|

Sebagai ingatan kepada pembaca dan menyambut pesanan Kementerian
Kesihatan, adalah dimaklumkan bahawa sekarang bilangan kes denggi kembali
serius.
Daripada laman web Kementerian
Kesihatan, dilaporkan bahawa bermula dari 1 hingga 28 Januari 2012, terdapat
sebanyak 1,868 kes denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 2,048 kes
bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. Ini mungkin dilihat seolah-olah
berlaku penurunan sebanyak 15%.
Namun walaupun
kes yang dilaporkan setakat ini bagi tahun 2012 lebih rendah dari tahun
2011, namun sejak 4 minggu pertama tahun ini, terdapat trend yang
menunjukkan peningkatan kes denggi yang dilaporkan setiap minggu.
Peningkatan purata 14% setiap minggu
ini amat membimbangkan, dan ini ditambah lagi dengan peningkatan kes
kematian, di mana dalam tempoh 4 minggu saja telah terdapat 6 kematian
denggi dilaporkan, berbanding dengan hanya 3 kematian dalam tempoh yang sama
pada tahun 2011.
Tiga negeri yang telah menyumbang
kepada kes kematian denggi pada awal tahun ini adalah: Selangor yang telah
melaporkan 3 kematian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 2 kematian
dan N. Sembilan terdapat satu kematian.
Kes-kes kematian ini melibatkan
pesakit berusia antara 9 tahun hingga 50 tahun, di mana 2 daripada 6
kematian terbaru terjadi pada minggu lepas, dan merupakan pelajar sekolah
rendah yang berusia 9 tahun dan seorang pelajar kolej berusia 18 tahun.
Di dalam kenyataan akhbar oleh Ketua
Pengarah Kem Kesihatan pada 31 Januari itu, pada keseluruhannya 5 daripada 6
kematian ini berlaku di kawasan berisiko denggi iaitu sama ada kawasan wabak,
kawasan mempunyai pembiakan Aedes yang tinggi atau kawasan bekas wabak
denggi.
Semua pesakit yang terlibat dalam
kes kematian ini dikatakan mempamerkan simptom-simptom mengalami gejala
demam dengan 2 simptom yang lain seperti sakit kepala, muntah, sakit otot,
sakit sendi, sakit badan, tiada selera makan dan ruam.
Anggota masyarakat diminta tidak
memandang remeh sekiranya mereka mengalami demam dan dinasihatkan untuk
mendapatkan rawatan awal daripada klinik berhampiran bagi mengelakkan
komplikasi akibat denggi. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka tinggal di
kawasan wabak Denggi.
Pengamal-pengamal perubatan juga
diminta supaya sentiasa peka dengan kawasan wabak denggi atau hotspots
bagi membantu mereka untuk mendiagnosa kes denggi dengan lebih awal dan
mengurangkan risiko kematian akibat denggi.
Kementerian Kesihatan menyeru agar
masyarakat dan semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan
bukan kerajaan untuk menjayakan akitiviti pencegahan Denggi secara
berterusan.
Seruan Ketua Pengarah Kesihatan
Malaysia,
DATO’ SRI DR HASAN ABDUL
RAHMAN harus diambil perhatian oleh semua pihak, termasuk mereka yang
terlibat dalam rawatan alternatif.
WaLlahhu a'lam.
[12.15
mlm,
9 Feb 2012]
- Admin drhatta.com.
|