E - Magazine 2010  :  Towards Global Excellence.

Indeks Tokoh

TOKOH SAINTIS TAMADUN ISLAM

 

Ibn Rushd sanjungan dunia Islam dan Barat


 

IBN RUSHD


 

IBN Rushd atau nama penuhnya Abu'l Waleed Muhammad Ibn Ahmad Ibn Muhammad Ibn Rushd adalah seorang lagi saintis Islam yang terkenal. Beliau yang nama Latinnya Averroes, dilahirkan pada 1128 di Cordova.

Kebijaksanaan Ibn Rushd banyak dipengaruhi oleh persekitaran hidupnya yang dikelilingi oleh orang bijak pandai. Ayah dan juga datuknya adalah seorang hakim.

Ibn Rushd menerima pendidikan awal di Cordova. Fokus pendidikannya ialah falsafah, undang-undang dan perubatan.

Selain itu, kewujudan sebuah perpustakaan termashyur di Cardova ketika itu yang menghimpunkan lebih 500,000 buah buku memberikan impak yang ketara kepada ketinggian ilmu Ibn Rushd.

Beliau yang memang gemar membaca buku menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada di sekitarnya untuk mendalami ilmu-ilmu yang diminatinya.

Lebih menakjubkan lagi, Ibn Rushd bukan sekadar membaca buku-buku ini, tetapi juga memberikan komen-komen ilmiah mengenai bahan bacaan yang dibacanya.

Kebijaksanaan Ibn Rushd terutamanya dalam bidang falsafah menyebabkan beliau dinobatkan sebagai salah seorang pemikir dan saintis teragung dalam abad ke 12.


 


Malah menurut seorang penulis, Philip Hitti, pengaruh Ibn Rushd ke dunia barat bukan sahaja berlaku pada abad ke 12, tetapi menjangkau sehingga ke abad ke 16.

Banyak buku-buku yang dihasilkan oleh Ibn Rushd dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran universiti-universiti di Eropah. Buku-buku ini digunakan sehinggalah kedatangan zaman sains moden.

Sebenarnya, sumbangan besar Ibn Rushd merangkumi banyak bidang dan tidak tertumpu kepada bidang falsafah sahaja.

Beliau juga memberi sumbangan dalam bidang logik, perubatan, muzik serta sains dan falsafah undang-undang.

Dalam bidang perubatan, Ibn Rushd terkenal dengan bukunya iaitu 'Kitab al-Kulyat fi al-Tibb' yang ditulis sebelum 1162.

Dalam buku ini beliau memberikan penerangan mengenai pelbagai aspek dalam bidang perubatan termasuk pengesanan, rawatan dan pencegahan sesuatu penyakit.

Buku ini juga memberi tumpuan kepada aspek-aspek khusus berbanding tulisan Ibn Sina dalam bukunya 'al-Qanun'.

Dalam bidang falsafah pula, hasil tulisannya yang paling berpengaruh ialah 'Tuhafut al-Tuhafut' yang ditulis sebagai respon kepada hasil kerja seorang lagi ahli falsafah Islam yang tersohor - al-Ghazali.

Bagaimanapun, tulisan Ibn Rushd dalam buku ini mendapat kritikan hebat daripada pemikir-pemikir Islam ketika itu kerana menggunakan hujah logik dalam mempersoalkan beberapa rukun Islam.

Bagaimanapun isi kandungan buku ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran orang Eropah sehinggalah kepada kemunculan zaman falsafah moden dan sains eksperimental.

Selain itu, beliau juga menulis ulasan mengenai hasil kerja ahli falsafah terkenal, Aristotle dalam bidang falsafah dan muzik.

Dalam bidang astronomi pula, Ibn Rushd menulis penjelasan mengenai pergerakan cakerawala dalam bukunya bertajuk 'Kitab fi-Harakat al-Falak'. Ringkasan ini telah diterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Yahudi oleh Jacob Anatoli pada tahun 1231.

Menurut kajian, penulisan Ibn Rushd melibatkan lebih 20,000 muka surat dan yang paling terkenal ialah penulisan mengenai falsafah, perubatan serta sains dan falsafah undang-undang.

Malah buku-buku beliau telah diterjemah ke dalam pelbagai jenis bahasa meliputi Latin, bahasa Inggeris, German dan Yahudi.

Dalam bidang perubatan sahaja, beliau telah menghasilkan 20 buah buku.

 

Fakta Menarik Ibn Rushd

+ Seorang pemikir berpengaruh dalam dunia Islam dan Eropah terutamanya dalam bidang falsafah.
+ Bagi masyarakat Barat, Ibn Rushd terkenal kerana komentarnya terhadap penulisan falsafah Aristotle.
+ Penulisannya banyak dipengaruhi oleh falsafah Greek.
+ Beliau menggunakan hujah-hujah rasional untuk mempersoalkan beberapa rukun Islam sehingga menimbulkan beberapa kritikan daripada ilmuan Islam seperti iman Al-Ghazali.
+ Banyak buku-buku hasil kerjanya digunakan di universiti-universiti di Eropah sehingga kurun ke-19.

 

Sumber:

http://www.tutor.com.my/tutor/estidotmy/index.asp?y=2003&dt=0325&pub=ESTIDOTMY&sec=Saintis_Islam&pg=si_01.htm

 

© E Mag HBI 2010