Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

 

KEJUJURAN DALAM AMALAN PERUBATAN HOMEOPATI

(Esei HBI - HOMEOLIBRARY)

 

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

[11 Mei 2017]

PENGENALAN:

Isu Asal

            Saya tertarik dengan kata-kata Tn Hj (DrH) Zainul Azmi bin Ahmad, Presiden Majlis Perubatan Homeopahy Malaysia (MPHM) yang mengatakan bahawa ada di antara pengamal mengenakan caj RM15 sahaja kepada pesakit untuk sebotol penawar homeopati. Beliau atau sebahagian pengamal menganggapnya tersangat murah dan mengandaikan pengamal ini merupakan pengamal sambilan yang mungkin mempunyai pendapatan lain selain daripada membuka klinik dan memberikan rawatan.

Kemudiannya dalam sesi forum bersama ahli yang hadir pada hari Mesyuarat Agung Tahunan itu, saya menyuarakan supaya pengamal berlaku jujur dalam praktiknya. Kejujuran itu bukan sahaja dalam mengenakan caj kepada pesakit, harus jujur juga dalam preskripsi dan memberi khidmat nasihat. Bahkan jika pengamal mempunyai produk sebagai bisnes sampingan, pengamal itu harus jujur dalam memberikan maklumat berkaitan ubat, harga, keberkesanannya, pengiklanan, dan bahkan dalam semua aspek dalam bisnesnya.  

Berapa Kos Penawar/Ubat

        Jika saya mulakan dengan bertanya kepada sahabat pengamal dan persatuan, berapakah kos ubat (lihat gambar) yang saya sertakan di sini? Apakah RM15 itu terlalu rendah atau terlalu tinggi? Jika seorang pengamal mengenakan caj RM50 untuk satu konsultasi, lalu beliau campur RM15 harga ubat, kos yang perlu dibayar oleh pesakit sudah RM65 bagi satu rawatan.

Ada pengamal mengenakan caj RM30 bagi sebotol penawar homeopati yang dipreskripsi. Dalam preskripsi yang diberikan kepada seorang pesakit itu, terdapat 3 jenis remedi yang diberikan kepada pesakit, salah satunya penawar biokimia. Dengan caj RM30 setiap botol dan caj konsultasi sebanyak RM50, pesakit kena bayar RM140 kepada pengamal yang dipanggilnya doktor. Sahabat boleh beritahu saya wajar ke tidak anda caj untuk seorang tua daripada kampung dengan caj RM140?

Di sini saya ingin beri satu contoh sahabat berbangsa India yang praktis homeopati. Bagi seorang pesakit yang datang merawat, beliau akan caj RM50 bersama dengan satu remedi homeopati. Ini satu contoh yang sangat menarik perhatian saya, meskipun saya tidak pula bertanya beliau apakah beliau ada memberi preskripsi lebih daripada satu remedi? 

Sahabat. Ini adalah contoh biasa dan sederhana yang saya berikan. Saya ada mendapat maklumat berkaitan seorang sahabat yang pernah bekerja bersama-sama dengan saya bahawa apabila beliau ingin menghantar anaknya ke sebuah pusat rawatan homeopati kerana anaknya menghadapi trauma akibat suaminya yang kemalangan jalan raya, beliau merasa terperanjat dan amat terkejut sekali. Apabila saya bertanya kenapa, katanya pengamal itu ingin caj rawatan bagi anaknya sebanyak RM200 atau RM300 bagi satu treatment. Apakah caj yang demikian wajar? Berapa lama tempoh konsultasi sehingga pengamal itu hendak mengenakan caj kepada pesakit sebanyak itu?

Ini hanya beberapa contoh yang saya kira munasabah untuk para sahabat dan persatuan/majlis fikirkan. Penetapan nilai atau harga boleh dibuat, tetapi walau apa keadaan sekalipun, ia tertakluk kepada kes. Kerana itu sebagai pengamal, beliau tidak harus diikat oleh peratuan persatuan semata-mata, sebaliknya sebagai pengamal beliau juga harus ada kesedaran, kejujuran dan keprihatinan terhadap kemampuan dan kuasabeli pesakit/pelanggan.  

Isu Rawatan Dalam Amalan Homeopati 

            Satu isu yang berkaitan dan penting ialah, pengamal menjalankan praktik homeopati mengikut kefahaman masing-masing, kaedah masing-masing dan mengguna budibicara masing-masing. Apakah ada kriteria yang jelas terhadap mana-mana kaedah rawatan bersama dengan cajnya? dan apakah peraturan yang menentukan nilai caj itu mengikut standard yang ditetapkan oleh persatuan/majlis?

Bagi seorang pengamal yang mengguna sistem radionik untuk memberikan rawatan homeopati. Kaedah ini sesuai, cepat, nampak canggih dan boleh menangani puluhan pesakit untuk satu-satu hari. Kaedah ini mungkin relevan untuk pusat rawatan homeopati yang mempunyai ramai pesakit atau banyak panel institusi. Pengamalnya tidak perlu membuat konsultasi yang panjang tetapi katakan beliau caj RM15 bagi satu remedi dan biasanya beliau akan memberi 2 hingga 4 jenis remedi dengan caj konsultasi minimum RM20.

Sahabat ya, dengan caj minimum sahaja, pusat rawatan ini boleh mendapat RM50 bagi seorang pesakit dan bila terdapat 20 orang pesakit sehari beliau sudah memperoleh pendapatan RM1,000 untuk sehari. Wajar atau tidak? Ini saya rujuk kepada pusat rawatan yang menjadi panel institusi tertentu. Saya yakin pusat homeopati di Kajang dan Zuhairni di Kg Bharu umpamanya, berpotensi mendapat pendapatan lebih daripada ini.

Sahabat boleh mengatakan jumlah itu kecil. Kos sewa premis dan gaji seorang pekerja seribu sebulan itu adalah beban dan risiko yang terpaksa ditanggung, namun masih kecil peratusannya berbanding dengan perolehan sebuah klinik yang maju. Tapi wajarkah seorang pengamal mengatakan RM15 sebotol itu satu jumlah yang kecil untuk dikenakan kepada pesakit? Beritahu saya, berapa kos sebotol ubat yang pengamal itu preskripsi sendiri? (Bukan remedi Dr. Recwkeg atau lelainnya). Apakah sahabat fikir RM30 sebotol itu paling wajar? ...lalu bagi seorang pesakit kalian caj RM100 seorang?

Wajarkah bagi kes-kes penyakit biasa @ akut? Murahkah? Bagaimana dengan sifat empati pengamal yang dianjurkan terhadap pesakit yang kurang berkemampuan?

Sahabat, jika amalan homeopati turut mengamalkan pengasingan di antara (i) Rawatan dan prekskripsi doktor, dengan (ii) jualan ubat di kaunter farmasi homeopati - seperti yang mungkin bakal dilaksanakan dalam amalan perubatan alopati, apakah yang akan berlaku?

Jika demikian, pengamal homeopati hanya akan bergantung kepada hasil seharian daripada konsultasi, diagnosis dan rumusan preskripsi sahaja. Agak-agak berapa hasil perolehan rawatan seorang pengamal sehari? Semua hasil keuntungan akibat jualan atau caj remedi (yang kalian caj begitu tinggi) sudah hilang dan menjadi keuntungan milik farmasis. Kalian mahu begitu jadinya?

Sahabat ya.

Itu baru suatu contoh pembahasan bagi sebuah pusat rawatan yang menggunakan kaedah preksripsi mengikut simptom-simptom tertentu, kes-kes akut, konsultasi pendek dan menggunakan mesin. Namun inilah bentuk pusat rawatan yang banyak kedapatan di negara kita.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang pakar dalam amalan homeopati. Keadaannya tentulah tidak sama dengan pengamal yang menggunakan kaedah klasikal, mengguna repertori, mengambil kes-kes kronik dan besar serta membuat konsultasi yang panjang. Selain konsutasi yang panjang, nasihat-nasihat yang relevan dan susulan rawatan yang konsisten diperlukan. Jika kita hendak meletakkan kadar, mungkin pengamal seperti ini boleh mengenakan caj sekurang-kurangnya RM200 untuk satu sesi.

Tetapi isunya ialah berapa ramai yang mengamal kaedah klasikal secara total? Kes-kes kronik dan rumit seperti yang diambil Dao' Dr. Suriyakhatun (seperti yang boleh disaksikan dalam posting Rakan FBnya) harus mempunyai caj standard yang berbeza. Di sini, saya berpendapat wajar kita @ persatuan membuat klasifikasi di antara pengamal yang biasa/normal dan yang pakar. Yang pakar dan boleh mengambil kes-kes yang berat, persatuan boleh meletakkan kadar yang berbeza atau lebih tinggi.

Di sini bukan tujuan kita hendak membeza-bezakan pengamal yang membuka pusat rawatan, tetapi sistem ini harus ada pembahagian kelas atau tahap kepakaran seseorang pengamal. Hanya pengamal-pengamal yang berkelayakan, yang mengambil kes-kes tertentu (tetapi bukan wewenang), dan diiktiraf oleh persatuan wajar mengenakan caj seumpama ini.

Ini adalah sedikit pandangan saya secara peribadi. Ia boleh dibincang dengan panjang lebar di peringkat jawatankuasa persatuan atau Majlis Perubatan Homeopati.

Masalah Tatatertib Pangamal

            Masalah yang berhubung dengan salah-laku, amalan, berlebihan caj, salah preskripsi, salah nasihat, dan penipuan sangat banyak. Bagi pengamal yang tidak jujur, kesalahan-kesalahan seperti ini tentu sekali lumrah kerana memang tujuannya adalah tidak baik. Mereka ini sebenarnya tidak layakpun mendapat gelaran pengamal homeopati. Tetapi bagi pengamal yang jujur, mereka wajar dipanggil, diberikan lebih banyak latihan atau diberi amaran bagi kes-kes tata-tertib. Mereka juga harus atau wajar mendapat bimbingan sempurna, selain daripada kursus peningkatan profesional dan memperoleh mata CPD.

Antara beberapa kesilapan atau kesalahan yang boleh dianggap kesalahan tata-tertib ialah:

1. Memberi banyak remedi dalam rawatan bagi satu kes penyakit. Sebagai contoh, saya sendiri pernah jumpa pengamal memberi sampai 4 atau 5 remedi untuk satu atau dua masalah pesakit. Dan di antara ubat/penawar itu, ada hubungan inimical dan antidot.

2. Memberi tiga atau lebih jenis ubat/penawar dalam dos tinggi bagi menangani masalah pesakit. Selain dalam rawatan, mungkin juga tidak wajar seorang pengamal itu menggabung penawar (penawar kombinasi) dalam dos potensi 200 ke atas bagi menghasilkan satu jenama produk, seperti yang disebut oleh Presiden Majlis semasa Mesyuarat Agung Tahunan MPHM 2017.

3. Mengenakan caj berlebihan kepada pesakit. Umpamanya, memberi tiga jenis remedi dengan caj RM180 sedang konsultasinya pun hanya sekitar lima minit.

4. Memberi nasihat yang tidak konsisten dan berlawanan kepada pesakit. Dalam satu kes (berdasarkan posting dalam Rakan Homeopati), ada berlaku seorang pesakit buah pinggang dianjurkan supaya meminum air dalam kuantiti yang banyak dan diminta mengenepikan nasihat pihak hospital.

5. Merawat kes-kes kronik yang memerlukan rawatan berterusan daripada pihak hospital seperti dalam kes pesakit jantung, diabetes, buah pinggang, darah tinggi dan kes penyakit berjangkit yang berada pada tahap kronik.

 6. Menjual ubat-ubat tertentu (yang berupa ubat sampingan) kepada pesakit dan memasukkannya ke dalam bil pesakit, khususnya bagi pesakit yang syarikat atau majikannya adalah panel bagi pusat rawatan berkenaan. Saya pernah mendapat maklumat bahawa seorang pengamal di Kedah menjual ubat cerdas minda dan memasukkan nilai harganya dalam bil rawatan pesakit. Ini telah menimbulkan kemarahan pihak majikan pesakit berkenaan dan salah daripada segi praktik rawatan klinik.

7. Meminta pesakit menghentikan rawatan berterusan (bagi penyakit kronik) daripada hospital secara semerta selepas sahaja pesakit bertemu dengan pengamal dalam sesi konsultasi. Dalam kes pesakit darah tinggi, bila rawatan homeopati diberikan dan ubat-ubat hospital dihentikan, terdapat beberapa kes di mana tekanan darah tinggi pesakit tidak turun-turun. Akibatnya, pesakit menghadapi risiko diserang masalah lagi kronik, sedangkan bila pesakit berkenaan kembali ke hospital, keadaan pesakit menjadi semakin rumit serta memberi imej yang tidak baik kepada homeopati itu sendiri.

Untuk makluman, saya sendiri pernah merawat kes-kes pesakit darah tinggi, tetapi bagi keadaan berikut: (i) bila pesakit mengalami alahan atau sudah tidak dapat terima ubat hipertensi hospital walaupun sudah ditukar sampai empat atau lima kali ubat hospital dan (ii) pesakit orang tua yang belum pernah dan enggan pergi ke hospital untuk rawatan sakitnya. Alhamdulillah kedua-dua kes berkenaan selesai dengan baik.

Saya menyarankan agar kita memberikan bantuan penawar tambahan sebagai bantuan kepada ubat-ubat alopati, tetapi tanpa menghentikan pengambilan ubat-ubat homeopati, khususnya di peringkat awal di mana kesan preskripsi penawar homeopati belum diketahui sama ada memberikan respons yang positif atau sebaliknya.

8. Pengamal yang tiada pengetahuan yang lengkap berkaitan dengan homeopati tetapi memberi rawatan atau berpura-pura menjadi bomoh kepada satu keadaan pesakit. Ini boleh masuk ke dalam kategori penyamaran, penipuan atau berbohong bagi kepentingan peribadi atau tujuan tertentu.

9. Pengamal yang memberi vaksin homeopati bagi menggantikan vaksin wajib yang diberikan oleh pihak kerajaan. (isu vaksin ini akan cuba diulas dalam sesi yang lain). Buat masa ini, kita harus bersatu dengan prinsip yang dipegang oleh Majlis Homeopati dan juga akur kepada amalan perubatan alopati yang menjadi perubatan arus perdana yang disahkan oleh kerajaan. Urusan pesakit yang enggan divaksinkan itu adalah urusan peribadi pesakit dan bukan urusan pengamal homeopati.

10. Pengamal yang bukan ahli pengamal tetapi berterusan memberi rawatan homeopati.

                Mungkin pembaca atau sahabat homeopati boleh senaraikan lebih banyak lagi contoh-contoh kesalahan selain daripada yang tersenarai dalam artikel ini. Kami alu-alukan tambahan di dalam komen artikel ini di bawah sekali, melalui nama fb. 

Kelayakan dan Kejujuran Pengamal Homeopati

            Dua perkara ini adalah sangat penting. Yang pertama berkaitan dengan pendidikan dan pengesahan. Yang kedua berkaitan dengan akhlak, sikap, dan amalan individu pengamal yang sukar dikawal. Ia bergantung hampir sepenuhnya kepada integriti seorang pengamal.

Untuk isu kelayakan, sijil dan dan ijazah mungkin pihak Maajlis boleh atur sijil/ijazah daripada institusi mana yang boleh diterimapakai. Selain daripada CUCMS, apakah sijil/diploma yang dikeluarkan oleh persatuan boleh diterima. Ia mungkin juga boleh diterima, tetapi tidak boleh dipakai kerana masalah kemahiran dan kecekapan pengamal.

Persoalan pengamal bertauliah tetapi gagal memiliki kemahiran yang dipaparkan oleh Organon di dalam beberapa para Organon tentu tidak sedikit. Contohnya dalam para 3, disebutkan:

“Seorang doktor itu dianggap benar-benar pengamal seni kesembuhan dan benar-benar faham bagaimana merawat secara jitu dan rasional sekiranya dia faham perkara-perkara seperti apa yang boleh disembuhkan dalam penyakit bagi setiap kes individu (pengetahuan tentang penyakit - petunjuk), apa yang boleh disembuhkan oleh ubat-ubat tertentu (ilmu mengenai kuasa-kuasa penawar), serta bagaimana menggunakan ubat terhadap apa yang dia temui sebagai morbid dalam diri pesakit mengikut prinsip-prinsip yang betul, agar kesembuhan menyusul.”

“Ini termasuk bagaimana menyesuaikan apa yang menjadi penyakit bagi pesakit dengan penawar yang paling sesuai (pilihan remedi, penawar yang ditunjuki), demikian juga dari segi cara penyediaan yang tepat dan kuantiti yang diperlukan (dos yang betul), serta masa yang sesuai boleh diulangi dos.”

(Aforisme 3, Organon)

Dr. Hahnemann juga menyambung pada para yang sama sebagaimana berikut,

“...mengetahui halangan-halangan kepada kesembuhan dalam setiap kes dan sedar bagaimana membuangnya - agar dengan itu pemulihan menjadi kekal. Kemudian barulah dia merupakan orang yang mengetahui bagaimana merawat secara bijak dan rasional, dan dialah pengamal seni kesembuhan yang sebenar.”

Dr. Hahnemann menyatakan seorang pengamal homeopati itu juga harus tahu mengenai apa-apa yang boleh mengganggu kesihatan termasuk tata-cara penjagaan kesihatan dan kebersihan yang boleh membawa kepada kehadiran penyakit, begitu juga dia harus tahu bagaimana merawat dan mengeluarkan punca yang menyebabkan sakit itu. Justeru beliau memasukkan di dalam para 5 Organon:

“Bagi membantu usaha-usaha menyembuhkan, doktor itu juga patut mengetahui secara terperinci apa-apa yang menyebabkan timbulnya penyakit akut dan apa-apa yang membawa kepada penyakit kronik yang boleh disusur daripada latar belakang sejarah (pesakit), supaya beliau dapat menemui punca asasnya, yang umumnya adalah disebabkan oleh miasma kronik. Dalam penyiasatan seperti ini, dia harus melihat daripada segi konstitusi fizikal (terutama bagi penyakit kronik), karakter moral dan intelek, pekerjaan, cara hidup dan tabiat, hubungan keluarga dan sosial, usia, fungsi seksual dan sebagainya.”

(Aforisme 5, Organon)

Satu lagi persoalan ialah sejauh mana pengamal kita memahami Organon? Apakah yang difahami dengan keperluan kepada menguasai (bukan setakat mengenali) penawar-penawar homeopati dan pengetahuan terhadap simptom-simptom pesakit? Suatu catatan atau rumusan ringaks disebut oleh Dr. Hahnemann pada para berikut::

“Sekarang tidak lagi diragukan bahawa penyakit yang menjangkiti manusia mengandungi kumpulan simptom-simptom tertentu, dan ianya hanya boleh diketepikan dan ditukarkan kepada keadaan sihat dengan menggunakan bahan ubat yang mampu menghasilkan simptom-simptom morbid yang serupa. Justeru, operasi penyembuhan mengandungi persoalan-persoalan berikut:

I. Bagaimana doktor itu boleh mengenalpasti apa yang perlu diketahui demi untuk menyembuhkan penyakit?

II. Bagaimana dia boleh mengetahui mengenai instrumen-instrumen yang sesuai bagi menjamin kesembuhan penyakit tabii, iaitu kuasa patogenik ubat-ubatan?

III. Kaedah penggunaan agen morbid buatan (ubatan) yang bagaimanakah paling sesuai bagi menyembuhkan penyakit tabii? Yakni, bagaimanakah kita boleh guna ubat itu dengan berkesan untuk menyembuhkan sesuatu penyakit.” 

(Aforisme 71, Organon)

Baiklah. Setakat ini sejauh mana yang pengamal kita benar-benar kuasai?

Sekarang kita beralih kepada isu kejujuran pengamal. Selain kejujuran, kita harus pastikan apakah pengamal kita faham akan misi seorang doktor atau pengamal, yang diragkum dalam para 1 Organon:

“Setinggi-tinggi cita-cita dan tugas seorang doktor itu adalah mengembalikan sakit kepada sihat sebagaimana yang dikehendaki.”

Catatan yang diberikan oleh Dr. Hahnemann ini cukup ringkas tetapi padat, dalam dan penuh bermakna. Jadi, sejauh manakah yang difahami oleh pengamal kita yang dikatakan bertauliah?

Fahami betul-betul tugas seorang doktor? Apakah yang hendak disembuhkan itu ialah "penyakit" atau "pesakit"? Apa yang dimaksudkan "sebagaimana yang dikehendaki"? (Rujuk pula para 2)

Sahabat ya. Walaupun wang dan ringgit itu penting, kita juga patut membaca keseluruhan Organon dan pastikan di mana ada catatan Dr. Hahnemann berkaitan kewangan. Kita tidak dapat nafikan perkara WANG ini merupakan tuntutan wajib masa kini, terutama kerana inilah sahaja kerja pengamal yang menjalankan praktik sepenuh masa. Jadi harus ada habuannya. Namun, sesuatu habuan itu mestilah ada juga hadnya (limitation). Jika ada caj kita yang tinggi dan sepadan, harus juga ada caj yang bersifat welfare kepada pengguna yang berbeza (khususnya pesakit yang miskin).

 Justeru, Majlis atau persatuan homeopati berperanan meletakkan had-had yang sesuai supaya pengamal boleh survive. Tetapi dalam pada itu, jangan lupa kebajian pesakit, yang menjadi target dalam rawatan. Ini bererti jika pengamal itu seorang yang pakar, cajnya tinggi-tinggi, maka harus dituntut juga "rekod-rekod CSR (Community Sosial Responsibility) pengamal". Rekod ini juga harus diwujudkan dan pengamal harus mempunyai tanggungjawab sosial juga.

  Di dalam terjemahan "Organon Perubatan Homeopati", saya selitkan kesimpulan nota Dr. Hahnemann yang ingin mengingatkan kita kembali tentang tugas utama seorang doktor, iaitu hanya untuk memberi kesembuhan melalui kaedah homeopati - justeru bayaran bagi rawatan tidak lagi penting. Malah beliau menyarankan jika kos remedi homeopati boleh disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan demi kebajikan anggota masyarakat, tanpa mengira miskin ataupun kaya, maka itu adalah yang terbaik. (lihat para 272)

 Rumusan itu saya saringkan secara bebas daripada kenyataan Hahnemann ini,

" Until the State, in the future, after having attained insight into the indispensability of perfectly prepared homoeopathic medicines, will have them manufactured by a competent impartial person, in order to give them free of charge to homoeopathic physicians trained in homoeopathic hospitals, who have been examined theoretically and practically, and thus legally qualified. The physician may then become convinced of these divine tools for purposes of healing, but also to give them free of charge to his patients - rich and poor."

 Saya masukkan di sini bukan untuk menganjurkan kita memberi rawatan percuma, sebaliknya ialah supaya kita mendapat mesej Dr. Hahnemann yang amat simpati, prihatin dan empati terhadap pesakit. Kita belum mempunyai sebarang hospital homeopati. Jika kita punyai, dan anda semua dibayar gaji, tentulah hasrat Dr. Hahnemann ini boleh tercapai.

Rumusan dan seruan penutup saya untuk artikel pendek ini ialah, "Marilah sama-sama kita bersikap jujur dan berakhlak mulia dalam amalan perubatan homeopati. Dengan akhlaq mulia, kita akan terus kekal hebat dan disanjung walaupun tiada peraturan yang mengongkong."

Sekian. Wa Salam.

 

----------------------------------------------------------------

Tawaran Paling Menarik daripada HBI

 Buku Organon Perubatan Homeopati ialah RM60.00. Bersama dengannya kami juga akan memberikan eBuku Organon. eBuku itu hanya mengandungi hasil saringan dalam Bahasa Malaysia. Tetapi jika pembaca ingin rujukan lain Organon dalam eBuku, mereka harus membayar sebanyak RM30 lagi sebagai tambahan.

Pengguna yang mahu eBuku sahajapun harus membayar RM60.00 untuk satu CD atau eBuku, dan membayar RM90.00 jika inginkan bahan-bahan tambahan dalam eBuku yang kami terbitkan.

Kami juga menawarkan eBuku yang dinamakan sebagai e-Pengamal. Harganya RM350. Hubungi kami di nombor 019-6750544 atau 010-3035123. Salam daripada kami. Bantu HBI untuk sama-sama majukan homeopati.

Referens:

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
huzib123@gmail.com

 


Sumber:

Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2016