|
Sejak
10 atau 12 Januari 2012, kebanyakan pelajar-pelajar institusi
pengajian tinggi di Malaysia mulai menerima baucar BB1M. Bagi mereka
yang tidak sempat menuntutnya, semalam ataupun hari ini peluang
mendapatkan baucer itu masih dibuka.
Seperti yang
telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri
Kewangan semasa Pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011,
kerajaan telah mencadangkan peruntukan sebanyak RM260 juta diberi bagi
melaksanakan inisiatif pemberian buku baucar berjumlah RM200.
Inisiatif yang
dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta orang pelajar ini dirangka
untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian. Selain
daripada itu, inisiatif ini dijangka dapat memupuk minat membaca di
kalangan rakyat Malaysia.
Baucar yang hanya sah selama tiga bulan ini hanya diberikan kepada yang
berkelayakan berikut:
a) Warganegara
Malaysia;
b) Lepasan SPM atau setaraf dengannya yang sedang melanjutkan
pengajian di pusat matrikulasi/ tingkatan 6/ Politeknik/ institusi
pengajian tinggi dalam bidang diploma, diploma lanjutan, ijazah,
sarjana dan doktor falsafah;
c) Sedang melanjutkan pengajian dan status aktif di pusat matrikulasi/
tingkatan 6/ institusi pengajian tinggi pada Januari 2012;
d) Pelajar yang sedang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa dan
separa masa;
e) Pelajar yang sedang mengikuti pengajian di bawah program kerjasama
dan mendaftar di bawah anak syarikat IPT berkenaan;
f) Menuntut di institusi pengajian di bawah seliaan Kementerian
Pengajian Tinggi atau diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia;
g) Pelajar di Institusi Pendidikan Guru (IPG) di bawah program Ijazah
Sarjana Muda Perguruan (PISMP) tidak layak menerima baucar ini kerana
telah diberi elaun buku sebanyak RM600; dan
h) Pelajar yang sedang mengikuti bidang Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI) tidak layak menerima bantuan ini kerana pelatih KPLI
adalah pelatih pra-perkhidmatan (telah diberi elaun).
Walaupun sesetengah pihak boleh
melihat pengagihan BB1M ini sebagai satu lagi perbelanjaan politik, di
mana ianya bersifat one off menjelang pilihan raya, namun maknanya
kepada pelajar amat besar. Sedikit sebanyak ianya mengurangkan beban
dan pastinya terdapat manfaat dari segi semangat dan pembacaan.
Demikian juga kesannya terhadap ekonomi, sudah pasti perbelanjaan ke
atas buku-buku memberi impak positif. Perbelanjaan ke atas buku-buku
ini akan samalah kesannya seperti wang bantuan persekolahan sebanyak
RM100 yang telahpun diberikan.
Kedua-dua
perbelanjaan di atas menjadikan permintaan domestik lebih aktif dan
akan menggalakkan pertumbuhan, seperti juga kenaikan gaji di kalangan
kumpulan sokongan atau bawahan.
Ini berlaku kerana kecenderungan berbelanja kumpulan tersebut
adalah tinggi berbanding kumpulan atasan yang berkecenderungan
menyimpan atau berbelanja di luar negara.
Kami juga percaya kesan positifnya
akan mengimbangi sedikit terhadap kerisauan kemungkinan ekonomi akan
meleset dalam tahun 2012 justeru tempias daripada negara-negara di
Barat.
WaLlahhu a'lam.
[8.00 pagi, 17 Jan 2012]
- Admin drhatta.com.
|