|
Isu besar dalam pensijilan halal sebenarnya bukan sekadar masalah
masyarakat bukan Islam tidak memahami proses pelaksanaan, pemberian sijil
dan status halal. Kami percaya itu hanyalah gembar-gembur media.
Masalah lebih besar lagi ialah mengapa syarikat Islam dan
bumiputra sukar mendapat permit atau logo sijil halal. Di waktu logo sijil
halal belum diperkenalkan, sudah ramai peniaga dan syarikat orang-orang
Melayu Islam mengeluarkan produk makanan dan barangan.
Pada masa itu, pelanggan mereka ramai dan tidak timbul
sebarang keraguan (tentang halal haram) justeru pemilik dan pekerja mereka
adalah di kalangan orang Islam. Keraguan hanya mungkin berkaitan barangan
dan makanan yang dikeluarkan oleh orang-orang atau syarikat bukan Islam.
Malangnya sejak sijil dan logo halal diperkenalkan, orang Islam
dan bumiputra ketinggalan dalam perolehan status dan logo halal. Kami
percaya hal ini berlaku bukan kerana kurang kesedaran di kalangan pengusaha
dan peniaga Melayu Islam, tetapi sebaliknya adalah justeru syarat-syarat
yang ketat diperkenalkan bagi memperoleh logo halal yang dikatakan "halalan
thoyyiban."
Justeru, adalah tidak pelik apabila Berita Harian pernah
melaporkan pada 18 Dis 2010 bahawa:
"Mereka menjadikan logo halal
sebagai alat pemasaran untuk memenangi hati pengguna. Statistik 2010
menunjukkan 74.7 peratus pemegang sijil halal Malaysia adalah bukan
Bumiputera untuk kategori produk, premis makanan dan rumah sembelihan.
Jumlah keseluruhan pemegang sijil halal Malaysia bagi 2008-2010 (sehingga
Oktober) ialah sebanyak 3,889. Jumlah ini dijangka meningkat selepas pindaan
Akta Perihal Dagangan 1972 yang dijangka berkuatkuasa tahun depan."
Melihat isu ini, kami percaya mutakhir ini peratus pengusaha Melayu Islam
memperoleh sijil Halal semakin menurun dan peratus bukan Bumiputra Islam
pula kian meningkat.
Isu yang lebih besar hari ini bukan lagi soal orang bukan Islam
tidak memahami pentingnya logo dan status halal, tetapi lebih kronik lagi
ialah mengapa pengusaha Islam gagal memperoleh logo halal.
Apakah justeru syaratnya terlalu ketat, apakah apabila syarikat
itu mempunyai taraf GMP baru sijil halal itu boleh diproses dan dikeluarkan,
apakah ada unsur rasuah dalam pemberian sijil halal?
Di manakah peranan status pemilik dan pekerja muslim dalam
pengilangan produk halal jika mereka tidak layak mendapat logo halal?
Bagaimana pula peranan GMP sehingga syarat itu menjadi lebih penting dan
membolehkan syarikat gergasi walaupun bukan milik orang Islam mendapat
prioriti kepada perolehan sijil halal ?
Persoalan lain ialah, tidakkah boleh pihak yang berkenaan
mempermudahkan isu ini dengan cara membuat klasifikasi logo halal? Contohnya,
ada produk halal yang dikeluarkan oleh Syarikat GMP dan ada produk halal
yang dikeluarkan oleh syarikat biasa (khusus bagi produk yang dikeluarkan
oleh orang Islam).
Kami percaya isu ini wajar diberi perhatian serius jika kita
benar-benar mahu orang Islam kembali menguasai bidang pengeluaran produk,
premis makanan dan rumah sembelihan. Kita berharap peraturan kita tidak
mencekik usahawan kita sendiri.
Seorang sahabat yang kami temui baru-baru ini menyatakan bahawa "sangat
jelas apabila kita tinjau ke mini market dan pasaraya besar, 90 peratus
daripada produk halal adalah milik bukan Islam. Kita sudah hilang penguasaan
ke atas produk yang dulunya kita monopoli".
IKIM
sedia bantu Jakim berkenaan isu sijil Halal
Daripada laporan The Malaysian Insider, kami
petik artikel berikut yang menyatakan —
Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini menyatakan kesediaan untuk
bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sekiranya pihak berkuasa
agama itu menghadapi masalah berkaitan pelaksanaan sijil halal di negara
ini.
“Ikim memberi perhatian serius kepada masalah ini,
Islam cukup terbuka untuk memberikan kefahaman kepada semua termasuk
mereka daripada agama lain,” jelas Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad
Badawi
Bekas perdana menteri itu
berkata, pemahaman yang lebih jelas diperlukan bagi menerangkan kepada
masyarakat bukan Islam berkenaan pelaksanaan sijil halal yang dilihat
tidak diambil berat oleh segelintir pengusaha produk makanan di negara ini.
“Jalan penyelesaian yang
terbaik bukanlah mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya memberi
kefahaman dan penerangan kepada mereka berkenaan status halal ini.
“Sekiranya mereka memahami
perkara itu, tidak akan timbul sebarang masalah berkenaan isu halal ini,”
katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pencapaian
Umat Islam Pasca-Merdeka: Pengajaran dan Langkah ke hadapan di ibu pejabat
Ikim di sini.
Tambahnya lagi, Islam adalah
agama yang menjurus kepada pemahaman dan pengajaran, bukannya bersifat
menghukum.
“Program-program yang
dianjurkan bukanlah untuk diragui, Islam adalah kebaikan dan Ikim selaku
pusat kefahaman berkenaan Islam sedia membuka peluang kepada masyarakat
untuk memahami dengan lebih lanjut berhubung perkara ini,” katanya lagi.
Bagi menyelesaikan kemelut itu,
Ikim menurutnya akan mengadakan seminar Kemelut Pemakanan Halal, yang
dijangka berlangsung dari 24 hingga 25 April ini bagi membincangkan
perkara tersebut dan memberi kefahaman terhadap masalah itu di samping
membentuk hubungan yang baik antara agama.
Baru-baru ini isu halal mula
menjadi perhatian umum berikutan terdapatnya segelintir pengusaha premis
yang tidak mempamerkan logo berkenaan, dan juga terdapat antara mereka
yang memaparkan logo palsu dan tidak diiktiraf oleh Jakim.
Jakim dalam satu kenyataan
lewat minggu lalu telah mengeluarkan kenyataan supaya masyarakat tidak
mempercayai emel berantai yang dihantar oleh sesetengah individu yang
berniat merosakkan nama baik sesebuah syarikat atas dasar persaingan.
Isu halal merupakan perkara
yang serius bagi masyarakat Malaysia kerana majoriti penduduk negara ini
adalah komuniti Muslim.
WaLlahhu a'lam.
[12.30
pg, 22 Feb 2012]
- Admin drhatta.com.
|