|

I-City, bandar baru
yang dahulunya merupakan tapak bagi pusat pameran Sumur City
Aerospace Adventure yang berlangsung pada tahun 1995 itu kini
dipenuhi pokok-pokok tiruan yang dikenali dengan pokok Alpine sintetik
yang dipasang lampu berwarna-warni.
Apabila kami mengunjungi Taman Tema i-City
di Seksyen 7 Shah Alam sempena cuti panjang Tahun Baru China 2012 ini,
jelas sekali ia memberi suatu aura baru tentang keindahan dan
merupakan pengalaman yang menarik buat dikongsi bersama.
Kami tiba di sana kira-kira jam 5.55 petang.
Pada waktu itu masih belum ramai pengunjung, meskipun ada satu kawasan
pesta jualan sempena Gong Xi Fa Cai. Justeru kami merayau agak jauh
untuk melihat kawasan-kawasan yang penuh dengan dekorasi pelbagai
bentuk lampu LED.
Memang jelas seperti diberitakan bahawa
kawasan baru ini dipenuhi dengan "lampu LED yang direka khas dengan
teknologi lampu digital terkini yang ditingkatkan dengan elemen
kristal untuk memberi kesan berkilau dan kesan tiga dimensi (3D)".
Demikian juga tempat-tempat permainan di
sekitarnya yang disalutkan dengan kerlipan lampu-lampu memikat orang
ramai untuk mengunjung. Bagaimanapun, hanya kira-kira jam 7 petang,
bilamana cahaya lampu mulai bersinar, barulah jumlah pengunjung yang
ke i-City kian meningkat. Kebanyakannya datang bersama keluarga dan
rakan masing-masing.
Dengan mengambilkira keadaan persekitaran
dan aktiviti yang ditawarkan di taman tema itu, tidak hairanlah jika
ianya menjadi lokasi pilihan bagi orang ramai untuk menghabiskan masa
serta berhibur bersama keluarga sehingga awal pagi.
 |
|
 |
|
Jelas cantik cahaya lampu LED bila waktu senja hampir berakhir. |
|
Suasana bila malam sudah menjelma |
I-City yang dibuka setiap hari sehingga
pukul 1.00 pagi pada hari bekerja dan pukul 2.00 pagi pada hujung
minggu turut menawarkan aktiviti permainan yang berkonsepkan taman ria
atau fun fair seperti permainan memancing itik getah dan
membaling gelang. (Tarikan i-City memikat hati, Utusan
Malaysia)
Aktiviti permainan dan hiburan yang
disediakan boleh dinikmati oleh pelbagai peringkat umur. Tetapi yang
paling menarik dan menjadi kesukaan ramai kanak-kanak ialah taman
salji atau Snowalk yang memberi pengalaman musim sejuk
seperti di negara-negara empat musim kepada pengunjung yang bersedia
membayarnya.
Apabila kami keluar daripada kawasan itu
pada jam 7.40 malam, caj parking yang dikenakan ialah RM11.00 sahaja.
Difahamkan, pengunjung yang datang pada waktu siang hingga jam 6
petang dikenakan bayaran parkir RM1.00. Sementara yang berkunjung di
antara jam 6 petang hingga 6 pagi dikenakan caj RM10.00.
Jadi, jika ada waktu lapang, sama-samalah
kunjungi i-city. Tapi ingat, kalau sekadar nak lihat hiasan lampu,
waktu paling menarik ialah dari jam 6.30 hingga 8 malam sahaja.
WaLlahhu a'lam.
[4.00 ptg,
22 Jan 2012]
- Admin drhatta.com.
|