|
Betapa kemaruknya tindakan ingin memperoleh wang dalam dunia fana' ini
dapat kita saksikan dalam cerita ini. Iaitu bila sekali lagi dengan
semberononya peguam Bank Islam Malaysia Berhad menerusi Seljena
Services menghantar Notis Kebangkrapan. Kali ini dihantar pula kepada
isteri konsultan. Persoalannya, wajarkah tindakan itu?
Meskipun
konsultan kami telah membayar RM14,000 sejak tiga bulan lalu dan
bayaran seterusnya bakal menyusul, mereka melakukan kesilapan lagi
dengan cara menghantar Notis Kebangkrapan yang kedua. Mereka
seolah-olah tidak faham bahawa kes isteri dan konsultan HBI merupakan
kes yang sama dan jumlah kehilangan akibat cek klon tidak lebih
daripada RM63,170 yang mana sedang dalam proses pembayaran.
Bagaimana hal ini boleh
berlaku? Samalah halnya dengan perbicaraan semasa di Mahkamah Sesyen
dahulu. Entah berapa kali peguam Bank Islam terpaksa meminda
pendakwaan kerana kesilapan fakta. Yang mana dalam keadaan biasa kes
itu bisa dibuang saja.
Justeru yang mendakwa itu ialah Bank yang punya wang berjuta dan
berkuasa serta boleh mempengaruhi mahkamah, maka pindaan demi pindaan
dibenarkan. Itupun bila masuk bicara dalam mahkamah sesyen mereka tetap kalah.
Pembayaran yang terpaksa
dibuat oleh konsultan tidak lebih disebabkan peguambela konsultan
telah tersilap menerima lantikan sebagai panel Bank Islam. Akibatnya
Bank Islam dan peguamnya mendapat laluan Mahkamah Tinggi untuk
menuntut daripada konsultan yang mana jika tidak dijelaskan akan
membawa kepada tindakan muflis. (tetapi itu semua sudah
menjadi sejarah)
Berbalik, kepada cerita tadi,
apabila konsultan kami menelefon peguam Bank, beliau menyatakan bahawa
beliau akan berbincang dengan pegawai Bank Islam mengenai hal itu dan
mendapatkan penjelasan tentang kedudukan cerita sebenar.
Demikianlah halnya kawan-kawan,
pada peringkat inipun kecuaian di pihak peguam dan Bank Islam masih
berlaku. Namun mereka boleh memperbaiki kesilapan itu. Mereka tetap
menang.
Lantas, pada 12 Januari lalu,
konsultan kami telah pergi berjumpa dengan peguam Bank di dalam premis
Bank Islam dalam bangunan MARA Jalan Raja Laut. Di sana, empat keping
cek post-dated diberikan yang mana kesemuanya berjumlah RM49,170
Seperti biasa, bersama dengan
cek-cek itu, dikepilkan sehelai surat yang menyatakan maksud
pembayaran kesemua jumlah itu ialah bagi menutup kes. Pihak konsultan
tidak lagi mahu buang waktu melayan surat-surat ugutan bankrap dari
syarikat gergasi.
Tetapi di dalamnya sekali lagi
ditegaskan bahawa konsultan kami adalah sebenarnya mangsa dan
teraniaya apabila beliau beserta isteri diminta menjelaskan kesemua
jumlah itu.
Penganiayaan (selepas ditipu penjenayah)
kedua ini berlaku apabila pihak Bank Islam Malaysia Berhad tidak
sedikitpun ingin mengambil tanggungjawab kecuaian ataupun kegagalan
menjaga keselamatan akaun apabila cek-cek yang dimasukkan itu bolos
selama seminggu.
Semua orang tidak mahu rugi. Dan
jika terpaksa menanggungnya, rugi itu boleh dikongsi jika kita
mempunyai budi-bicara dan semangat bekerjasama.
Tetapi Bank Islam sama juga dengan
mana-mana bank sekular dalam dunia ini. Mereka tetap melihat kepada
ringgit dan sen, atau kepada keuntungan semata-mata. Jika kesilapan mereka
boleh dipindahkan ke bahu orang lain, pasti akan dipindahkan.
WaLlahhu a'lam.
[8.00 pagi, 16 Jan 2012]
- Admin drhatta.com.
|