Berjalan-jalan di Bukit Tinggi
Singgah memetik bunga kemboja
Sungguhpun jauh tuan pergi
Di dalam hati terkenang juga
**********
Bintang barat terbit petang
Bintang timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi
**********
Buah langsat di tepi busut
Mari dimuat di dalam peti
Besar hajat kami menjemput
Besar niat di dalam hati
**********
Buah tembikai masak tak manis
Masak sebiji isinya merah
Cakapan bagai embun ditapis
Nyawa dan badan rasa terserah
**********
Bunga Tanjung kembang semalam
Pohon tinggi tidak berduri
Gelombang besar di laut dalam
Kerana Tuan saya kemari
**********
Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan
**********
Dari Johor Ke Majapahit
Singgah berlabuh di Pulau Bentan
Sungguh termasyhur nama yang baik
Bertambah pula bertuah badan
**********
Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Hari mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi
**********
Hanyut perian bertali rumin
Penuh berisi gala-gala
Tuan sepantun kilat cermin
Di balik gunung tampak jua
**********
Dua tiga kucing berlari
Manakan sama si kucing belang
Dua tiga boleh ku cari
Manakan sama tuan seorang
**********
Sekuntum bunga di dalam padi
Ambil sebatang cabut uratnya
Tuan sepantun langit yang tinggi
Bolehkah berlindung di bawahnya
**********
Hari ini merendang jagung
Hari esok kita merendang serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kit bercerai
**********
Kalau tuan pergi ke bendang
Jangan dipetik buah rumia
Tuan laksana bulan yang terang
Cahaya liput serata dunia
**********
Pergi ke pasar tawar-menawar
Beli seekor ikan pelaga
Racun dimakan jadi penawar
Tuan laksana air geliga
**********
Padi ini semumba-mumba
Daun kurma daun cempedak
Macam mana hati tak hiba
Entah bertemu entah tidak
**********
Permata jatuh ke rumput
Jatuh ke rumput berbilang-bilang
Dari mata tidakkan luput
Dalam hati tidakkan hilang
**********
Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi jujungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman
**********
Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang juga
**********
Anak beruk di tepi pantai
Pandai melompat pandai berlari
Biar buruk kain dipakai
Asal hidup pandai berbudi
**********