Pada 16 hb Mac 2012, akhbar arus perdana melaporkan bahawa mulai 1 Julai ini,
pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan berdepan hukuman denda dan
penjara.
Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata jabatan
itu akan melakukan pemantauan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
"Kami akan
membuat lawatan operasi di setiap premis mulai 31 Mac sebagai langkah
pendidikan untuk pastikan setiap premis perniagaan mempunyai sijil halal dan
tidak hanya mempamerlan logo halal sahaja," katanya seperti dipetik dalam
Berita Harian.
Masyarakat dimaklumkan bahawa hanya sijil dan logo halal yang sah
dikeluarkan oleh JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
akan diiktiraf.
"Sijil halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf dan akan
dikenakan tindakan. Semua ini termaktub di bawah Seksyen 16 Akta Perdagangan
Dalam Negeri 2011," kata pengarahnya.
Sinar Harian juga melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya Jakim sahaja
yang sah mengeluarkan logo halal, manakala logo lain termasuk yang
dikeluarkan pihak swasta adalah tidak diiktiraf.
"Penguatkuasaan logo halal Jakim akan bermula pada 1 Julai depan
dan premis perniagaan yang menggunakan logo selain dikeluarkan Jakim boleh
dikenakan tindakan di bawah Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011 (i) Seksyen
16," katanya.
Menurut beliau, bagi individu yang disabitkan kesalahan boleh
didenda RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala
syarikat atau premis berdepan denda RM500,000.
Datuk Seri Ismail Sabri berkata Jakim bersama kementeriannya telah
menubuhkan satu jawatan khas pemantauan berhubung penggunaan logo halal itu
di mana anggota tersebut akan bertindak tegas ke atas premis perniagaan
yang tidak mengikuti arahan dan peraturan yang dikeluarkan.
Ini merupakan sesuatu yang baik untuk umat Islam. Mungkin nantinya
tidak akan timbul ragu dan syak di kalangan umat Islam dari segi makanan
halal dan haram. Mereka yang cuba menipu, menyalahgunakan logo
dan mempermainkan pelanggan Islam untuk tujuan keuntungan semata-mata akan
berdepan dengan hukuman yang berat.
Pihak berkenaan juga boleh mendapat hasil daripada kesalahan
apabila peniaga berkenaan didakwa. Tetapi tentu itu bukan persoalan kewangan
sahaja. Tanggungjawab yang dipikul oleh jabatan berkenaan amat besar justeru
urusan pengeluaran logo halal bergantung kepada keputusan mereka yang
mempunyai kuasa menentukan yang mana halal dan yang mana haram.
Persoalannya sekarang ialah apakah semua premis perniagaan akan
diwajibkan meletakkan logo halal JAKIM? Apakah ia hanya melibatkan
perniagaan yang dikendalikan oleh orang bukan Islam yang ingin memasarkannya
kepada orang Islam?
Apakah logo halal ini melibatkan semua produk makanan di pasaran?
Apakah status produk orang Islam yang memang sah halal tetapi tiada logo
halal? Adakah akan ada logo lain ataupun syarat yang berbeza untuk pengusaha
Muslim dari segi prosedur?
Persoalan lain, tidakkah kandungan bahan dan cara proses itu (atau
mungkin juga siapa pengusahanya) yang lebih wajar dipamerkan yang mana
melaluinya pengguna muslim yang berpengetahuan dan berfikir boleh memilih?
Kita difahamkan bahawa ramai masyarakat Islam yang belajar atau
hidup di Barat memilih barangan berpandukan maklumat berkenaan.
WaLlahhu a'lam.
[011.59
mlm, 17 Mac 2012]
- Admin drhatta.com.
|