Petang hari ini, dilaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan program Seksualiti Merdeka dihentikan serta-merta sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap penganjur dan peserta yang terlibat.
Katanya pada sidang media di pangkalan udara PDRM di sini hari ini, program tersebut jelas melanggar undang-undang negara dan bertentangan dengan ajaran pelbagai agama di negara ini.
Polis telah mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran program itu termasuk Datuk S. Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.
“Polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A Kanun Keseksaan untuk menghalang sebarang penganjuran majlis itu,” katanya sebagaimana dipetik Bernama Online dan dilaporkan dalam The Malaysian Insider.
Beliau menjelaskan undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf kegiatan songsang yang boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.
“Polis menerima banyak bantahan dari pihak badan bukan kerajaan termasuk badan Agama Islam dan bukan Islam yang bimbang majlis ini akan menimbulkan suasana tidak harmoni, perasaan permusuhan serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyertai rakan-rakan NGO Islam lain membantah dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya festival Seksualiti Merdeka. Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, penganjuran aktiviti sebegini dengan sengaja mengundang usaha untuk terus-menerus menongkah norma serta realiti kehidupan beragama dan berlandaskan susila ketimuran di kalangan seluruh masyarakat Malaysia.
“Selari dengan prinsip pertama Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukunegara, sudah tentu kedegilan penganjur serta penyokong aktiviti ini merupakan penghinaan terhadap kepercayaan serta amalan beragama masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang semuanya dengan jelas menolak amalan songsang fitrah yang menjadi kepercayaan serta landas perjuangan kaum lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Keterlibatan Majlis Peguam Malaysia khususnya memberikan kesan kerana membantu serta menggalakkan kemungkinan untuk perlakuan jenayah yang jelas dinyatakan di dalam Kanun Keseksaan dan kesalahan-kesalahan jenayah syariah di bawah enakmen-enakmen negeri di Malaysia.
“Justeru, penglibatan Majlis Peguam dalam penganjuran dan sokongan Seksualiti Merdeka sangat dikesalkan,” katanya yang kemudian menyatakan bahawa PPMM menggesa Majlis Peguam memohon maaf serta menarik balik penglibatan dan sokongannya terhadap aktiviti ini dengaan serta-merta.
Katanya lagi, “PPMM juga menerima banyak aduan dan pertanyaan dari kalangan peguam-peguam beragama Islam yang tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Peguam tersebut."
“Justeru, PPMM juga menggesa kepimpinan Majlis Peguam untuk meletak jawatan kerana gagal mendaulatkan undang-undang dan sebaliknya mempromosi gaya hidup tidak bermoral dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau sambil menambah, Majlis Peguam dilihat sebagai memberi tiket percuma kepada seseorang melakukan perlakuan jenayah.
Satu lagi persatuan, Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Muis) berkata penglibatan umat Islam dalam program Seksualiti Merdeka, yang menjadi fokus kontroversi sekarang, adalah haram dan wajar dielakkan.
Pengerusinya Dr Aznan Hasan.“Seluruh umat Islam wajib berganding bahu memikul tanggungjawab membangunkan umat, menyuburkan akhlak terpuji dan memandu masyarakat ke arah menghayati ajaran Islam yang sebenar. Muis berpandangan penglibatan umat Islam di dalam festival ini adalah haram hukumnya dan sewajibnya dielakkan.”
Dr. Aznan juga berkata pihaknya bimbang penganjuran Seksualiti Merdeka akan menyebabkan menularnya fahaman liberal dan songsang di kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang bertopengkan “hak asasi manusia.”
“Muis berpendirian, hak asasi manusia adalah sesuatu yang diiktiraf oleh Islam. Namun begitu, penerimaan hak asasi ini mestilah diterima dalam ruang lingkup yang tidak menyanggahi prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai moral, budaya, etika, dan adab sopan.
“Sebarang aktiviti songsang sebegini bukan sahaja menyentuh sensiviti umat Islam, malah boleh dianggap satu usaha ke arah mencabar kedaulatan negara yang berpaksikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan,”
Dalam kenyataan lain, Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Islam akan mengadakan demonstrasi di Masjid Negeri Shah Alam esok bagi membantah program Seksualiti Merdeka dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali disenarai antara pemimpin yang akan berucap
Hal ini turut dilaporkan oleh Malaysian Insider.
