|
Di sebalik
ubat cerdaskan otak
Dalam pasaran di Malaysia hari
ini terdapat begitu banyak penawar minda. Suatu kekeliruan yang berlaku di
kalangan masyarakat pula iaitu kesan daripada iklan atau
pernyataan-pernyataan orang tertentu yang mempromosi barangan mereka dengan
nama ubat cerdas (smart pills) atau ubat kecemerlangan minda.
Ini termasuklah penawar-penawar
homeopati, khususnya yang diiklankan oleh akhbar-akhbar yang bukannya akhbar
arus perdana.
Pada hakikatnya, memanglah
terdapat penawar-penawar homeopati yang mempunyai kesan terhadap minda.
Sekiranya terdapat masalah mudah lupa, sukar faham apa yang diajar, resah
bimbang dan seumpamanya, masalah-masalah itu boleh ditemukan dengan
penawar-penawar homeopati tertentu.
Dari segi amalannya ia harus
dipreskripsikan oleh pengamal homeopati setelah melalui proses konsultasi
sebagaimana juga dalam merawat sebarang penyakit.
Tetapi oleh kerana
penawar-penawar kombinasi menjadi semakin popular dan mudah dipasarkan,
timbullah idea sesetengah syarikat untuk memasarkannya sebagai produk minda.
Masyarakat perlu jelas bahawa
penawar homeopati dalam bentuk kombinasi pun memang boleh memberi kesan
terhadap minda.
Ia boleh dipasarkan secara
komersial justeru gabungan beberapa penawar itu memungkinkan lebih banyak
simptom minda dan simptom fizikal dapat dikumpulkan di dalam satu remedi.
Tetapi seperti ubat-ubatan lain,
ia bukanlah ubat bagi mencerdaskan atau mencemerlangkan pencapaian dalam
peperiksaan. Walaupun kesan pada peringkat akhir boleh jadi sampai ke situ.
Konsep mencerdaskan minda jauh
berbeza dengan tindakan penawar dari segi mengaktifkan, merangsang atau
merawat simptom minda.
Sesetengah kanak-kanak
menunjukkan perubahan yang positif setelah mengambil penawar minda homeopati
tertentu. Ini pasti berlaku sekiranya simptom pengguna itu menepati simptom
penawar yang diambil, seperti yang tertera dalam prinsip asas rawatan
homeopati.
Tetapi korelasi di antara
pengambilan penawar itu dengan kecemerlangan seseorang dalam peperiksaan
adalah sesuatu yang sukar diukur.
Suatu perkara yang diketahui
umum juga, semua ubat tradisional perlu didaftarkan dengan Kementerian
Kesihatan untuk tujuan pemasaran dan keselamatan pengguna.
Ubat-ubat itu diproses di sini
dan kandungannya yang kasar memerlukan penelitian bagi memastikan ia selamat
digunakan oleh pengguna. Tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun kilang
homeopati wujud di Malaysia. Hampir keseluruhan penawar homeopati diimport
masuk dan dibancuh secara farmasi bagi kegunaan klinik.
Kaedah itu jugalah yang
digunakan dalam membuat penawar minda homeopati, sama ada ia dikomersialkan
atau diberikan di klinik.
Seandainya kilang homeopati
sudah bertapak di Malaysia, sudah tentu ramai pengamal homeopati di Malaysia
berpesta lega justeru tidak perlu membeli dari syarikat yang mengimportnya
dari England, Jerman, Pakistan dan India.
Demikian juga sudah pasti di
negara kita boleh ditemui Malaysian Homoeopathic Pharmocopoeia sebagaimana
yang ada di negara-negara lain yang memberi garis panduan bagaimana
penawar-penawar itu dibuat atau dikilangkan.
Taktik menggembar-gemburkan
sesetengah ubat hoemopati itu sebagai dikilangkan oleh kilang bertaraf GMP
mengelirukan ramai pengguna, bahkan pengedar barangan itu sendiri.
Pertama urusan pengilangan yang
sebenar tidak berlaku. Kedua, kilang GMP tradisional hanya diperiksa dari
sudut keselamatan bukan keberkesanan ubat. Ketiga, dalam keadaan
bagaimanapun, dispensing penawar homeopati adalah selamat kerana tiada
kandungan dadah dan urusan ini boleh dirujuk kepada Bahagian Farmaseutikal
Kebangsaan, Pusat Racun Negara atau Kementerian Kesihatan.
Malang sekali dalam perkembangan
homeopati di Malaysia, ada syarikat-syarikat ubat tradisional yang tidak
mengetahui apa-apa pun mengenai homeopati boleh mengiklankan bahawa mereka
mengilangkan penawar homeopati dengan kilang GMP herba.
Ada daripada kalangan mereka
tidak mempunyai seorang pengamal pun di pejabat dan tidak mampu melayan
sebarang masalah yang dibangkitkan pengguna apabila pertanyaan-pertanyaan
dikemukakan oleh pengguna mengenai kesan ubat atau masalah-masalah sampingan
lain.
Ini merupakan sesuatu yang
mengaibkan pengamal dan Persatuan Perubatan Homeopati di Malaysia.
Tetapi tiada apa pun yang dapat
mereka lakukan justeru pihak berkenaan telah tersilap meletakkan perubatan
homeopati di bawah sistem perubatan tradisional. Suatu perkara yang tidak
wajar berlaku di peringkat awal lagi.
Dalam keadaan perubatan
tradisional gah dengan kilang-kilang GMPnya, mereka yang kononnya
memperjuangkan homeopati tersepit di antara ketidakmampuan membina kilang
sendiri dan akta yang ada.
- MOHAMED HATTA ABU BAKAR, Besut, Terengganu.
Kirim pendapat anda melalui faks 03-92239854
atau pendapat@utusan.com.my
[Utusan Malaysia - 26 March 2002]
Petikan semula: http://www.oocities.com/homeolibrary2/mindafarma.htm |