Berikut ialah kutipan dari laman
Pondok Pasir Tumbuh buat tatapan pengunjung laman drhatta.com. Ia berkaitan
dengan amalan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab
kaifiat dan fadhilat ibadah.
Justeru dipetik beberapa hadith Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan
impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Pemilik laman itu telah memetiknya dari
kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan beberapa kitab muktabar yang
lain. Semoga dengan itu, kita semua mem peroleh ilmu dan mendapat ganjaran
bila mengamalkannya, insyaALLAH.
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan
Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana
sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR
Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami
sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian
kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia
menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari &
Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa
ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan
selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma
yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru
masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma
yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka
beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.”
(HR Abu Daud dan At-Turmudzi)
3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang
tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka,
pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah
puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi
wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu,
apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah
berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang
yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:
“Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak
meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak
memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5. Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu
‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana
seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.”
(HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya
mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.”
(HR Bukhari)
6. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat
dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui
Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan,
dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”(HR Bukhari)
7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap
malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan
Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para
ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar
mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami
al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju
untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang
memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala
seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun
pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan
solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya
mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah
lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan.
diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat
kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir
bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir
bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH
Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat,
isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR
Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari
hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah
dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita
untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan
meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti
senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli
keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan
mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa,