|
JOM LAWAT BANDAR DI RAJA
"KUALA KANGSAR"
Negeri
Perak dikatakan lahir dari aliran air yang menebing di Sungai Perak
daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selatan Melaka.
Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu
memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat. Mereka adalah
peneroka yang datang membuka tempat baru dan berinteraksi dengan pribumi
hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang.
Mereka mudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di
tebing kiri Sungai Perak. Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah
bersempena, lebih-lebih lagi tebingnya rendah, tanahnya subur dan
pemandangannya sungguh indah. Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala
sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'.
Kononnya itulah nama asal Kuala Kangsar, yakni daripada KUALA
KURANG SA.
Kuala Kangsar sebenarnya adalah satu lokasi yang sangat baik
sebagai tempat mendarat, untuk penempatan, untuk bercucuk tanam, dan
sebagai pusat perniagaan. Di daratnya seseorang boleh meneruskan
perjalanan menyusur sungai hingga ternampak Gunung Pondok, iaitu satu
mercu tanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari
Larut.
Berdasarkan keistimewaan ini dibuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar
dan kawasan di sekelilingnya adalah tempat tua, yang sudah berabad-abad
lamanya didiami orang.
Walaupun sudah lama saya
mendengar mengenai Kuala Kangsar, tetapi hanya pada tahun 2009 saya dan
keluarga sempat mengunjugi Kuala Kuala Kangsar. Kami sempat melihat
sekitar Sungai Perak, pasarnya dan ke istana-istana lama sahaja. Di sana
banyak bangunan-bangunan lama dan bersejarah. Mungkin kalau sempat
menginap selama dua malam sudah lebih dari mencukupi untuk menjelajah ke
semua tempat berkenaan kerana kawasannya tidaklah begitu luas.
Antara tempat-tempat yang mungkin menarik minat kita semua lawati ialah
Istana Iskandariah atau Iskandariah Palace, pokok getah pertama
dan tertua (simbol industri getah Malaysia), Istana Hulu atau Istana Kota,
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Museum Di Raja, Masjid Ubudiah,
Memorial Keris, Menara Pavilion Segi Empat (Pavilion Square Tower),
Air Terjun Kampung Hulu Kenas, pusat kraftangan Mariwasa dan safari Sungai
Perak.

Di sini dipetik
sedikit keterangan penjelasan dari laman web rasmi "Majlis Perbandaran
Kuala Kangsar":
SEKITAR
KUALA KANGSAR
Galeri Sultan Azlan Shah
Galeri Sultan Azlan Shah secara rasmi dibuka oleh DYMM
Paduka Seri Sultan Perak pada tarikh 9 Disember 2003. Awalnya istana yang
disebut "Istana Hulu" atau disebut Istana Kota terletak di Bukit Chandan,
merupakan istana konkrit yang pertama dibina di Negeri Perak.
RESORT SUNGAI PERAK
Resort Sungai Perak mula beroperasi pada 4 April 2000 di bawah pengurusan
sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Kewujudan Resort Sungai
Perak ini adalah bertujuan untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada
pelancong yang mengunjungi Bandar Diraja Kuala Kangsar.
RUMAH REHAT
KUALA KANGSAR
Rumah Rehat Kuala Kangsar telah dibina pada tahun 1960-an dan ia adalah
salah sebuah Rumah Rehat yang masih beroperasi sehingga kini di Bandar
Diraja Kuala Kangsar. Ia terkenal di kalangan pelancong asing kerana ia
tersenarai di dalam buku pelancongan antarabangsa.
LAWATI
KUALA KANGSAR
Tempat Menarik
Labu Sayong amat terkenal di Kuala Kangsar. Labu sayong itu sendiri
mendapat nama dari sebuah mukim di Kuala Kangsar iaitu Mukim Sayong.
Mengikut sejarah, labu sayong wujud dari sebiji buah labu tua yang
dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas mengisi air.
MASJID
UBUDIAH
Masjid yang terindah di Negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan
permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas
kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916)
kerana menunaikan nazar baginda.
MENARA
PAVILION
Bangunan ini terletak di Jalan Bendahara, Bandar Di Raja Kuala Kangsar.
Bangunan ini didirikan pada tahun 1920, iaitu semasa pemerintahan Sultan
Iskandar Shah yang memerintah Perak dari tahun 1918-1938. Arkiteknya ialah
N.E.Don B.C.D. Bangunan ini digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan
Iskandar selepas bermain polo.
JAMBATAN
VICTORIA
Jambatan keretapi ini disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di
Enggor, Kuala Kangsar. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula
dibina pada tahun 1897 dan siap serta dirasmikan pembukaannya oleh Sultan
Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900.
ISTANA
KENANGAN
Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga
dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas.
Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Istana yang
berdinding kelarai berbumbung perabut lima dan perabut pisang sesikat ini
telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun
1926.
POKOK GETAH
TERTUA
Terletak berhampiran dengan Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan satu-satunya
pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang
ditanam. H.N.Ridley adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Kuala
Kangsar sebagai daerah industri getah yang pertama
Jika ingin menginap, beberapa hotel yang murah boleh didapati,
termasuk
Hotel Seri Kangsar: Dari RM59 ke atas.
Rest House Kuala Kangsar: telefon: 05-7764262.
Antara RM80 Superior hingga RM170 bagi Suite
Kuala Kangsar Rest House
Bukit Candan
33000 Kuala Kangsar
Tel: 05 - 776 3872Double
Lion Hotel
74 Jalan Kangsar
33000 Kuala Kangsar
Tel: 05 - 776 1010
Tin Heong Hotel
34 Jalan Raja Chulan
33000 Kuala Kangsar
Tel: 05 - 776 2066
Sumber:
http://www.mpkkpk.gov.my/latarbelakang
http://www.virtualtourist.com/travel/Asia/Malaysia/Negeri_Perak/Kuala_Kangsar-1281714/TravelGuide-Kuala_Kangsar.html |