LAMAN UTAMA

 

Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

Terbitan Buku ke 13 - Tahun 2019

ORGANON PERUBATAN HOMEOPATI

Saringan Oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

(VERSI BAHASA MALAYSIA, BERASASKAN TERJEMAHAN INGGERIS DR. WILLIAM BOERICKE & DR. CONSTANTINE HERING)

§ 6 Edisi 5 dan 6

Pada Para 6 ini, Hahnemann mengingatkan tentang pentingnya melihat simptom itu secara keseluruhan kerana kesemua tanda-tanda yang dapat ditanggap itu, yang merupakan perubahan terhadap kesihatan tubuh dan minda, itu sajalah yang mewakili penyakit.

"Pemerhati yang tidak prejudis - yang sedar mengenai spekulasi sia-sia dan tiada pengesahan (bukti) daripada pengalaman - tidak melihat sesuatu yang lain selain daripada perubahan kesihatan tubuh dan minda individu yang sakit, yang hanya dapat ditanggap oleh pancaindera yang rasional; yakni beliau hanya memberi perhatian kepada penyimpangan (perubahan) daripada keadaan kesihatan individu yang dijangkiti yang boleh dirasakan oleh pesakit, tampak jelas oleh orang sekeliling dan diperhatikan oleh doktor. Kesemua tanda-tanda yang dapat ditanggap ini menggambarkan penyakit dalam rupanya yang menyeluruh, atau dalam kata lain, keseluruhan tanda-tanda itu membentuk rupa diri penyakit yang boleh ditanggap dan jitu."

Justeru, Dr. Hahnemann mempersoalkan di dalam nota kakinya di mana beliau hairan bagaimana para doktor boleh menyembuhkan penyakit atau berpura-pura mampu menyembuhkannya tanpa memberi perhatian kepada simptom-simptom sedangkan simptom-simptom itulah yang memimpin kita semua dalam usaha merawat dan menyembuhkan pesakit. Bagi beliau, seorang doktor tidak akan sekali-kali dapat melihat makhluk rohani yang menghasilkan penyakit iaitu tenaga vital (vital force), kerana itu tanpa panduan simptom-simptom mereka tidak akan dapat menemui remedi yang betul. Lantas bagaimanakah mereka boleh mendakwa cara atau prosedur itu sajalah boleh digelar sebagai rawatan yang radikal dan rasional?

Dalam nota edisi ke 5, Dr. Hahnemann ada menyatakan bahawa para doktor yang kajian-kajiannya tertumpu kepada perhubungan tersembunyi di dalam dalaman organisma mungkin terlalu berhati-hati, tetapi ahli homeopati yang menguasai secermatnya kesemua kumpulan simptom-simptom, mempunyai panduan yang pasti; dan jika dia berjaya dalam mengenepikan kesemua kumpulan simtom-simptom maka seolah-olah dia telah menghapuskan punca tersembunyi yang menyebabkan penyakit itu.   

 

§ 7

Sebagai lanjutan daripad Para 6, Dr. Hahnemann seterusnya mengingatkan bahawa hanya menerusi pengenalan simptom-simptom sahajalah remedi bagi penyakit dapat ditemui. Lebih-lebih lagi jika diketahui keseluruhan simptom, iaitu gangguan-gangguan kepada kuasa hayat yang menentukan remedi paling seraksi, maka dapatlah penyakit itu disembuhkan. Kerana itu pengamal itu harus berpegang dan mengambil perhatian sungguh-sungguh kepada prinsip ini supaya dia dapat membuang penyakit menerusi seni kesembuhan homeopati ini.

"Sekarang sebagaimana dalam suatu kes penyakit di mana tiada penyebab atau agen yang merangsang zahirnya [penyakit] (causa occasionalis) perlu dibuang, kita tidak dapat menanggap apa-apa melainkan simptom-simptom morbid - maka sudah pasti (dengan mengambilkira kemungkinan miasma, dan perhatian perlu diberi kepada keadaan tambahan/sampingan, § 5) hanya simptom-simptom ini sahajalah yang dapat memandu doktor dalam memilih remedi yang tepat bagi melawan penyakit. Lagipun, keseluruhan simptom-simptom, yang merupakan imej kepada gambaran intipati penyakit, yakni yang menjangkiti tenaga hayat, mestilah menjadi kaedah satu-satunya dalam mengenali penyakit dan menentukan jenis remedi yang diperlukan - bahkan hanya cara ini juga yang menentukan pilihan remedi paling tepat".

"Dalam ertikata lain, kita boleh simpulkan bahawa simptom-simptom secara keseluruhan mestilah menjadi prinsip, malahan satu-satunya perkara yang si doktor itu harus memandang penting dalam setiap kes penyakit dan yang perlu dihilangkan menerusi seni (kesembuhan homeopati) supaya penyakit itu dapat disembuhkan dan dirubah kepada keadaan sihat."

Sedangkan sejak sekian lama, doktor sekolah perubatan lama yang tidak tahu bagaimana untuk melegakan pesakit telah membenam penyakit dengan memberi ubat-ubatan bagi tujuan merawat satu sahaja daripada sekian banyak simptom yang dipaparkan oleh penyakit di bawah nama rawatan simptomatik. Ini dinyatakan di dalam nota kaki 2, di mana tidak ada faedah yang diperoleh daripada usaha itu melainkan menambah-burukkan keadaan.

 

§ 8

"Jika kesemua simptom-simptom penyakit telah berjaya dibuang atau dihilangkan, sudah pasti yang tinggal itu hanyalah "sihat sejahtera". Tidak mungkin lagi dapat dikatakan penyakit masih ada apabila punca dan kesan-kesan penyakit itu sudah tiada."

Kata Dr. Hahnemann, jika seorang pesakit itu telahpun disembuhkan daripada penyakitnya oleh doktor yang sebenar sebagaimana di atas sehingga tiada lagi kelihatan simptom dan kesan penyakit - di mana tanda-tanda kesihatan kekal telah kembali, adalah tidak munasabah untuk kita mengatakan penyakit dahulu masih ada tersembunyi di dalam diri pesakit. Menafikan kebenaran ini (bahawa pesakit sudah sembuh) sepertilah juga memperkecilkan bukti yang diterima akal. 

Namun para doktor persekolahan lama masih tetap mengatakan bahawa "homeopati hanya boleh membuang simptom-simptom, sedangkan di dalamnya masih ada penyakit". (lih. Homoopathie, p.27, 1, 19.) Sejak dahulu sehingga kini alopati masih berpendirian demikian.

Hal ini timbul justeru (i) jika mereka terima hakikat itu, ia akan pasti memalukan sekolah perubatan lama, memandangkan progres yang ditunjukkan oleh homeopati demi kebajikan manusia sejagat sudah terlalu jauh. Selain itu, ia juga disebabkan (ii) mereka cuba mempertahankan kepercayaan doktor alopati bahawa penyakit itu adalah sesuatu yang material. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa penyakit itu hadir kerana tenaga hayat (vital force) telah mendapat gangguan atau sebagai satu keadaan di mana kedudukan kesihatan individu sudah mengalami perubahan.

Disebabkan kepercayaan itu mereka tidak yakin kesembuhan sudah tercapai melalui kaedah perubatan homeopati, walaupun pesakit telah pulih dan semua simptom-simptom yang kelihatan sebelumnya telahpun lenyap. Demikian keterangan nota kaki para 7, Organon.

 

§ 9

“Semasa sihat, tenaga hayat yang bersifat rohani, mengenderai tubuh kasar serta menguasai dan mengatur semua bahagian organisma dalam keadaan harmoni, meliputi perasaan dan segenap fungsi, agar kewujudan dan kurnia akal dapat bertindak dengan bebas bagi mencapai matlamat unggul kewujudan manusia.”

Di sini Dr. Hahnemann memperkenalkan tenaga hayat (vital force) sebagai satu kuasa atau pengaruh yang memberi tenaga untuk hidup kerana tubuh badan mengandungi aspek material dan nonmaterial. Pandangan ini ditentang oleh golongan berpemikiran saintifik yang materialistik justeru mereka melihat unsur spiritual dalam falsafah perubatan homeopati. 

  

LAMAN INDEKS


Malaysia

Visit us at: www.drhatta.com

 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 1997-2020

 

Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluarulang mana-mana bahagian isi kandungan buku ini dalam apa juga bentuk dan dengan apa carapun sebelum mendapat izin bertulis daripada penulis. Sebarang perundingan tertakluk kepada perkiraan royalti.

 

  Diterbitkan & Diedar oleh:

HBI Health & Homoeopathy Centre (Cawangan Kota Bharu)

2621 Jalan Hospital, 15200 Kota Bharu

Kelantan.