|
Di dalam surah al-Haj, Allah subhanahu wa
ta'ala menyatakan pada ayat ke 5,
"Dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu)
apa yang Kami rancangkan hingga suatu masa yang ditentukan lahirnya;
kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu
dipelihara) hingga sampai peringkat umur dewasa; dan dalam pada itu ada di
antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula
yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak
mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu".
Di dalam ayat di atas kita dapati sedikit panduan mengenai
peringkat-peringkat hidup manusia yang diceritakan bermula sejak dari dalam
kandungan rahim seorang ibu sehingga insan itu tua nyanyuk dan meninggalkan
alam ini.
Dalam
dunia akademik, jarang sekali ilmuan merujuk kepada peringkat-peringkat
hidup yang nampaknya begitu umum. Rujukan daripada ilmuan Barat
pula sama ada ianya Sigmund Freud, Piaget, Ericson atau ramai lagi berpusat
kepada materialisme dan mengutamakan apa yang sempat dibuat pemerhatian dan
ujikaji.
Itupun, apa yang diutarakan mereka hanyalah
sekadar teori. Mereka juga lebih gemar memperkatakan tentang perkembangan
emosi, kognitif, pembelajaran manusia dan apa yang dapat dicapai oleh
seseorang pada peringkat umur yang berlainan. Mereka tidak sekali-kali akan
cuba menghubungkan dengan amal ibadah serta tabiat manusia berhubung dengan
etika, amalan keagamaan dan pendidikan.
Justeru, apabila kita membicarakan mengenai umur
dan perkembangan manusia, kita lebih suka merujuk kepada
'ulama Islam yang dikenali sebagai
Imam Ibnu al-Jauzi. Mengikut al-Jawzi, umur manusia ini boleh dibahagikan
kepada lima peringkat, iaitu:
Pertama :
Masa Kanak-kanak - sejak dilahirkan hingga mencapai umur lima belas
tahun. (0 - 15 thn)
Kedua :
Masa Muda - dari umur lima belas tahun hingga umur tiga puluh lima
tahun. (15 - 35 thn)
Ketiga :
Masa Dewasa - dari umur tiga puluh lima tahun hingga umur lima
puluh tahun. (35 - 50 thn)
Keempat :
Masa Tua - dari umur lima puluh tahun hingga umur tujuh puluh tahun.
(50 - 70 thn)
Kelima :
Masa Usia Lanjut - dari umur tujuh puluh tahun hingga akhir umur
yang dikurniakan oleh Allah. (70 - akhir hayat)
Berdasarkan pembahagian ini, peringkat pertama
dikatakan ibarat masa menanam. Kanak-kanak dari bayi sehingga ke usia 15
tahun banyak dipengaruhi oleh pendidikan orang tua dan persekitaran.
Di peringkat kedua, individu sudah menjadi
mukallaf, di mana semua perjalanan hidupnya wajar mengikut syari'at. Mereka
yang berjaya melewati usia ini dalam pegangan dan acuan agama yang mantap
tergolong di kalangan pemuda mulia dan bertaqwa.
Peringkat kedua ini banyak cabarannya. Tidak mudah
untuk taat beribadah dan mendengar sahaja. Cabaran-cabaran nafsu, syahwat
serta pengaruh persekitaran seperti yang diceriterakan oleh ilmuan Barat
adalah cabaran yang kuat menentukan sejauh mana seseorang itu berjaya dalam
kariernya sebagai insan saleh.
Justeru, menjelang usia 40, keadaan fizikalnya
mula berubah. Dari usia 35 hingga 50 tahun, kita saksikan uban mula tumbuh
di celah-celah rambut dan janggutnya, demikian juga derianya seperti mata
yang kini mesti menggunakan bantuan kaca mata untuk membaca. Itu semua bukan
sekadar kejadian, tetapi juga merupakan peringatan.
Pada waktu inilah sebahagian insan mulai
introspeksi diri. Dia cuba refleksi kembali pengalaman yang dilaluinya dan
ramai yang mulai bermuhasabah. Apa yang kurang di masa lampau akan cuba
ditokok-tambah atau dilengkapi. Usaha untuk kembali ke pangkal jalan atau
bertaubat menunjukkan individu itu adalah insan yang saleh.
Apabila masuk ke fasa ke empat dalam peringkat
usia Ibnu al-Jauzi, seseorang itu sudah benar-benar matang. Pendirian dan
pegangan hidup individu pada peringkat ini sukar diubah. Tetapi pada usia
ini, perjuangan hidup masih rancak. Ini boleh dilihat daripada sejarah
perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sendiri.
Kerana itu, tidak pelik jika mereka yang melakukan
dosa dan maksiat boleh bertaubat. Inilah waktu untuk mereka menyorot hidup
yang mulai dilanda bermacam-macam kemerosotan dan penyakit. Ini adalah masa
yang baik untuk mengingati mati serta beramal saleh.
Peringkat akhir di mana usia sudah mencecah 70
tahun dan ke atas, tidak ramai insan daripada umat Rasulullah s.a.w
mencapainya. Ini tidak menafikan mereka yang masih sihat, kuat ingatan dan
masih boleh memimpin. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul
Aziz Nik Mat adalah antara orang yang masih bernas fikiran dan mantap
fizikal dan emosinya. Dan ini dicapai mereka dalam usia sudah melebihi 80
tahun.
Jika anda bukan dari kalangan ahli ibadat atau
dari kalangan yang tidak beragama, apakah yang anda bakal buat pada usia
begini? Di waktu inilah pentingnya agama dan ibadat sebagai teman hidup.
Itupun jika individu itu belum sampai tahap nyanyuk.
Bagi seorang yang beriman, pada waktu ini masanya
akan dipenuhi dengan istighfar, taubat dan amal ibadat buat bekalan akhirat.
Jika ilmu agama banyak dituntut semasa muda belia, masa dan amalan yang
banyak boleh diperoleh di usia ini. Mudah-mudahan beliau memperoleh
husnul-khatimah.
Perlukah kita mencapai umur sehingga seratus tahun?
Di dalam ajaran agama kita, dikatakan
sebaik-baik umur ialah umur yang
diberkati Allah subhanahu wa ta'ala, yang diberi taufiq untuk mengerjakan
amalan soleh, kebajikan dan menambahkan kebaikan.
Dalam
hubungan ini, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda seperti yang
diriwayatkan oleh al Hakim dari Jabir Radhiallahu 'Anhu:
خَيرُكم
مَن طالَ عُمْرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ
Maksudnya:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang panjang umurnya dan baik amalnya kepada
Allah".
WaLlahhu a'lam.
[11.30
mlm,
28 Feb 2012]
- Admin drhatta.com.
|