|
Suatu perkembangan yang baik pada hari ini ialah sifat
keterbukaan kerajaan terhadap sistem perubatan yang tergolong ke dalam
perubatan tradisional dan komplementari. Mulai Jun tahun 2009 akan
datang, kerajaan berhasrat untuk menyediakan tiga jenis khidmat
perubatan tradisional & komplementari di hospital-hospital kerajaan
terpilih secara berperingkat.
Setakat ini tiga jenis perubatan yang telah diuji dari segi
sambutannya bakal diberi laluan. Jenis perubatan yang dimaksudkan
ialah akupuntur, urut tradisional Melayu dan perubatan herba. Tidak
lama lagi beberapa sistem perubatan lain juga akan diperkenalkan di
hospital, termasuk perubatan homeopati. Perkara ini diumumkan oleh
Pengarah
Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Kementerian Kesihatan,
Dr. Ramli Abdul Ghani, sewaktu merasmikan seminar “Ke Arah
Pengiktirafan Pengajian Homeopati Di Malayisa” pada 30 Mac 2009.
Dalam seminar yang sama yang berlangsung di Hotel
City Villa, Dr. Ahmad Asmadi Yusof dari Fakulti Perubatan Cyberjaya
University College of Medical Sciences (CUCMS) turut membentangkan
kertas kerja dan menjelaskan bahawa CUCMS turut mengajukan permohonan
untuk membuka program baru dengan anugerah Ijazah Sarjana Muda Sains
Perubatan Homeopati (BHMS – Bachelor in Homoeopathic Medical
Science) di kampus Cyberjaya.
Permohonan untuk program baru ini telahpun dihantar kepada Agensi
Kelayakan Malaysia (MQA) bagi tujuan akreditasi. Usaha murni dan
perancangan jangka panjang itu dibuat dengan kerjasama Dr. Suraya
Osman yang mewakili Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia. Sekiranya
diluluskan, maka peristiwa ini akan menempa satu sejarah baru dalam
perkembangan homeopati di Malaysia yang telahpun bertapak di bumi
bertuah ini lebih lima dekad yang lalu.
Sejak
perubatan homeopati diperkenalkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy, salah
seorang tokoh dan pejuang kemerdekaan tanah air, homeopati diajar
melalui persatuan-persatuan homeopati, pengamal-pengamal dan
institusi-institusi bebas. Justeru, perubatan homeopati dilihat begitu
tradisional. Bahkan pada pandangan sesetengah anggota masyarakat ia
hampir setara dengan ilmu perubatan lain yang diperturunkan secara
lisan.
Sedangkan di negara-negara Barat, homeopati dianggap satu sistem
perubatan yang cukup sistematik dan mempunyai asas falsafah yang kukuh.
Ia dianggap sebagai perubatan yang rasional dan saintifik, tetapi
berbeza dengan perubatan moden atau konvensional. Kerana itu, tidak
menghairankan jika remedi-remedi homeopati telahpun dibukukan di dalam
farmakopeia homeopati di negara-negara berkenaan.
Kita mungkin bimbang kerana kekurangan teks rujukan dalam bahasa
Melayu. Sementara buku-buku homeopati tempatan yang sedia adapun,
kalau boleh dijadikan rujukan, buku-buku itu harus diperkemaskan atau
dinaiktarafkan lagi. Ini adalah supaya ianya sesuai di peringkat
pengajian tinggi yang diajar secara formal.
Bagaimanapun
kita tidaklah terlalu risau tentang bahan-bahan rujukan itu kerana
terdapat amat banyak buku-buku rujukan yang boleh dijadikan referens
dan teks dalam bahasa Inggeris. Para pelajar yang bakal diambil untuk
mengikuti program peringkat universiti tentulah tiada masalah justeru
mereka akan dipilih dari kalangan mereka yang berkemampuan dan hebat
dalam Bahasa Inggeris dan Sains.
Para pensyarah generasi pertama yang bakal dilantik itu mungkin
sedikit masalah justeru mereka harus berkelayakan tinggi. Kita tidak
ada masalah pensyarah dalam bidang sains dan perubatan konvensional.
Tetapi kita mungkin mempunyai sedikit masalah mendapatkan pensyarah
yang sekurang-kurangnya mempunyai ijazah Sarjana dan pada waktu sama
berkemahiran dalam seni perubatan homeopati. Ini sama-samalah kita
usahakan. Bagaimanapun hal ini akan segera selesai apabila kita telah
berjaya mengeluarkan graduan pertama yang sebahagiannya boleh diikat
kontraknya sebagai pensyarah.
Sekarang kita kembali kepada isu rujukan tadi. Yang patut kita
sedar ialah homeopati sudah tidak asing di kebanyakan negara-negara
Barat. Kita boleh layari internet dan akan bertemu sumber rujukan yang
tak terbatas banyaknya. Pendeknya, homeopati telahpun dijadikan satu
displin ilmu yang bersifat akademik di sebahagian besar negara-negara
berkenaan termasuk Amerika Syarikat,
United Kingdom, German, Perancis
dan lain-lain.
Di
rantau Asia, hanya negara-negara seperti Pakistan dan India yang
mempunyai kaedah pendidikan homeopati yang formal dan bernilai
akademik. Malaysia teramat lewat dalam perkara ini walaupun sudah
setengah abad homeopati bertapak di Malaysia. Pengamal homeopati dan
masyarakat Malaysia sudah tentu ternanti-nanti begitu lama untuk
sampai ke tahap ini. Pengumuman daripada Kementerian Kesihatan dan
komitmen daripada persatuan homeopati serta
Cyberjaya University College of Medical Sciencekali
ini tentunya sesuatu yang menceriakan.
Walau
bagaimanapun anggota persatuan homeopati memohon pihak Kemeterian
Kesihatan supaya turut mempamerkan keprihatinan tinggi terhadap
pengamal lulusan sedia ada. Ramai dari kalangan mereka berharap
pengamal-pengamal sedia ada yang telah begitu lama berjuang dapat
terus diberi ruang untuk memberi khidmat mereka. Mereka juga harus
terus diberi peluang untuk mengajar anak bangsa mereka mengikut kaedah
lama.
Ini
selaras dengan apa yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara ini.
Sebagaimana yang kita semua tahu, ada rakyat Malayisa yang berjaya
menjejak ke menara gading menerusi sekolah-sekolah Kementerian
Pelajaran secara formal, sementara ada juga pelajar-pelajar yang
berjaya menerusi sistem pendidikan pondok ataupun menerusi
sekolah-sekolah agama milik kerajaan negeri. Begitulah hendaknya ilmu
perubatan homeopati dilayani dalam arus perkembangannya. Harus ada
jalan kedua untuk rakyat sampai ke menara gading homeopati.
Tuntasnya, homeopati harus bertapak dan maju seganding dengan sistem
perubatan konvensional dan lain-lain perubatan alternatif dan
komplementari. Dengan cara demikian, homeopati mempunyai ruang yang
cukup untuk sama-sama menyumbang kepada agama, bangsa dan negara
seiring dengan keperluan kesihatan masa kini.
-
Mohamed Hatta Abu Bakar,
HMD
Malaysia
Homeopathy Virtual Institute.
Emel: drhatta@homeolibrary.com
|