|

Pas
dan PKR hari ini menerima pukulan serentak membabitkan parti masing-masing.
Kedua-duanya melibatkan dua orang penting dalam parti.
Berita Harian melaporkan Menteri Besar Kedah,
Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus menerima tekanan apabila lima ahli EXCO
PAS Kedah memboikot mesyuarat khas tertutup parti itu yang dipengerusikannya
di ibu pejabat PAS Kedah.
Apabila beliau ditanya mengenai konspirasi yang
dikatakan akhbar sebagai usaha untuk menjatuhkannya itu, beliau sekadar
berkata rancangan itu tidak akan menjejaskan kredibiliti dan kedudukan
beliau sebagai pemimpin negeri. Beliau dipetik sebagai berkata:
“Saya masih Menteri Besar dan saya akan bekerja seperti biasa. Macam-macam
cerita keluar sejak dari hari pertama saya menjadi Menteri Besar sampai la (sekarang)."
Dan jelasnya,
“Selepas empat tahun, saya masih bertahan,” demikian
petikan kata-katanya dalam akhbar arus perdana itu.
Sementara itu, beberapa blog dan akhbar utama memasukkan pada hari yang
sama laporan yang menyatakan salah seorang pemimpin PKR ditangkap kerana
khalwat.
Pemimpin PKR Selangor, Dr. Badrul Amin Bahrom
dikatakan diserbu ketika berada di sebuah hotel
di Kuantan semalam. Wanita itu
dikatakan sering menghubungi beliau untuk meminta nasihat tentang masalah
keluarga termasuk keganasan rumahtangga. Dalam usaha membantu wanita dan
suaminya itu, beliau dan isteri pernah mengunjungi keluarga mereka di
Rompin.”
Dr. badrul Amin
mendakwa bahawa beliau telah menjadi mangsa “perangkap dan berniat
memalukannya". Sedangkan pada masa itu beliau dikatakan sedang
berada di hotel itu untuk satu pertemuan
bersama pemimpin PKR lain selama tiga hari yang dijangka berakhir pada hari
ini.
Kenyataan penafian beliau telah disiarkan di dalam
harakahdaily. Antara kandungan kenyataan tersebut adalah,
"Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita
tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan
bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih
kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami
wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara
paksa.
"Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila
pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak
membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh
samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan
saya yang berseorangan di dalam bilik.
Setakat ini tiada akhbar yang menafikan kehadiran
anak suami isteri itu yang ada bersama ketika serbuan dibuat. Yang
digembar-gemburkan ialah kes yang dikatakan khalwat. Di dalam KL-Today, Dr.
Badrul Amin dilaporkan berkata:
"Sudah tentu saya
tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana
pihak yang berbuat demikian.”
Sementara itu,
Timbalan Pengarah Jaip, Mohd Ghazali mengesahkan mengenai kejadian itu namun
enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan berhubung perkara
itu.
Insiden seperti ini dan diperbesarkan pula oleh
akhbar arus perdana merupakan petanda jelas bahawa PRU 13 memang sudah
tersangat hampir.
WaLlahhu a'lam.
[11.05 pg,
26 Feb 2012]
- Admin drhatta.com.
|