|
Sesekali
kita gemar membincangkan masalah menopaus yang biasa dan pastinya berlaku di
kalangan wanita. Ia berlaku apabila seseorang wanita itu putus haid, di mana
keupayaan reproduktif mereka untuk mengandung dan
melahirkan anak sudah tiada lagi.
Jika wanita mengalai menopaus, apa pula yang akan
dialami oleh kaum lelaki? Inilah yang dibincangkan oleh sesetengah pakar
perubatan. Akhirnya kira-kira pada tahun 1940an, andropaus menjadi topik
utama apabila ia dibincangkan di dalam sebuah jurnal Persatuan Perubatan
Amerika (Journal of the American Medical Association).
Bagaimanapun perkataan atau terma andropaus
sebenarnya tidak begitu tepat untuk menggambarkan senario yang dihadapi oleh
kaum lelaki. Sebagai istilah umum - okey, tetapi untuk menggambarkan sebagai suatu
keadaan yang membimbangkan yang bakal dialami seperti kaum wanita, tentu
sekali tidak.
Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza
dengan wanita. Oleh kerana ramai menjangka kaum lelaki akan
mengalami masalah seperti juga wanita (walaupun tidak pasti..), istilah itu
sengaja diperbesarkan. Seperti
biasa ia akan cepat disebar di kalangan pengamal/pembekal perubatan kerana bahagian
promosi juga akan berjalan serentak.
Bagi sesetengah lelaki, penurunan paras hormon
testosteron dikatakan berlaku secara perlahan-lahan bermula di akhir usia
30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil
sindrom kurang hormon testosteron. Inilah yang kononnya digembar-gemburkan
sebagai bermulanya andropaus.
Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku
amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan
simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Tetapi corak penurunan hormon
ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.
Mungkin bagi mereka yang menghadapi masalah
tertentu seperti gout, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan penyakit
jantung, paras hormon akan cepat menurun. Tetapi bagi mereka yang
mengamalkan gaya hidup sihat, corak kehidupan yang positif, maka paras
hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat
perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.
Justeru, wajarkah prosmosi dibuat sebegitu
hebat buat menarik kaum lelaki untuk membeli produk-produk tertentu? Jawapan
kami - Mungkin ya. Mungkin juga tidak.
Apapun, kalau menopaus (menopause)
diterima umum, tetapi istilah andropaus (andropause) masih belumpun
diperakui oleh badan pertubuhan kesihatan dunia, WHO. Andropaus sekadar
menggambarkan peringkat kehidupan di mana simptom-simptom penuaan semakin
menyerlah di dalam diri seorang lelaki.
Tegasnya, andropaus bukanlah menopaus (Meno
= menstruation
Pause =
stops). Lelaki yang berusia
antara 45-55 tahun bukan seperti wanita yang sebaya dengannya. Perjalanan
seorang lelaki adalah lebih jauh.
Maksud kami, tentulah secara khususnya merujuk
kepada lelaki yang sihat dan kuat.
Namun jangan lalai jika tiba-tiba anda mengalami simptom-simptom
seperti keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau
libido, kurang kekerasan zakar atau air mani dan beberapa simptom yang
kurang jelas.
Itu merupakan beberapa petanda yang mungkin menunjukkan anda wajar mendapat
pemeriksaan kesihatan atau rawatan bagi memperbaiki kualiti kehidupan
sebagai seorang lelaki. Apa lagi, jika anda masih berpasangan.
Jadi, apa salahnya jika bertanya dan berjumpa yang sedikit pakar
bagi mendapatkan nasihat lanjut. Di samping itu, jangan lupa amalkan cara
hidup sihat dalam amalan seharian.
WaLlahhu a'lam.
[9.15 pagi,
6 Feb 2012]
- Admin drhatta.com.
|