|
Saman ekor: Ketahui hak anda |
|
Zulhazmi Shariff |
|
Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama. Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan Hak terhadap harta. (a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. (b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi. Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta. Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut. Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan. Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain. Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda. Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA? Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak. Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja. Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah. Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya. Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan? 1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010 JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis. Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI? 2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010 JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI 3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010 Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik? Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh: a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang. b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul. c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan. Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE) - harakahdaily |
Bayar saman atas ketidakcekapan komputer PDRM
BILA membaca luahan Robin Hood Gemereh Segamat dalam ruangan Forum pada 15 Disember 2010 bertajuk Saman trafik lama sudah dilangsai masih perlu dibayar amat meruntun kesayuan, kekecewaan dan kemarahan hati saya.
Ketika menyemak senarai saman untuk dibayar, ekoran tawaran istimewa 50 peratus oleh kerajaan bagi tujuan membaharui cukai jalan minggu lepas, saya berasa amat kecewa.
Bayangkan saman yang telah dilangsaikan tahun 2002 masih terpacak dan terpampang dalam cetakan saman PDRM. Dua kereta yang telah dijual lapan tahun lepas masih menjadi igauan saman.
Saya yakin telah membayar saman tersebut dan diberi resit perakuan bayar berlogo PDRM berwarna biru yang masih segar dalam ingatan. Ia adalah ekoran saya telah disenaraihitamkan untuk membaharui cukai jalan, tambahan pula pada masa itu PDRM telah mengadakan operasi bukan sahaja menyenaraihitam pesalah saman ekor malah operasi menahan pesalah trafik di rumah atau di pejabat.
Apakah barang kali ketidakcerdikan saya tidak menyimpan resit yang berusia hampir lapan tahun atau ketidakkecekapan sistem komputer PDRM yang menyebabkan saya dan ramai lagi menjadi mangsa untuk melangsaikan saman yang telah dibayar.
Adakah pengiktirafan ISO 9001: 2000 dalam kepala surat Cawangan Trafik PDRM hanya hiasan sahaja tanpa memenuhi amalan Prosedur Kerja Wajib, Prosedur Kerja Sokongan dan Prosedur Kerja Operasi menyebabkan kami menjadi mangsa.
Betul undang-undang menyatakan mesti dibuktikan dengan resit pembayaran tetapi ada masanya pertimbangan akal juga penting dalam merasionalkan kebenaran telah membayar saman tersebut.
Contohnya, bagaimana boleh saya membaharui cukai jalan dan lesen sekiranya saya disenaraihitamkan dalam operasi tahun-tahun lepas.
Bebanan untuk membayar saman yang telah dibayar mencecah ribuan ringgit, ditambah pula dengan bebanan persiapan belanja anak-anak ke sekolah dan persiapan perkahwinan anak. Alahai takdir atas ketidakcekapan komputer PDRM.
Kini masih mencari wang untuk bayar saman yang telah dibayar.
PESALAH TRAFIK ANIAYA
Sungai Buloh, Selangor
ARKIB Utusan Malaysia: 16/12/2010
Tak nampak papan tanda had laju
SAYA tidak terkecuali mengambil kesempatan tawaran diskaun 50 peratus oleh PDRM kepada pesalah trafik. Saya telah melunaskan dua saman ekor kerana melebihi had 70 km sejam (70Km/J) di Jalan Kepala Batas-Alor Setar; 81Km/J dan 87Km/J.
Saya akur dengan kesalahan trafik tersebut. Masalahnya, sepanjang lebih kurang 8 km dari Kepala Batas hingga ke lampu isyarat di Pusat Kesihatan Alor Setar/Penjara, melalui pemerhatian saya, masing-masing hanya ada satu sahaja notis atau papan tanda had laju.
Notis 70Km/J dari arah Kepala Batas ke Alor Setar 'terpacak' selepas jejambat yang merintangi landasan kereta api. Manakala notis dari arah Alor Setar ke Kepala Batas pula terpacak sebelum 'Kedah Medical Centre'.
Notis dari arah Alor Setar ke Kepala Batas - dilindungi oleh pokok Semarak Api. Justeru, pemandu dari kawasan Gunung Keriang menuju ke Kepala Batas atau Alor Setar, mereka tidak menyedari had laju di jalan tersebut ialah 70Km/J. Sekiranya mereka memandu melebihi had laju tersebut, wajarkah mereka dikenakan saman?
Saya ingin mencadangkan agar pihak berwajib memasang notis secukupnya agar pemandu-pemandu lebih berwaspada dan sebarang saman tidak mudah dipertikaikan.
MEJAR NOR IBRAHIM SULAIMAN TUDM (B)
ARKIB Utusan Malaysia: 15/12/2010
KAJI SEMULA SAMAN EKOR
SAYA memeriksa saman melalui SMS dan saya dapati saya hanya ada empat saman tetapi apabila disemak di balai polis, saman saya menjadi sembilan kesemuanya termasuk saman dari tahun 1999.
Apabila saya minta dari pihak polis penyata terperinci saman, saya telah diarahkan mendapatkannya di mana tempat/negeri saya di saman.
Masalahnya saya tak pernah pun pergi ke Johor semasa salah satu daripada saman itu di keluarkan. Saya bekerja di Alor Setar. Bayangkan kos yang terpaksa saya tanggung untuk ke Johor, Kelantan dan Pahang bagi mendapatkan penyata itu. Pastinya, perbelanjaan melebihi jumlah saman yang perlu dibayar.
Memandangkan kemudahan Internet terdapat di mana-mana sahaja, saya yakin saman terhadap kereta saya telah digunakan oleh penjenayah ataupun pesalah trafik lain. Apakah saya yang perlu membayar kesalahan tersebut.
Oleh kerana, masa untuk menjelaskan saman hampir tamat dan pada masa yang sama ibu bapa perlu menyediakan persiapan persekolahan anak-anak, maka saya syorkan supaya saman ekor ini dikaji semula.
Ia kerana banyak penganiayaan berlaku kepada mereka yang tidak bersalah apabila terpaksa menanggung kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain.
Bulan Madu
Alor Setar
ARKIB : 04/12/2010
SAMAN EKOR MENYUSAHKAN
ISU ‘saman ekor’ yang senyap seketika kini berkumandang semula. Ini kerana tarikh akhir penarikan balik langkah penangguhan menyenaraihitam kenderaan pesalah-pesalah trafik semakin hampir iaitu pada Februari 2011.
Saya yang merupakan salah seorang ‘mangsa’ saman ekor mahu pihak berkaitan terutama Kementerian Dalam Negeri memberi kata putus yang jelas dalam perkara ini kerana sehingga hari ini, masih banyak perkara yang belum jelas seperti selepas Februari 2011, berapakah tempoh yang sesuai untuk pesalah trafik menjelaskan notis saman ekor, berapakah jumlah kompaun yang tidak boleh dikurangkan, selain dakwaan sesetengah pihak yang merasakan diri mereka teraniaya kerana tidak memandu kereta yang disaman itu masih belum dijawab oleh pihak berkenaan.
Saya sendiri merupakan salah seorang mangsa kerana menerima hampir 10 saman ekor yang mana kesalahannya bukan saya lakukan.
Saya mengaku saya cuai apabila menjual kereta kepada seorang rakan tanpa menukar nama pada geran kereta tersebut. Kawan saya itu pula hilang entah ke mana dan selain terpaksa menanggung hutang bank bagi pembiayaan kereta tersebut, saya juga terpaksa berhadapan banyak saman ekor melibatkan kereta tersebut.
Saya berharap berilah sedikit keadilan kepada orang seperti saya. Sudahlah ketika ini saya terpaksa menanggung banyak masalah berkaitan kereta tersebut, ditambah pula dengan masalah saman ekor yang datang bertali arus. Harap pihak yang berkaitan dapat membantu saya.
Teraniaya
Kampung Cheras Baru
ARKIB : 04/12/2010

