|

Hari ini, wartawan Syed Mu'az Syed Putra melaporkan di dalam the
Malaysian Insider bahawa bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Zainul
Abidin menegaskan pemimpin parti politik perlu “memisahkan” agama dari
politik agar kesucian sesuatu agama itu terjamin dan dihormati.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider, Dr. Asri berkata pemimpin politik sering mempergunakan agama untuk kepentingan
sendiri kerana semata-mata mahu menyelamatkan diri dan menghalang kebenaran.
“Saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik tetapi saya
menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik."
“Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik
yang mempergunakan agama,” katanya lagi.
Beliau memberi alasan bahawa sesuatu agama akan dipandang serong
sekiranya ia dipergunakan oleh pihak tertentu.
“Sebab itu amatlah merbahaya apabila agama itu telah menjadi
senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri.
Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia.
“Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa
dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat.
Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan
mimpi,” Demikian jelasnya.
Dr. Asri menambah, pemimpin politik seharusnya sedar dan tidak
lagi menjadikan agama sebagai “mangsa” dan “alat” untuk tujuan peribadi.
“Maka tidak hairan jika melihat nama Tuhan sering dipergunakan
oleh ahli politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan
segala jenis manusia yang berkepentingan.
“Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa
reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat
Islam sebaliknya semua agama,” katanya.
Dalam kenyataan itu, beliau turut menyentuh mengenai seorang
pemimpin yang baru dipecat keanggotaan dari sebuah parti — merujuk kepada
Datuk Dr Hasan Ali, yang bangkit memperjuangkan agama Islam, hak orang
Melayu dan raja-raja Melayu.
“Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang
perjuangan murninya setelah dipecat ialah membela Islam, Melayu dan
raja-raja Melayu sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam
demikian juga raja.
“Jika Islam diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala
bangsa, raja dan rakyat. Namun apabila Islam dipergunakan, Islam dinodai
untuk tujuan tersendiri. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita?”
soalnya seperti dilaporkan dalan the Malaysian Insider.
Apa yang dinyatakan oleh Dr. Asri itu merupakan antara intipati
daripada kandungan tulisan beliau dalam blog drmaza.com yang bertajuk "Agama
Sering Menjadi Mangsa".
WaLlahhu a'lam.
[9.30
mlm,17 Feb 2012]
- Admin drhatta.com.
|