HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

 

Germany/Malaysia: Asal-usul Homeopathy

 

 

Pengenalan

Asal-usul Homeopati Malaysia / Origin of Malaysia Homeopathy

Sedutan daripada buku: Homeopati Perubatan Alaf Baru (Homeopathy: Medicine of the New Millenium)

 

Laman Utama

B

 

 

 

HOMEOPATI:  RINGKASAN

SEJARAH HOMEOPATI

(Brief History & Spread of Homoeopathy)

 

 

 

 

Konsep dan undang-undang fundamental homoeopati telah bermula sejak abad ke 5 sebelum Masehi, iaitu di zaman Hippocrates yang merupakan seorang ahli perubatan Greek yang masyhur.  Hippocrates pernah berkata: “...Menerusi benda yang serupa sesuatu penyakit itu terjadi dan menerusi aplikasi yang serupa ianya disembuhkan.”

            Sungguhpun begitu, orang yang bertanggungjawab mencanang dan membangunkan konsep di atas kepada satu sistem perubatan yang saintifik dan sistematik ialah seorang ahli perubatan German yang lahir di Meissen pada tahun 1755.  Beliau ialah Dr. Samuel Hahnemann, iaitu seorang yang mahir dalam pelbagai bahasa, ilmu kimia dan ilmu perubatan konvensional.

            Malangnya beliau tidak berpuas hati dengan amalan perubatan di zamannya yang mementingkan pembuangan penyakit dan pembedahan yang terpaksa melalui proses yang menderitakan pesakit. Tambahan lagi, ubat-ubat berbahaya begitu mudah sekali diberikan kepada pesakit-pesakit yang sukar disembuhkan. Dalam ungkapan Dr. Hahnemann sendiri, kenyataan ini menunjukkan  “lebih ramai manusia mati akibat rawatannya berbanding kerana penyakitnya”.

(Homeopati Perubatan Alaf Baru, ms. 7 )

 

 Malaysia: Asal-usul Homeopathy

 

            Beliau lantas meninggalkan amalan perubatan ortodoks yang dipelajarinya dan beralih kepada kegiatan menterjemah buku-buku untuk menyara hidup keluarganya. Usaha penterjemahan beliau meliputi terjemahan buku-buku daripada bahasa Perancis, Inggeris dan Greek ke bahasa German. Sambil menterjemah buku-buku tersebut ke bahasa ibundanya, beliau tidak lupa memberi pandangan peribadi beliau.

 

PENEMUAN SISTEM PERUBATAN

            Sewaktu sedang menterjemah buku “A Treaties on Materia Medica” yang ditulis oleh Dr. William Cullen daripada bahasa Inggeris ke bahasa German, tiba-tiba beliau telah diilhamkan dengan penemuan remedi herba untuk penyakit malaria. Beliau terus mencuba beberapa dos remedi herba Cinchona untuk melihat kesannya. Jelas kepadanya Cinchona mampu menghasilkan simptom-simptom penyakit malaria seperti sakit kepala, me-ngantuk dan demam menggeletar.

            Berikutan kejadian itu, beliau menyimpulkan bahawa sebenarnya simptom-simptom menunjukkan cara tubuh melawan penyakit, dan penawar-penawar yang boleh menghasilkan simptom-simptom yang serupa sebagaimana simptom-simptom penyakit akan membantu ke arah kesembuhan.  

            Idea atau penemuan beliau ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah ia dikatakan sebagai penemuan semula prinsip kuno yang dahulunya pernah disebut oleh Hippocrates sebagai “like cures like.”

            Dengan penemuan beliau ini, lahirlah satu sistem perubatan yang dikenali sebagai “homoeopathy.” Iaitu satu sistem perubatan yang cukup berbeza daripada perubatan konvensional yang digelar oleh Dr. Samuel Hahnemann sebagai sistem “allopathy.”

( ms 8 )

            Dari segi istilahnya, perkataan “homoeopathy” berasal daripada dua perkataan Greek iaitu ‘homoios’ yang bermakna ‘serupa’ dan ‘pathos’ yang bererti ‘perasaan’ atau ‘penyakit’.   Jadi, homeopati bermakna ‘serupa penyakit’ atau ‘serupa perasaan’, yang merujuk kepada rawatan penyakit atau pesakit menerusi prinsip “serupa dengan yang serupa”.

            Dalam ertikata lain, sekiranya seseorang itu mengalami cirit-birit dan muntah-muntah, maka ia akan dirawat secara homeopati dengan penawar  yang mampu merangsang simptom cirit-birit dan muntah-muntah yang  serupa.  Dalam hal ini, sistem ini seharusnya berdasarkan kepada cara lembut membantu pesakit menuju kesembuhan.

 

KUASA HAYAT

Dalam sistem perubatan homeopati, tumpuan diberi kepada pengembalian keseimbangan vital force dan mengembalikannya kepada kekuatan yang optimum.  Berlainan daripada rawatan alopati yang hanya mengambilkira alam material organisme, homeopati menjangkau jauh sehingga kepada alam rohaniah organisme di dalam rawatan sebarang keadaan sakit atau penyakit.

            Vital force, sebagaimana yang diistilahkan sebagai ‘bioenergy’ merupakan kuasa hayat yang menjadi intipati kepada organisme hidup. Ia berkait rapat dengan keseluruhan insan, berhubungan dengan minda, jasad dan roh di samping terdapatnya kuasa penyembuhan dalaman tubuh. Menurut Dr. Samuel Hahnemann - iaitu bapa sistem perubatan homeopati, kewujudan kuasa hayat ini menyebabkan organisme manusia dalam keadaan sihatnya dapat merasa, bertindak dan mempertahankan dirinya.  Kerana itu, seseorang individu itu dapat memainkan semua fungsi hidupnya di samping melahirkan keturunan.

(Homeopati Perubatan Alaf Baru,  ms 9 )

 

 Malaysia: Asal-usul Homeopathy

 

            Apabila sakit mampir menyerang, keseluruhan insan menjadi sakit: termasuk tubuh, minda dan rohaninya. Dari segi falsafah perubatan homeopati, sungguhpun tubuh badan insan tersebut mempamirkan simptom-simptom sakit tetapi asal usul sakit demam itu bukannya daripada fizikal tubuh atau sebab-sebab patologinya. Bahkan punca sakit demam itu ialah kerana berlakunya ketidakseimbangan kuasa hayat. Ketidakseimbangan inilah yang menjadi faktor utama timbulnya simptom-simptom fizikal serta gangguan perasaan, minda dan rohaninya.

            Sejauh mana benar kenyataan ini boleh dirujuk kepada pengalaman peribadi setiap individu. Dalam sesetengah keadaan sakit yang boleh mengganggu vital force, tubuh fizikal mungkin tidak mempamirkan sebarang perubahan yang boleh dikesan dan menyebabkan ia dianggap sihat dan normal pada pandangan biasa dan doktor alopati. Pesakit yang mengalami gangguan akibat ketidakseimbangan kuasa hayatnya tentu tidak akan berpuas hati dengan diagnosa dan keputusan yang diberikan oleh doktor tersebut. Ini akan menyebabkan si pesakit itu bermusafir dari seorang doktor kepada seorang doktor atau tabib yang lain dalam usahanya mendapat kesembuhan yang tulin.

            Usaha dan pencarian seorang musafir seperti ini akan berterusan sehinggalah ia menjumpai seorang doktor, tabib atau pengamal yang dapat memperbaiki ketidakseimbangan yang berlaku di dalam dirinya. Bertitik-tolak dari situ, maka tugas utama rawatan homeopati ialah mengembalikan keseimbangan kuasa hayat tersebut, iaitu dengan cara memperbaiki sebarang perubahan dalaman kuasa hayat si pesakit atau dengan cara merangsang sistem atau mekanisme tubuhnya. Matlamat ini hanya tercapai apabila semua simptom-simptom penyakit dan tanda-tanda yang ditanggapi pesakit telah dapat dihilangkan dengan pasti.

            Di dalam buku “Organon”nya, Dr. Samuel Hahnemannn menjelaskan konsep vital force ini sebagai wujud bersekali dengan (Homeopati Perubatan Alaf Baru,  ms 10 )

 

 Malaysia: Asal-usul Homeopathy

 

lahirnya insan dan kehidupan. Apabila insan itu mati, tubuh fizikalnya tetap ada tetapi tidak lagi boleh membantu proses kesembuhan. Ini disebabkan kuasa hayat yang menjadi asas kepada kesembuhan telah meninggalkan tubuh bersama ar-Ruh.

 

PRINSIP-PRINSIP HOMEOPATI

Dapatkan buku Homeopati: Perubatan Alaf Baru yang mengungkap kisah-kisah dan pandangan tentang homeopati dari sudut yang berbeza. Hanya RM14.00.

Dapatkan juga buku-buku lain yang bermutu daripada HBI: klik pesanan berikut:

 

KEJAYAAN DAN KEMEROSOTAN

HOMEOPATI

Kecemerlangan sistem perubatan homeopati yang dibawa oleh Dr. Samuel Hahnemann telah membuahkan hasil sejak zaman hidupnya lagi.  Pada masa itu, homeopati telahpun berkembang ke Perancis, England, Amerika Syarikat dan ke lain-lain negara benua Eropah. Penentangan daripada para doktor alopati juga telah berkurangan.

            Apabila Dr. Samuel Hahnemann meninggal dunia pada 2 Julai tahun  1843, penemuan-penemuan baru dalam perubatan konvensional mula  menempah sejarah. Di samping itu, tekanan terhadap kebangkitan homeopati masih tidak reda. Ini terbukti apabila kemampuan homeopati memberikan rawatan yang selamat dan kejayaannya merawat Kolera, wabak yang menyerang Eropah pada tahun 1831 dipendamkan daripada umum.

            Namun homeopati terus dikembangkan lebih jauh lagi sehingga ke benua Afrika dan Asia. Malah ada di antara negara-negara tersebut yang  membenar dan menggalakkan penubuhan (Homeopati Perubatan Alaf Baru,  ms 16 )

 

 Malaysia: Asal-usul Homeopathy

 

sekolah-sekolah, persatuan-persatuan dan hospital-hospital  homeopati.

            Di samping pertentangan yang berterusan daripada alopati, penemuan apa yang disebutkan sebagai  miracle drugs’ telah mengelabui dunia. Apabila ubat anti-bakteria pertama ditemui pada tahun 1909 oleh Paul Ehrlic sehingga kepada penemuan penicillin oleh Alexander Fleming pada tahun 1928, sedikit  demi sedikit para doktor perubatan beralih daripada kekaguman mereka terhadap homeopati dan membiarkannya tenggelam dalam arus perkembangan zaman.

            Perkembangan baru ini ditambah pula dengan keretakan yang semakin membesar berkaitan dengan idea-idea metafizik dan teori ‘psora’ Dr. Hahnemann. Tidak semua homoeopath dapat menerima teori tersebut dan isu berkenaan boleh dipergunakan untuk memperkecilkan homeopati. Perselisihan itu berlaku apabila mazhab homeopati Inggeris yang percaya kepada simptom-simptom patologi dan modaliti sebagai lebih utama dan penting daripada simptom-simptom metafizik, menolak teori Dr. Hahnemann yang diperkenalkan di akhir sumbangannya kepada dunia. Sedangkan pada waktu yang sama, mazhab homeopati Amerika Syarikat telah meletakkan preskripsi konstitusional di paras yang tinggi dan lantas mengutamakan potensi tinggi dalam rawatan pesakitnya.

            Patut juga disebut, kurangnya usaha membuat kajian-kajian terbaru dalam bidang homeopati turut membantut pertumbuhannya. Homeopati telah gagal mengikuti kemajuan sains dan perubatan semasa dengan semangat pertandingan dan pemodenan. Walhal syarikat-syarikat gergasi multinasional sentiasa mencurahkan wang yang tak terhingga banyaknya dalam kajian dan pembangunan perubatan moden. Justeru itu, perkembangan homeopati secara ‘low profile’ adalah suatu hal yang boleh dijangkakan.

(Homeopati Perubatan Alaf Baru,  ms 17)

 

 Malaysia: Asal-usul Homeopathy

 

PERKEMBANGAN MUTAKHIR

Kesedaran dan minat dunia untuk kembali ke pangkuan homeopati merupakan fenomenon terbaru dan bermula hanya di tahun-tahun 1970an. Antara faktor-faktor yang membawa kepada perubahan ini ialah:

·         kesedaran yang meningkat di kalangan masyarakat terhadap keupayaan ubat-ubat alopati, ketagihan dan kesan sampingannya;

·         kemunculan penyakit-penyakit baru yang menambahkan jumlah penyakit yang tidak dapat ditangani; 

·         kos ubat-ubatan dan rawatan konvensional yang semakin meningkat; 

·         keprihatinan masyarakat terhadap pemakanan, latihan jasmani dan pencegahan;

·         penggunaan binatang dalam kajian  dan penyelidikan perubatan moden;

·         kecenderungan masyarakat kembali kepada kesihatan tabii; dan

·         keinginan individu kepada perhatian dan mendapat rawatan secara holistik.

            Dengan kesedaran itu, tepatlah seperti kata-kata yang pernah disebutkan oleh Dr. Hahnemann tentang tugas seorang perawat, iaitu: “setinggi-tinggi dan satu-satunya tugas seorang doktor itu ialah mengembalikan orang-orang yang sakit kepada sihat.”

            Sementelah itu, sikap bergantung-harap kepada hanya satu sistem rawatan atau berputus asa apabila ilmu yang dimiliki oleh seseorang doktor, tabib, bomoh atau pengamalnya itu tidak dapat (Homeopati Perubatan Alaf Baru, ms 18 )

 

 Malaysia: Asal-usul Homeopathy

 

menyembuhkan satu-satu penyakit - merupakan suatu pegangan yang tidak tepat.

            Justeru RasuluLlah s.a.w. turut bersabda: “Berubatlah kamu, kerana Allah tidak menaruh sesuatu penyakit melainkan menyediakan  ubatnya, kecuali satu penyakit, iaitu penyakit tua.”

 

 

<Mohamed Hatta Abu Bakar. 1999. Homeopati Perubatan Alaf Baru. Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre,>

 

 Asal-usul Homeopathy Malaysia

 

Apendiks: Bermulanya Homeopathy di Malaysia.

 

   Apabila Dr. Burhanuddin menyatakan bahawa “Homeopathy telah lebih 50 tahun masuk ke Malaya” di dalam tulisannya, (Paper presented in 1962 - Burhanuddin al-Helmy (Prof. Dr.). 1985. Sepintas Lalu  Perkembangan Ilmu Perubatan. Majalah Perubatan Homeopathy, Jilid 1, Bil. 1. ms.: 31), ia bermakna homeopati telah sampai ke Malaysia sekitar tahun 1912. Orang-orang yang bertanggungjawab membawa masuk homeopathy ke Malaysia itu terdiri daripada pendatang dari India. Bagaimanapun, tiada rekod yang jelas siapa dan apakah ada unsur-unsur pengembangan homeopathy.

   Dr. Burhanuddin sendiri yang merantau ke India untuk belajar falsafah,  telahpun mempelajari pelbagai bahasa dan ilmu perubatan homeopati sewaktu di sana. Ini dicatat di dalam 2 buah tulisan beliau. (Ibid. ms.31, selain itu beliau mencatatnya di dalam karya tasawuf beliau ) Ini bermakna apabila beliau kembali ke Malaysia sama ada pada tahun 1929 atau 1934, beliau turut membawa masuk perubatan homeopati secara sah. (Rashidah Ismail. 1969. Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Anak Melayu Pertama Mempelajari Homeopathy. Dewan Masyarakat, Disember 1969. ; Mohamed Hatta Abu Bakar HMD, Dr. Burhanuddin Tokoh Homeopati Unggul. Esei-esei Milenium Baru, 2004. Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre. )

Timeline sejarah & perkembangan homeopathy Malaysia seterusnys:

1934 - Dr. Burhanuddin memperoleh ijazah daripada Ismaeliah Medical college 1934

1937 - 1942 - Dr. Burhanuddin membuka Gedung Perubatan Homeopathy dengan bantuan Dr. Rajah.

1950 - Ketika dalam tahanan, beliau mulai menulis bahan-bahan pengajaran untuk program pendidikan homeopathy seterusnya.

1952/54 - Beliau mula mengumpul dan mengajar ilmu perubatan homeopati kepada 12 orang murid tidak termasuk Prof. Dr. Mohamad Yacob.

1961 - Dr. Burhanuddin dan murid-muridnya membentuk Persatuan Homeopathy Malaysia  (Homeopathic Society of Malaysia ) yang diisytihar secara rasmi pada 1961

1969 - Pada 25hb Oktober, Dr. Burhanuddin disahkan meninggal selepas menyumbangkan banyak bakti sama ada dalam lapangan politik, perjuangan kemerdekaan, agama mahupun homeopati.

1969 - Dr. Mohd Nor Noordin mengambil-alih jawatan Presiden Persatuan Homeopathy Malaysia.

1977 - Dr. Nik Omar memulakan Faculty of Homeopathy Malaysia sebaik saja pulang daripada Pakistan.

1979 - Persatuan Homeopathy Malaysia ditukarkan namanya kepada Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (PPHM).

1979 - Prof. Dr. Mohd Yacob menubuhkan Persatuan Perubatan Homeopathy Bumiputera Malaysia.

1984/5 - Dr. Nik Omar menubuhkan Persatuan Pengamal Perubatan Homeopathy Berdaftar Malaysia (3PHBM - MRHP).

1993 - Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia ditubuhkan.

1993 - Majlis Homeopathy Kebangsaan Malaysia (MHKM) ditubuhkan dan dapat menyatukan 2 persatuan utama homeopati.

1995 - Syarikat HBI Health & Homoeopathy Centre didaftarkan bagi menjana perkembangan informasi menerusi penerbitan buku-buku ilmiah homeopati dan laman virtual.

1998 - Satu kerjasama di antara Majlis Akademi Homeopathy Malaysia (MAhM) PPHM dengan Fakultas Kedoktoran, Universitas Sumatera Utara (USU) Medan, Indonesia telah dicapai untuk melahirkan graduan-graduan yang memegang Sarjana & Ijazah Perubatan Homeopathy.

2001 - Persatuan Iktisad Homeopathy Malaysia (POLYCREST) ditubuhkan.

2001 - Selepas Majlis Homeopathy Kebangsaan Malaysia (MHKM) dibubarkan, ditubuhkan pula Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM). Lima buah persatuan telah bergabung.

2002 - Persatuan Sains Perubatan Homeopathy Melaka didaftarkan.

2009 - Pada mac, diadakan satu seminar Ke Arah Pengiktirafan Pengajian Homeopathy di Malaysia di Hotel City Villa di mana dijemput semua institusi yang menawarkan kursus homeopathy mengambil bahagian - anjuran bersama MPHM, Bah. Perubatan Tradisional & Komplimentary (T&CM), KKM dan CUCMS.

2010 - Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS) menawarkan kursus ijazah Bachelor of Science in Homeopathic Medicine.

2011 - Pelajar-pelajar CUCMS dan semua ahli gabungan di bawah payung MPHM menyertai 1st International Conference on Homeopathy di PWTC, Kuala Lumput, Malaysia.

 

 

 

--------- o ---------

 

Hakcipta 1999 (CD Copyright 2005) Ó Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

 

 

 

 

 drhatta.com 2011