MENU

 

  PANDUAN PRAKTIKAL TERAPEUTIK HOMEOPATI

 


MENU Kandungan
 


 

 

SEJAMBAK BUNGA KENANGAN

 

Assalamu’alaikum wa rahmatuLlahi wa barakatuh,

 

Keputusan untuk melahirkan buku terapeutik ini muncul bagaikan tunas di hujung ranting. Walaupun sudah ramai sahabat menyarankan beberapa waktu dahulu, saya cuba lari daripada topik itu kerana ingin mengelakkan pengamal-pengamal baru atau klien bergantung kepadanya. Justeru, saya lebih senang menulis mengenai kesihatan secara umum dan menceritakan mengenai penyakit, lantas memasukkan sedikit sahaja unsur-unsur terapeutik.

Satu perkara lagi, ilmu terapeutik adalah satu daripada modul kursus Sijil Perubatan Homeopati HBI, yang dikendalikan oleh Malaysia Homeopathy Virtual Institute (MHVI) sejak 2001. Pada peringkat awal, saya kendalikan kursus itu secara online. Kemudian saya kompilasikan dalam bentuk eBuku serta menghantar modul kursus melalui eBuku secara maya. Dalam eBuku itu, saya masukkan secara langsung soalan-soalan untuk dijawab oleh klien.

Jika di dalam modul itu terdapat perbincangan 40 jenis penyakit beserta remedi sahaja, kini dengan lahirnya buku Panduan Praktikal Terapeutik Homeopati, maklumat ditambah menjadi lebih 110 entri tajuk dengan saranan remedi bagi tiap-tiap kumpulan simptom penyakit. Pembaca amat beruntung kerana mendapat bahan yang banyak pada harga yang sangat murah berbanding ilmu dalam kursus MHVI.

Perbezaannya hanyalah justeru di dalam kursus online atau melalui eBuku MHVI pelajar boleh bertanya, terdapat soalan-soalan latihan praktikal dan ujian yang jawapannya akan diperiksa. Di akhir kursus empat modul itu pula, jika lulus, pelajar akan diberikan Sijil Perubatan Homeopati HBI.

Satu perkara lagi ialah buku ini mengandungi saranan remedi berasaskan pengalaman, nota-nota rujukan dan buku-buku yang ditulis oleh homeopath atau doktor perubatan homeopati yang sudah dikenali. Dalam hal ini ada topik-topik yang boleh dirujuk silang. Umpamanya, topik ‘kolera’ dan ‘taun’.

Di dalam saranan remedi di bawah topik ‘taun’ saya petik saranan daripada Dr. Teew, tetapi bila dirujuk di bawah entri‘kolera’ saya kutip daripada buku-buku secara bebas. Demikian juga dalam topik ‘afta’, ‘ulser mulut’ atau ‘sakit kerongkong’, pembaca boleh saling rujuk saranan remedi yang boleh jadi sama, hampir sama atau berbeza. Sama ada ianya remedi sama atau berbeza, remedi itu pastilah berpandukan simptom yang jelas seperti dinyatakan.

Buku ini belum sempurna dan mungkin banyak kekurangannya. Sahabat yang sudah lama berkecimpung dalam perubatan homeopati tentu lebih arif. Namun saya memberi komitmen untuk menambahbaik buku ini jika diberi kesempatan pada masa akan datang. 

Akhir sekali, saya doakan mudah-mudahan buku ini menjadi sebahagian daripada rangkaian amal dan memberi manfaat yang berguna kepada semua pembaca. Juga saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada sekalian sahabat yang jauh dan dekat yang sentiasa memberi sokongan dan dukungan dalam setiap penerbitan HBI.

Buku ini merupakan kesinambungan dan sebagai sejambak bunga kenangan perjalanan saya dan HBI dalam sejarah meniti rona-rona kehidupan dunia homeopati dan penerbitan.

 

Salam hormat dan ikhlas,

 

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

HBI Homeopathy Consultant

Bukit Changgang,

1 September 2019.

Bersamaan 1 Muharram 1441.


  

 

 

Sumbangan Konsultan: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.