|

Esok sesi persekolahan
di Kelantan, Terengganu dan Kedah akan bermula. Di negeri-negeri
Pantai Barat yang cuti mingguannya ialah pada hari Ahad, persekolahan
tahun 2012 akan bermula pada hari Rabu.
Tahun berubah, namun
rutin untuk mula ke sekolah masih sama. Ibu bapa akan sibuk menjelajah
kedai-kedai pakaian dan kasut, mengunjungi koperasi sekolah untuk
dapatkan buku-buku serta keperluan persekolahan, dan kemudian mencari
kedai yang menjual beg-beg.
Beg yang bagaimana? Tentulah beg yang besar-besar yang muatannya boleh
menampung hingga lima kg beratnya. Beginilah saban tahun keadaan
anak-anak kita, tidak kira mereka di sekolah rendah atau menengah.
Sama ada sekolahnya harian atau asrama.
Malang sekali
transformasi dalam bidang pendidikan ini sudah alpa tentang rutin yang
dulunya dipandang berat. Malahan pada suatu masa ketika PM kita
menjadi Menteri Pelajaran, beberapa kali beg-beg sekolah anak-anak ini
di timbang.
Memang berat.
Lalu dicadangkan supaya almari-almari dibeli dan anak-anak tidak perlu
menggalas buku kerja kerana boleh ditinggalkan di dalam almari di
sekolah. Sekarang ke mana perginya almari-almari itu? Makin
berkurangkah berat atau buku-buku sekolah anak-anak kita?

Zaman berubah
namun senario persekolahan anak-anak kita tetap sama. Dulu di zaman
Jepun dan penjajahan, murid-murid ke sekolah membawa papan tulis,
kapur dan beberapa buah buku saja.
Malangnya,
apabila semakin banyak pelajaran diperkenalkan dan semakin banyak
buku-buku dicetak, ditambah pula dengan buku-buku kerja dan folio -
anak-anak kita terus dibebankan dengan memikul berkilo-kilo
kertas-kertas ilmu.
Bermula tahun
60an, beg bertambah berat di tahun 70an. Dan kuantiti maupun berat
timbangannya berterusan sampai ke hari ini. Di manakah transformasinya?
Kendatipun zaman
sudah berubah - di negara-negara Barat, anak-anak hanya membawa
komputer peribadi atau tablet PC saja ke sekolah, namun anak-anak kita
tetap memikul beban ilmu di dalam buku-buku dan beg sekolah.
Berkilolah jadinya.
Bahkan di sekolah
berasramapun, walaupun kita berkata ingin melayari bahtera globalisasi,
namun kita tidak bersedia memberi segala kemudahan komunikasi
selengkapnya kepada pelajar-pelajar kita (rakyat kita?).
Bahkan peraturan
begitu kerdil sekali sehingga kita terlalu fobia dan tidak sanggup membenarkan
ibu bapa yang berkemampuan membekalkan anak-anak mereka dengan
komputer dan broadband di sekolah-sekolah berasrama. (Sekolah yang
mengumpulkan pelajar-pelajar pintar cerdas, selected)
Jadi anak-anak,
galaslah beg anda untuk ke sekolah di negara dunia ketiga ini.
Membangun tetapi masih takut-takut untuk bangun. Cita-cita besar,
tetapi masih kikir untuk upgred kemudahan di sekolah agar setara
dengan negara maju.
WaLlahhu a'lam.
[11.00
pagi, 2 Jan 2012]
- Admin drhatta.com.
|