HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

 

 

Siri Buku HBI

Perubatan Homeopati

 

 MENU

 

4

 

RAWATAN ‘FIRST AID’ HOMOEOPATI

 

Bab 4 Kecederaan Sistem Otot Rangka

 

 

KECEDERAAN SISTEM OTOT RANGKA

          Sistem ototrangka berfungsi menopang tubuh badan manusia serta  membolehkan  mereka bergerak di atas  bumi.   Ia
juga bertugas melindungi organ-organ utama seperti jantung,  paru-paru,  otak,  ginjal dan hati.  Apa yang disebut  sistem  otot rangka ini termasuklah tulang, sendi, ligamen dan otot.

          Banyak faktor yang menyebabkan berlaku kecederaan pada sistem  ototrangka. Namun, biasanya ia berlaku dalam kegiatan-kegiatan  bersukan, kemalangan sewaktu di jalan  raya, kemalangan  sewaktu  bekerja terutama di  kilang-kilang,  dan akhirnya  dalam  aktiviti-aktiviti  harian  yang   melibatkan kelalaian.

          Parah  atau tidaknya keadaan mangsa yang tercedera  bergantung  kepada faktor-faktor semasa kemalangan  itu  berlaku  (iaitu seberat mana kemalangan yang menimpa itu) dan bahagian-bahagian yang terlibat dengan kecederaan.  Bahagian yang terlibat mungkin sekadar otot-otot yang menyebabkan bengkak-bengkak atau sendi-sendi tertentu, tetapi mungkin juga membawa kepada pendarahan yang berpanjangan serta renjatan.  Kesan kemalangan seperti ini mungkin pula membawa kepada  kecacatan seumur hidup.

          Peranan bantuan perubatan - termasuk penggunaan penawar-penawar homoeopati - dan pertolongan cemas mungkin tidak dipandang besar, tetapi dalam keadaan-keadan tertentu, kehadirannya akan banyak membantu meringankan atau  mengelakkan implikasi  yang lebih buruk berlaku.  Malah  dalam  setengah-setengah keadaan, kesembuhan segera daripada penggunaan penawar menakjubkan sekali. 

          Kecederaan yang selalu disebut sebagai melibatkan sistem ototrangka meliputi:

Kecederaan Terseliuh

          Iaitu kecederaan bahagian sendi yang disebabkan  oleh rentapan  yang kuat dan mengejut sehingga merosakkan  ligamen atau  tisu-tisu yang kuat, bersabut dan tisu penyambung  yang
berhubungan  dengan  sendi berkenaan.   Keadaan  ini  berlaku apabila seseorang individu  melakukan pergerakan  mengejut seperti berlari atau melompat.

          Bagi darjah yang pertama, terseliuh menyebabkan sekeliling  sendi bengkak, lembut dan sakit.  Tiada  perubahan  pada warna kulit dan tiada darah dikeluarkan.

          Bagi  darjah kedua, sendi bengkak dan  lebamnya  ketara.  Dalam hal ini, terdapat perubahan warna pada kulit dan  pergerakan sendi menjadi terbatas.

          Bagi  darjah  ketiga, biasanya masalah  kecederaan  akan dirujuk  kepada  para doktor.  Di mana dari  segi  gejalanya, selain  daripada apa yang timbul pada darjah kedua,  didapati timbul  ketidakstabilan sendi dan terasa bahagian  yang  terpelecok tercabut keluar.

Rawatan Homoeopati:

          Lazimnya  dalam  kes kecederaan  fizikal  dalam  darjah pertama dan kedua, penawar paling bermanfaat ialah:  Arnica 6 atau 30, diberi sejam sekali sebanyak 4 kali, kemudian mengikut aturan biasa.  Ia akan menurunkan bengkak dan menghilangkan rasa sakit, juga akan membaiki saluran darah yang  cedera dan rosak.

          Sekiranya sebarang pergerakan menyebabkan atau menambahkan sakit, tukarlah kepada penawar:  Bryonia 6 atau 30.

Lebam atau Memar

          Ini adalah kecederaan kepada permukaan tubuh  yang menyebabkan  kulit berubah warna kepada biru atau  kehitaman.  Selalunya ia disebabkan oleh hentakan suatu benda yang  keras pada  struktur tisu lembut badan.  Kerosakan akan berlaku  di bawah  permukaan kulit dan saluran darah yang pecah mengakibatkan darah serta cecair sel keluar ke merata tisu.


Rawatan Homoeopati:

          Penawar  paling  utama  ialah  Arnica 6 atau  30 dikemam sejam sekali  sebanyak 4 kali.  Kemudian penawar tersebut sewajarnya  diambil  mengikut aturan.

          Sekiranya  kecederaan  tisu-tisu  otot  lebih  mendalam, beri:  Bellis Perennis 3.

Kecederaan otot

          Ini merupakan kecederaan natijah daripada bekerja terlampau kuat (over-exertion) atau otot diregang secara berlebihan  (over-stretch).   Ia terjadi apabila individu-individu  menggunakan otot secara mengejut dan berlebihan sehingga berlaku kekejangan otot.

          Biasanya  kecederaan  ini  dialami  oleh  individu  yang bersukan, seperti berlari kuat atau bermain badminton.

Rawatan Homoeopati:

          Dalam  hal ini, sesuai diberikan Arnica  30.   Sementara Arnica Lotion boleh disapu di bahagian luar.

 

Tergeliat atau Dislokasi

          Dislokasi berlaku apabila hujung tulang sendi terkeluar  daripada  kedudukannya  yang normal.  Kemungkinan  dalam  kes ini, ligamen yang mengikat kedua sendi dan tendon yang  melekatkan otot pada tulang, saraf dan saluran darah turut terlibat.   Seharusnya sendi yang tercedera jangan digerakkan  dan hendaklah diikat rapat pada badan.

          Lazimnya,  sendi-sendi yang terlibat ialah  bahu,  siku, lutut,  pergelangan  kaki, ibu jari, jari tangan  dan  rahang bawah.  Tanda-tanda dislokasi yang boleh diperhatikan  ialah:   bahagian 
berkenaan bengkak dengan cepat, sakitnya  bertambah kuat  dan  bahagian yang cedera kelihatan tidak selari dan menonjol bentuk-nya.

Rawatan Homoeopati:

          Penawar permulaan dan utama ialah:  Arnica 30.

          Setelah  kedudukan  tulang  dibetulkan pada sendi tercedera gunakan penawar:   Ruta Grav 30.

          Sekiranya bahagian yang cedera bengkak disebabkan  pembetulan sendi dan ianya menjadi semakin sakit apabila  digerakkan,  patut diberikan:     Bryonia 6 atau 30.

Fraktur

          Fraktur merujuk kepada tulang yang patah atau  retak.  Patah  atau retak tulang di bahagian yang  menerima  hentakan disebut  ”hentakan  langsung”.  Sementara tulang  yang  patah atau  retak dalam jarak yang jauh sedikit daripada bahagian yang menerima hentakan disebut “hentakan tak langsung”.

          Terdapat beberapa jenis fraktur, antaranya ialah:

a.  Fraktur tertutup - di mana ada tulang yang patah tetapi permukaan kulit tidak tembus atau luka.

b.  Fraktur terbuka  - iaitu bilamana tulang atau hujung tulang menembusi permukaan kulit.  Kesan buruk fraktur jenis ini ialah jangkitan kuman (sepsis) pada tulang dan tisu-tisu lembut.

c.  Fraktur penghancuran  -  di mana  tulang retak atau patah lebih daripada dua sehingga menjadi beberapa bahagian yang lebih kecil.

          Patah atau retak tulang merupakan kes yang serius yang memerlukan rawatan pakar perubatan.  Tindakan segera harus
diambil dalam kes ini sebab sebarang kelewatan boleh membawa komplikasi  lain  yang lebih merbahaya. Pembedahan mungkin juga perlu dilakukan.

          Antara tanda-tanda  patah  atau  retak  tulang   ialah:  bengkak  pada  bahagian  yang terlibat,  rasa  sakit  apabila digerak  atau ditekan, jangkauan pergerakan biasa terhad  dan anggota badan yang cedera berubah bentuk daripada biasa.

Rawatan Homoeopati:

          Rawatan segera untuk terkejut dan sakit:  Arnica 30.

          Setelah menerima rawatan daripada pakar, penawar yang akan  membantu  pembentukan tulang baru dan  memulihkan keupayaan bahagian yang cedera ialah:  Symphytum 3 atau 6,  tiga kali sehari selama sebulan.

 

< Atas>

 

-------- o --------

 

Hakcipta 1997 (CD Copyright 2005) Ó Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD