|
Tengahari ini, berita yang agak mengejutkan tetapi
dijangka oleh sesetengah pihak telah berlaku. PAS Pusat dalam
mesyuarat yang diadakan pada hari ini, telah membuat keputusan
berdasarkan Fasal 82(9) memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali
(gambar) sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.
Keputusan ini dibuat setelah ahli-ahli
jawatankuasa PAS Pusat mempertimbangkan segala pandangan yang
diberikan di dalam mesyuarat yang telah diadakan pada hari ini, 8
Januari (Ahad).
Dalam kenyataan Presiden PAS,
"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada
tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan
kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan
PAS."
Di dalam Malaysian Insider,
Dr. Hassan Ali dipetik sebagai berkata “Saya terkejut dengan keputusan
drastik Jawatankuasa PAS Pusat memecat saya. Saya sedih kerana
perjuangan saya untuk memartabatkan Islam selama ini telah dibalas
secara demikian."
“Saya akan merujuk perkara
ini kepada rakan-rakan seperjuangan dan ulama bagi mendengar pandangan
mereka mengenai apakah tindakan selanjutnya yang saya harus ambil,"
demikian kata ADUN Gombak Setia dalam kenyataan akhbarnya.
Dr Hasan, yang juga
merupakan exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini seringkali
mengeluarkan kenyataan yang "menongkah arus". Beliau pernah
menggunakan media arus perdana untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak
selaras dengan parti.
Bahkan, terbaru sekali, beliau
turut menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan
sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan
muda. Kata-kata beliau itu dizahirkan meskipun kenyataan sokongan
Presiden parti terhadap perhimpunan berkenaan adalah jelas.
Presiden PERKASA, Datuk
Ibrahim Ali (yang juga memenangi kerusi atas tiket PAS) menyambut
berita itu dengan mengatakan bahawa:
“Saya sudah menjangkakan dia (Hasan) akan
dipecat sebelum perhimpunan 901. PAS menerima banyak tekanan daripada
DAP dan PKR, dan tindakan pemecatan Hasan ini sudah boleh dijangka,”
katanya.
Menurut Ibrahim, pendirian Hasan
berkenaan perhimpunan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, adalah berbeza dengan kepimpinan PAS yang lain.
Pemecatan Hasan Ali adalah yang kedua selepas Datuk Zukifli Nordin
yang dipecat PAS sebelumnya, (yang mana mengikut kenyataan akhbar)
justeru perbezaan pandangan, ideologi dan matlamat perjuangan.
Bagaimanapun oleh kerana
kedua-duanya ada menyatakan bahawa mereka juga berjuang untuk Islam,
persoalan perbezaan itu mungkin disebabkan oleh kaedah, pendekatan dan
pendapat yang tidak sealiran.
Seperti yang kita maklum,
kedua-dua tokoh itu masuk ke dalam PAS agak lewat. Mereka tidak
memahami bagaimana sebuah pergerakan politik (selain berjuang untuk
Islam) harus bergerak dan bagaimana membaca dan menangani cabaran
atau melayani isu-isu semasa secara hikmah.
Seharusnya mereka patut
berada lama dan matang di dalam politik sebelum mengeluarkan kata-kata
secara lantang.
WaLlahhu a'lam.
[18.30
mlm, 8 Jan 2012]
- Admin drhatta.com.
|