|
|
KITA adalah sebaik-sebaik
makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada
tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan
hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak
mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan
terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa.
Namun, hati akan menjadi tenang
sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah
berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat ikhlas
semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.
Terdapat beberapa
tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup,
antaranya ialah :
-
Biasakan diri berada
dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri
mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan
menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya,
disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum
mengulangkaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
-
Perbanyakkan membaca
Al-Quran
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca
Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk
membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain
seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran
sebagai teman paling akrab sepanjang waktu.
-
Banyakkan solat sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh
membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya dengan
mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat
sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam
Islam. Kita bangun sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat
tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
-
Selalu berdoa kepada
Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripadaNya. Ini
bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah Yang Maha Esa dan
dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada
malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari
raya, ketika waktu azan dan iqamah. InsyaAllah, Allah akan
memakbulkan doa setiap hambaNya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita
perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak datang bergolek
sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah
berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada
Allah yang Esa.
-
Bersangka baik dengan
Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada
berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian
daripada Allah yang berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai
hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan
janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita.
Musibah berlaku selalunya juga adalah kerana kezaliman diri sendiri.
Sentiasa bermuhasabah dan kita juga mesti percaya bahawa tentu ada
hikmah di sebalik kejadian itu.
-
Amal diet dengan
disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga
merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara
untuk mengurangkan tekanan adalah dengan mengamalkan diet dengan
disiplin yang kuat. Diet yang tidak tidak terkawal akan menyebabkan
kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah
jantung, darah tinggi dan kencing manis.
-
Menangis dengan sepuas
hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat
diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa
ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba
menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana.
“Luaran lain hati lain” - ada sesetengah individu apabila
mereka mengalami tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan
permasalahan itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama-sama
rakan-rakan ‘cool’ sahaja, tetapi dalam hatinya hanya Allah yang
Maha Mengetahui. Menangis dan berkongsi masalah bersama sahabat yang
dipercayai boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.
-
Hargai kebolehan diri
sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila
kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai
masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuru oleh pihak
lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja
yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi.
Apa yang penting ialah kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri
dan memulakan hidup yang lebih ceria.
Kesimpulannya, tekanan kerja
bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang
gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu,
bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan
jayanya.
Sumber:
Tazkirah, Wanita & Keluarga, Cinta, Perkahwinan, Motivasi, Hati,
Tafakur (Muhasabah) http://nurjeehan.wordpress.com/2007/09/07/rasulullah-berpesan-hati-hati-beri-terima-pujian/
|
|
|