah mengambil kira konteks dan tujuan di sebaliknya. Dengan mengambil
kira tujuan dan maksud inilah, ia menjadi sangat kritikal didalam
perhimpunan ‘Perhimpunan 9 Julai’. Terdapat pelbagai dimensi dan pemahaman
yang perlu diambil iktibar oleh pihak penganjur dan penyokong perhimpunan
Bersih, termasuklah pihak yang menentang iaitu Perkasa dan Pemuda Umno.
Isu-isu
1) Bersih mendakwa bahawa tujuan
utama perhimpunan ini adalah untuk menunjukkan kelemahan dan kecacatan dalam
sistem pilihan raya kita. Memandangkan pihaknya telah mengadakan
perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), usaha itu sepatutnya
diteruskan. Pengerusi SPR sedia untuk berdialog. Beliau kini seharusnya
secara terbuka menjemput Bersih untuk meneruskan perbincangan tanpa
mengambil kira perancangan untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai. Bersih
pula perlulah memberi tindak balas secara positif terhadap SPR. Dalam
konteks demokrasi yang matang seharusnya peluang untuk berdialog bagi
menyelesaikan isu-isu perlulah diambil.
2) Antara lainnya, Bersih
menumpukan kepada isu seperti ‘pendaftaran pengundi secara automatik’ (saya
menyokong isu ini) yang mana ia adalah di luar bidang kuasa SPR. Perkara ini
memerlukan kelulusan perundangan. Jika Bersih tidak boleh meyakinkan Barisan
Nasional (BN) untuk memperkenalkan undang-undang pilihan raya baru, adakah
mereka telah berjaya mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat
(PR) untuk membentangkan Rang Undang-Undang “Ahli Persendirian” melalui
reformasi ke atas pilihan raya yang dituntutnya kini? Berapa kalikah Rang
Undang-Undang tersebut dibentangkan sejak Mac 2008? Adakah cubaan untuk
membentangkan Rang Undang-Undang itu digagalkan oleh Speaker Dewan Rakyat?
Memandangkan Bersih terdiri daripada parti-parti pembangkang yang diwakili
di Parlimen, ia sepatutnya menyatakan/menerangkan kepada orang awam/ramai
secara terperinci tentang bagaimana ia telah memohon kepada Parlimen sejak
tiga tahun lepas agar pembaharuan pilihan raya dibuat.
3) Dalam tuntutannya, Bersih
tidak membezakan proses sebenar pilihan raya daripada proses pilihan raya
politik yang lebih besar. Perlakuan proses sebenar pilihan raya di Malaysia
semenjak 1959, bermula dari penyelenggaraan daftar pemilih sehinggalah
kepada perlindungan integriti kertas undi, sebahagian besarnya adalah adil
dan saksama dan mengambil kira bahawa tiada sistem pilihan raya di dunia ini
sama sekali tiada kelemahan atau cacat celanya. Kesimpulan ini telah dibuat
oleh Kumpulan Pemerhati Pilihan Raya yang diketuai oleh Allahyarham Tun
Suffian Hashim Mohamed pada Pilihan Raya Umum 1990 (saya adalah salah
seorang anggota kumpulan tersebut). Kami juga telah menyatakan bahawa
penyalahgunaan kemudahan kerajaan yang sedia ada untuk tujuan kempen dan
peranan berat sebelah dari media arus perdana merupakan ketidakadilan di
dalam proses pilihan raya — politik yang telah ditunjukkan. Memandangkan
perkara itu adalah sahih dan masih lagi belum/tidak ditangani, Bersih
mempunyai sebab untuk membangkitkan perkara itu.
4) Sekiranya usaha Bersih adalah
berlandaskan keikhlasan untuk memperbetulkan keadaan, seharusnya parti-parti
politik yang berada di barisan hadapan di dalam gabungan ini, menjadi contoh
seperti mana di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan Pakatan
Rakyat. Seharusnya mereka ini memastikan kemudahan kerajaan tidak
disalahguna di dalam proses pilihan raya atau pilihan raya kecil. Namun di
dalam pilihan raya di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, dikatakan bahawa
kerajaan negeri telah menggunakan beberapa sumber-sumber Kerajaan Negeri,
secara langsung dan tidak langsung, untuk tujuan kempen mereka. Begitu juga,
jika Bersih mahukan akses yang saksama dan adil kepada media cetak dan
elektronik yang cenderung kepada BN, ia juga seharusnya menggalakkan media
online yang pro pembangkang agar lebih bersikap adil dan seimbang dalam
liputan dan analisis mereka tentang isu politik, memandangkan media secara
siber di Malaysia pada hari ini adalah merupakan salah satu sumber maklumat
yang penting dan juga palsu.
5) Sungguhpun terdapat beberapa
tuntutan Bersih yang munasabah, kegagalan mereka untuk membuktikan
tuntutan-tuntutan ini dalam aspek yang lebih luas telah mencemarkan
kredibilitinya. Dengan mengambil kira bahawa terdapat kelemahan dan
kepincangan di dalam sistem pilihan raya, Malaysia merupakan salah satu
daripada beberapa negara di Selatan Global yang telah mengadakan pilihan
raya yang disertai oleh pihak-pihak yang mempunyai ideologi yang berbeza
sama sekali semenjak merdeka. Adalah sangat penting untuk diakui bahawa
pilihan raya ini adalah bebas daripada keganasan — satu perkara yang jarang
sekali berlaku di negara-negara Selatan. Dalam Pilihan Raya Umum Pertama,
dua buah negeri telah berada di bawah pimpinan parti pembangkang. Hari ini,
empat daripada 13 negeri di Persekutuan berada di bawah pemerintahan pihak
pembangkang. Belum pernah lagi di dalam pilihan raya politik Malaysia bila
mana pihak pembangkang memerintah dengan kurang daripada 35 peratus undi
popular.
Keselamatan
1) Jika isu yang dibangkitkan
oleh Bersih perlu dilihat secara adil menurut pemahaman mereka, maka
seharusnya orang ramai juga perlu memberi pertimbangan yang sewajarnya
kepada soal keselamatan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 10 (2), a, b,
dan c Perlembagaan Malaysia. Tidak dinafikan bahawa suhu politik telah
meningkat sebanyak beberapa darjah dengan keazaman tiga organisasi untuk
meneruskan perhimpunan dan perarakan tanpa permit daripada pihak polis,
Pemimpin dua organisasi tersebut juga menerima ancaman bunuh.
2) Terdapat satu lagi perspektif
yang perlu dilihat secara kontekstual iaitu kepada persoalan keselamatan
yang tidak sepatutnya kita abaikan. Di dalam demonstrasi Bersih yang pertama
pada 10 November 2007, beberapa orang telah mendapat kecederaan. Terdapat
juga beberapa kecederaan semasa demonstrasi Hindraf pada 25 November dalam
tahun yang sama. Hampir kesemua demonstrasi reformasi bermula dari September
1998 sehinggalah pertengahan tahun 2000, terdapat beberapa individu dan
anggota polis yang telah mendapat kecederaan.
3) Saya berfikir pada mulanya
bahawa penunjuk perasaan “Bersih” seharus dibenarkan untuk berkumpul secara
aman di stadium, selaras dengan hak Perlembagaan mereka tetapi saya tidak
menyedari bahawa terdapat isu keselamatan yang mengintai di sebaliknya. Jika
sekiranya, pilihan untuk berkumpul di stadium menjadi kenyataan,
elemen-elemen tertentu di dalam Bersih, akan menjadikan stadium sama seperti
Dataran Tahrir, dengan penunjuk perasaan berkumpul dan berkhemah pada siang
dan malam selama beberapa minggu. Perkara ini sudah tentu akan menarik
perhatian media Barat untuk berada di sana bagi menggembar-gemburkan lagi situasi. Ini disokong oleh pengaruh
kedua-dua pemimpin de facto dan de jure Bersih iaitu Anwar Ibrahim dan
Ambiga Sreenivasan yang sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan pihak
media Barat. Ia akan menjadi ejekan kepada keadilan dan kesaksamaan negara
kerana situasi Malaysia tidak
kurang bezanya berbanding Mubarak di Mesir atau monarki Arab yang autokratik,
yang kini dicabar oleh rakyat mereka. Tiada satu pun di antara mereka adalah
pewaris kepada pemerintahan lebih daripada lima dekad yang disahkan melalui pilihan raya politik yang kompetitif.
Impak
1) Kita juga seharusnya
memberikan perhatian kepada kesan perhimpunan dan perarakan 9 Julai kepada
pemandu teksi, peniaga, pembeli dan orang awam. Terdapat kebarangkalian yang
tinggi bahawa perhimpunan ini akan menyebabkan impak yang negatif terutama
apabila ia melibatkan tiga kumpulan yang mempunyai agenda mereka tersendiri.
Peniaga dan pemandu teksi di
kawasan-kawasan yang terlibat akan kehilangan pendapatan.
Sekali lagi seharusnya kita
belajar daripada sejarah silam/masa lampau. Dalam demonstrasi sebelumnya di
Kuala Lumpur, masyarakat di pelbagai lapisan hidup terpaksa menanggung
akibatnya."
Kami tidak mengutip pandangan daripada tokoh-tokoh yang dipengaruhi atau
pro-politik. Baik UMNO, PERKASA maupun PAS, DAP atau PKR. Demikian juga kami
tidak ambil daripada
Datuk Ambiga Sreenevasan.
Parti pemerintah
juga mengambil pandangan yang jelas bermotifkan politik apabila seruan
kepada pilihanraya yang bersih dan adil ditolak dengan begitu reaktif sekali.
PERKASA dan pemuda UMNO jelas mempertahankan bukan saja pendirian kerajaan,
malahan ingin membuat demo balas. Pakatan Rakyat (PR) sudah pastilah (sebaliknya)
akan menyokong sebarang usaha ke arah pilihan raya yang adil dan bersih,
kerana itu pasti menguntungkan pakatan pembangkang (selain daripada adil dan
bersih) buat waktu ini.
Jika kita dapat berfikir dengan waras tanpa dipengaruhi sentimen politik
yang meruap-ruap, sukacita kami sarankan apa yang dicatatkan oleh Aspan
Alias di dalam blognya. Ia pastinya baik untuk semua. Ia juga dapat
mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak baik dari berlaku. Hasrat BERSIH
dan parti-parti pembangkang tetap tercapai, di samping mereka boleh terus
berusaha berunding dengan SPR. Saranan sdr Aspan nampak logik dan relevan
dalam artikel beliau, "Jika
rally gagal, berikan sokongan dari rumah - Tidak ada kesesakan lalu-lintas,
tetapi lebih berkesan". Kata beliau,
"Jika
berjaya pihak Polis menghalang berlakunya perhimpunan anjuran Bersih ini,
ia tidak menjejaskan usaha Bersih untuk meminta rakyat membuktikan yang
mereka (rakyat) adalah serius mahu melihat pilihanraya dilaksanakan dengan
adil dan saksama. Dari sehari kesehari kita semua telah melihat betapa
gemparnya pihak kita yang berkuasa ini untuk menghadapi rally anjuran
Bersih ini. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menggagalkan rally
ini.
Sesungguhnya Bersih telah pun berjaya untuk mendapat sokongan rakyat untuk
mengadakan pilihanraya yang ‘transparent’ ini. Kalau gagal Bersih
menganjurkan rally ini, kegagalan mereka bukan oleh kerana tidak mendapat
sokongan ramai tetapi sebaliknya oleh kerana tekanan dari pihak yang
sedang gila di dalam kuasa. Kehilangan kuasa sama lah seperti memisahkan
daging dengan kulit atau memisahkan kuku dari jari kita.
Pada pandangan saya jika Bersih ingin juga mahu menyampaikan ‘message’
kepada ramai apa yang perlu dilakukan oleh penganjur rally ini supaya
meminta semua rakyat menzahirkan sokongan kepada mereka dengan cara lain
tanpa melakukan rally yang besar. Beberapa cadangan telah dihantar
kepada saya oleh agak ramai orang.
Di antaranya ialah supaya semua rakyat memberikan sokongan moral dengan
meletakan apa-apa yang berwarna kuning di pintu pagar rumah-rumah
saudara-saudara dan di dalam kawasan rumah anda. Simbolan sokongan ini
akan lebih mendalam jika semua pihak melakukannya dengan niat untuk
memberikan sokongan terhadap Berih dan mana-mana pihak yang memperjuangkan
pilihanraya yang adil dan transparent.
Biarlah pihak Polis dan yang berkuasa yang lain mengambil tindakan
menggagalkan rally yang ditakrifkan sebagai perhimpunan haram oleh
pihak yang berkuasa. Orang ramai memahami situasi sebenar yang menyebabkan
pihak yang berkuasa memilih untuk menekan dengan tangkapan dan ugutan itu.
Rakyat tahu pimpinan pada hari ini begitu lemah dan terpaksa melakukan
tindakan ‘pre-emptive’ seperti ini kerana mereka tidak mahu
dibuktikan yang mereka sudah tidak mendapat sokongan ramai lagi."
Dan dengan nada sinis di
akhir tulisan blognya, beliau juga menegaskan,
"Jika kita tentang apa yang tidak adil itu, ianya dianggap sebagai
menentang keamanan. Rupa-rupanya keamanan hanya wujud jika pihak yang
otokratik begitu aman melakukan perkara yang tidak secocok dengan kehendak
rakyat.
Tujuan Bersih untuk mengadakan rally yang aman sekarang ini dimomokan
sebagai rusuhan oleh pemimpin-pemimpin serta media masa perdana.
(http://aspanaliasnet.blogspot.com/)
Semoga kutipan di atas berguna buat anda. Tulisan-tulisan itu boleh dibaca
sepenuhnya di dalam laman asal para penulis tadi.