Selepas kami
perkenalkan sistem perubatan alternatif dan komplimentari menerusi
drhatta.com dalam minggu ini,
kami dapati carian orang ramai meningkat. Sememangnya tiada lagi alternatif
lain bagi pengguna yang sudah jemu, yang gagal, yang ingin mencuba, yang
kecewa dengan perubatan moden atau yang mencari pilihan terbaik bagi sakit
yang dihidapinya melainkan melanggan perubatan alternatif ataupun
komplimentari.
Sesuatu harus
dilakukan dengan lebih proaktif lagi oleh pihak-pihak berkenaan. Memang
benar, perubatan alternatif, komplimentari atau tradisional telah wujud
sejak permulaaan tamadun manusia lagi. Sedangkan perubatan baru Barat hanya
setahun jagung kalau hendak dibandingkan (meskipun ia juga suatu
kesinambungan kepada sistem perubatan yang diasaskan), meskipun ianya sudah terlalu maju,
jauh meninggalkan perubatan alternatif lain.
Kendatipun begitu,
majunya tidak ke mana kerana semuanya berlandaskan kebendaan (material)
sahaja. Ia tidak melayan sesuatu aduan yang bersifat rohani atau immaterial. Selain itu, ia juga dikatakan tidak merawat berasaskan fitrah atau
tabii (nature). Inilah yang berbeza dan menyebabkan orang ramai berterusan
mencari alternatif lain.
Untuk kali ini,
saya memetik kembali artikel yang pernah disiarkan oleh Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia pada Ogos 2004 bertajuk: Perubatan Tradisional dan Moden.
Dalam kehidupan moden, yang lama dianggap lapuk dan tidak
lagi berguna. Maka atas dasar itu, yang lama terus tersisih, tidak
diperlukan malah enggan mempedulikannya kerana kononnya mendakwa yang moden
itu mempunyai prinsip terbaik dan diterima umum.
Begitu halnya dengan sistem perubatan tradisional yang telah ditinggalkan
zaman kerana kebanyakan pengamal perubatan hari ini, malahan orang ramai
sendiri lebih memberikan tumpuan dan mengutamakan sistem perubatan alopati (moden)
yang dikatakan lebih berjaya berbanding dengan sistem perubatan tradisional.
Perubatan moden yang berasaskan kepada kepakaran pengamalnya di samping
penggunaan peralatan canggih, umpamanya jarum suntikan, ubat-ubatan secara
mekanikal, alatan pembedahan, teknologi komputer dan sebagainya yang
dikatakan dapat mengesan dan merawat sesuatu jenis penyakit yang dihadapi
oleh pesakit dengan pantas. Namun, tanpa kita sedari bahawa terdapat juga
beberapa kelemahan ketara sehinggakan sesetengah penyakit tidak dapat
dirawat dengan sempurna, pesakit mendapat kesan sampingan dan ada yang
menemui maut berpunca dari beberapa faktor tertentu.
Amat malang sekali, sistem perubatan tradisional tidak mempunyai ruang untuk
menyumbang jasa walaupun sebelum kehadiran sistem perubatan moden merampas
takhta dunia perubatan, sistem perubatan tradisional turut memainkan peranan
penting dalam menangani dan membendung masalah penyakit sehinggakan
penyakit-penyakit yang kronik dapat diubati dengan sempurna menyebabkan
pesakit-pesakit yang pernah menjadi mangsanya dapat hidup dengan sempurna.
Istilah sistem perubatan tradisional ialah sistem penjagaan kesihatan yang
diamalkan oleh orang-orang tua seperti bomoh, bidan, dukun, singseh,
penyembuh yang menggunakan ayurveda, sidha serta pengamal perubatan di
kalangan orang-orang asli.
Malaysia sebuah negara yang terdiri dari berbilang kaum turut melahirkan
pengamal-pengamal perubatan tradisional termasuk Melayu, Cina, India dan
orang asli. Kebanyakannya menggunakan sumber alam seperti tumbuh-tumbuhan
yang berasaskan kepada akar-akar kayu, buah, kuduk, badang dan daun sebagai
ubat-ubatan asli yang masih segar selain penggunaan tumbuh-tumbuhan herba
dan ulam dalam usaha untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang
merupakan beberapa konsep sepadu dalam dunia perubatan tradisional.
Amalan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan urutan refleksi yang
menggunakan kepakaran dalam ilmu saraf tradisi adalah gabungan yang mantap
sehingga pesakit dapat merasai kehebatan dan luar biasanya sistem perubatan
berkenaan.
Namun, apabila wujudnya sistem perubatan moden yang diasas dan ´dihebohkan´
oleh saintis dan pengamal perubatan Barat, sistem perubatan tradisional
tidak lagi diiktiraf dan pergerakannya terus dihalang oleh undang-undang
kesihatan. Sedangkan tanpa disedari umum, sistem perubatan tradisional
adalah pengasas dan pelopor asal dunia perubatan. Sebaliknya sistem
perubatan moden yang sering dibangga-banggakan oleh perubatan Barat dan
segelintir masyarakat moden hari ini adalah cedokan dan saduran dari
perubatan tradisi masyarakat dahulu yang kemudiannya disesuaikan menurut
kehendak sistem perubatan hari ini.
Melalui sistem perubatan moden kebanyakan pesakit yang mengalami masalah
kesihatan yang teruk, rawatannya memerlukan pebelanjaan yang terlalu mahal.
Jika mangsanya ialah golongan yang berkemampuan, ia tidak menjadi masalah
tetapi bagaimana pula dengan golongan yang berpendapatan rendah?
Satu hal yang perlu diutarakan ialah, perubatan moden banyak menggunakan
kaedah rawatan menggunakan ubat-ubatan umpamanya dalam bentuk pil, kapsul
mahupun dalam bentuk cecair. Kesemuanya ubat-ubatan yang dihasilkan
mengandungi bahan-bahan kimia yang secara langsung atau tidak, boleh
menimbulkan kesan sampingan terhadap pesakit, menyebabkan alahan dan mungkin
boleh melumpuhkan sistem imun dalam tubuh manusia. Ini kerana, ubat-ubatan
yang berasaskan kepada bahan-bahan kimia akan lebih beracun jika berlakunya
kecuaian dan aspek penjagaanya yang tidak diberikan keutamaan.
Malah sesuatu yang mengerikan ialah apabila seseorang pesakit itu memerlukan
pembedahan. Konsep pembedahan yang cermat dan sentiasa berhati-hati mungkin
tidak akan menimbulkan sebarang masalah dan dapat menghadapi risiko yang
bakal wujud. Namun jika berlakunya kecuaian yang berpunca dari tidak
menumpukan kepada kerja dengan sepenuhnya atau bersikap sambil lewa, pesakit
akan menjadi mangsa. Keadaan ini menimbulkan kesukaran dan tentunya boleh
menakutkan orang ramai untuk mendapatkan khidmat perubatan berkenaan.
Di Malaysia, sistem perubatan tradisional lagaknya kurang mendapat tempat
dalam mewujudkan keseimbangan kesihatan yang sepatutnya diperolehi oleh
setiap pesakit. Keadaan ini bukan sahaja didorong oleh kekangan
undang-undang kesihatan tetap juga sikap di kalangan sesetengah pengamal
perubatan moden itu sendiri termasuk beberapa pandagan oleh penulis pro-perubatan
moden dan iklan-iklan yang disebarkan melalui risalah dan juga dalam
media-media cetak elektronik.
Dalam dunia global hari ini yang sering berubah, sudah nampak beberapa
negara yang seolah-olah ingin kembali kepada sistem perubatan tradisional.
Ini kerana konsep perubatan moden yang kerap menemui kegagalan apabila
khidmatnya untuk merawat pesakit sering mengalami masalah. Telah ramai
saintis moden yang menyedari bahawa, rawatan secara tradisi menggunakan
kaedah alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, serangga dan hidupan kecil
mampu menjadikannya penawar dan pesakit yang malang dapat hidup lebih lama.
Contoh yang paling jelas ialah apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
serta kumpulan pertubuhan kesihatan lain turut menyedari bahawa perubatan
tradisional memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan orang ramai
pada masa lalu dan untuk masa hadapan. WHO sendiri sedang giat menggalakkan
perubatan tradisional sebagai satu komponen sistem kesihatan negara yang
penting.
Kebanyakan negara telah kembali kepada sistem perubatan tradisional kerana
konsep dan amalan yang wujud dalam rawatan tradisional tidak menyusahkan dan
tidak menakutan pesakit. Malah orang ramai menerimanya sebagai rawatan yang
terbaik sama ada boleh dilakukan sendiri dengan nasihat, tunjuk ajar atau
dengan bantuan pengamalnya.
Di Singapura, hampir seorang bagi setiap lapan orang rakyatnya memilih untuk
rawatan tradisional berbanding perubatan Barat. Di China, sistem perubatan
tradisional diiktiraf secara rasmi dan disatukan ke dalam sistem penjagaan
kesihatan. Di Vietnam, kerajaan menggalakkan setiap keluarga menanam
sekurang-kurangnya 12 daripada 58 tanaman berubat di rumah masing-masing.
Tahun lalu, India menggandakan belanjawannya untuk menggalakkan amalan
perubatan tradisional seperti ayurveda, sidha, unani, naturopati, ubatan
dari Tibet dan homeopati. Kementerian Kesihatan juga telah meminta semua
menteri untuk mengenalpasti sistem perubatan tradisional untuk membiayai
belanja perubatan pekerja dalam sektor kerajaan.
Maka apabila dilihat kepada jasa dan sumbangan sistem perubatan tradisional
terhadap kemampuannya mengubati pelbagai jenis penyakit yang sukar dirawat
oleh sistem perubatan moden, maka apakah perubatan tradisional akan
disia-siakan begitu sahaja? Apakah tidak ada alternatif lain supaya sistem
perubatan tradisional diiktiraf dan dapat bergerak seiring dengan perubatan
moden di samping dapat berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing?
Dalam konteks ini, sudah tiba masanya sistem perubatan tradisional di negara
ini diberikan laluan sepenuhnya tanpa mendapat kekangan dan halangan dari
memberikan khidmat yang terbaik dan terus berkembang supaya tidak
ditinggalkan zaman. Biarlah masyarakat umum yang membuat pilihan dan menilai
sendiri, sistem perubatan mana yang dianggap terbaik yang dianggap ´mesra
kesihatan´ atau menakutkan malah membebankan mereka dalam urusan
perbelanjaan rawatan.