MENU

 

  PANDUAN PRAKTIKAL TERAPEUTIK HOMEOPATI

 


MENU Kandungan

 

 

KATA PENGANTAR PENERBIT

 

Sudah hampir satu abad ilmu perubatan homeopati diamalkan di Malaysia. Pelbagai tribulasi telah dihadapi oleh jaguh-jaguh homeopati dalam jatuh bangun memperkasakan homeopati dan meletakkan ilmu perubatan ini di tempat yang sewajarnya.

Sejak ilmu perubatan homeopati semakin diterima oleh masyarakat akademik sehingga kita dapat mengeluarkan graduan homeopati yang diiktiraf ijazahnya, khususnya melalui Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS), tentulah semakin terserlah keperluan-keperluan yang harus tersedia bersama-sama dengan program Bachelor of Homeopathic Medical Science (BHMS).

Salah satu daripada keperluan itu ialah persiapan menyediakan prasarana seperti kelengkapan-kelengkapan bagi kemudahan pelajar-pelajar homeopati. Antara kelengkapan itu ialah buku-buku teks dalam bahasa ibunda dan buku-buku rujukan yang boleh membantu para pelajar dalam pelayaran yang panjang mempelajari ilmu yang asing bagi mereka di peringkat persekolahan.

AlhamduliLlah. Di sinilah kami, HBI Health & Homoeopathy Centre, lahir dalam rangka usaha memberi sumbangan dan impak bermakna. Meskipun sebelum ini, sebahagian masyarakat melihat bahawa buku-buku terbitan kami bagai biasa-biasa sahaja, tetapi jika diteliti daripada segi kepelbagaian tajuk-tajuk buku yang kami terbitkan, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas tujuan setiap penerbitan yang kami buat.

Apabila terbitnya buku paling asas yang menjadi tulang belakang ilmu perubatan homeopati dalam bahasa yang boleh memandu pelajar, iaitu Organon Perubatan Homeopati pada tahun 2017, suatu sinar baru mulai terpancar daripada kedut-kedut kesamaran dalam pembelajaran Organon of Medicine. Penghasilan buku tersebut merupakan satu anjakan yang sangat besar dalam sejarah penerbitan HBI selama dua dekad. Kami yakin para pelajar yang mengharungi pancaroba pembelajaran peringkat ijazah dapat menghirup udara kefahaman dengan lebih aman dan jernih dengan penerbitan Organon dalam bahasa indah mereka.

Kini, kami terbitkan sebuah lagi buku yang dinanti-nantikan oleh ramai peminat homeopati. Buku ini juga mempunyai maksud dan membawa tingkatan yang berbeza daripada buku-buku sebelumnya. Sasaran utama ialah kepada pelajar-pelajar homeopati dan para pengamal. Fokusnya adalah khusus kepada panduan ilmu terapeutik homeopati.

Meskipun mungkin pada pandangan zahir penerbitannya nampak seperti tergesa-gesa. Tetapi waktu penerbitan buku ini tepat sekali, sesuai dengan permintaan peminat dan sesuai dengan keperluan akademik semasa. Bahkan pastinya, buku ini memberi satu lagi tambahan rujukan buat semua peminat buku dan homeopati.

Sebelum mengundurkan diri, tidak lupa kami rakamkan ucapan terima kasih kami kepada Tn Hj Zainul Azmi bin Ahmad, Presiden Majlis Perubatan Homeopati Malaysia (MPHM), kerana sudi melihat sebahagian draf manuskrip buku ini, lantas memberi teguran dan kritikan akhir yang membantu membina format buku Panduan Praktikal Terapeutik Homeopati seperti yang dapat ditatap pada hari ini.

Akhir sekali, kami mohon agar sambutan berterusan terhadap buku-buku keluaran HBI ini dapat digandakan dengan sama-sama mempromosi kelebihannya. Kami percaya masih banyak kekurangan dalam isi dan cara persembahan bahagian penerbitan HBI. Hal itu dapat sama-sama kita perbaiki melalui saranan-saranan positif bagi menambahbaik setiap keluaran baru. 

Sekian.

 

Pengurus

HBI Health & Homoeopathy Centre

Bukit Changgang, Banting,

SELANGOR DARUL EHSAN.


  

 

Sumbangan Konsultan: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.