Organisasi 
            Homeopati Pertama
            Persatuan 
            pertama yang diwujudkan selepas homeopati diperkenalkan di Tanah 
            Melayu dikenali dengan nama Persatuan Homeopathy Malaya (Homeopathy 
            Association of Malaya). Ia ditubuh 
            dan didaftarkan pada tahun 1961 sehinggalah ianya ditukar namanya 
            kepada Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (PPHM) semasa di 
            bawah pimpinan Prof. Dr. Mohd Nor Noordin.
              Pada tahun 1979, satu 
            lagi pertubuhan homeopati ditubuhkan iaitu Persatuan Perubatan 
            Homeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM). Pengasas persatuan ini 
            merupakan orang yang amat dekat dengan Dr. Burhanuddin al-Helmy, 
            malah ada yang menyebutkan beliau sebagai seorang anak didik Dr. 
            Burhanuddin, iaitu Prof Dr. Muhammad Yaakub. Ia ditubuhkan di Johor 
            Bahru bagi tujuan menggabungkan ramai anak-anak murid beliau yang 
            bertebaran di pelbagai negeri di Malaysia yang menuntut ilmu 
            perubatan daripada beliau.
              Dua pertubuhan ini 
            menjadi pertubuhan utama kerana keduanya adalah yang terawal 
            ditubuhkan berbanding dengan yang lain. Kedua-duanya dianggap saling 
            mempunyai pertalian justeru ikatan mahaguru pimpinan kedua-dua 
            persatuan ini bertitik paksi kepada Allahyarham Dr. Burhanuddin yang 
            meninggal pada tahun 1969.
              Begitu jua dari segi 
            semangat dan matlamat memajukan perubatan homeopati tulin 
            menyebabkan kedua persatuan ini mudah untuk duduk semeja dan dibawa 
            berbicara. Justeru tidak hairanlah, dua buah persatuan ini sahaja 
            yang bersetuju ke a rah penubuhan satu payung bagi memaju dan 
            mengembangkan homeopati.
            Majlis 
            Homeopathy Kebangsaan Malaysia
              Atas kerjasama kedua 
            persatuan inilah maka mula lahirnya apa yang dikenali sebagai Majlis 
            Homeopathy Kebangsaan Malaysia pada 11 April 1993, bertempat di UTM 
            Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dirasmikan oleh Tim Menteri Kesihatan, 
            YB Dato’ Dr. Farid Ariffin.  Sesetengah pengamal atau peminat 
            homeopati yang masih baru tidak mengenali Majlis Homeopathy 
            Kebangsaan Malaysia (MHKM) melainkan Majlis Perubatan Homeopathy 
            Malaysia (MPHM) yang ada hari ini.
              Majlis ini tidak 
            menjadi payung sebagaimana sepatutnya kerana keenggangan dua 
            persatuan homeopati yang wujud pada masa itu untuk bergabung. 
            Kedua-dua persatuan itu ialah Persatuan Pengamal Perubatan 
            Homeopathy Berdaftar Malaysia (3PHBM) dan Persatuan Doktor 
            Homeopathy Malaysia.
              Dua tokoh utama yang 
            lantang bersuara ke arah kesatuan gabungan homeopati yang pertama 
            ini ialah Allahyarham Prof. Dr. Mohd Nor Noordin dan Prof. Dr. Haji 
            Muhammad Yaakub, tanpa menafikan usaha keras daripada exco PPHM dan 
            PPHBM. Selepas selesai perasmiannya, suatu seminar Syarahan 
            Burhanuddin al-Helmy telah diadakan di Kota Bharu pada 11 Jun 1994  
            dan penghantaran wakil MHKM ke Persidangan Liga Homeopathy Asia di 
            Bangla Desh (juga pada tahun 1994)
              Di tengah-tengah 
            rancak mengusaha memajukan homeopati itulah pada bulan Disember 
            1994, semuanya tersedak apabila Prof. Dr. Mohd Noor Nordin 
            menghembuskan nafasnya yang terakhir. Bagaimanapun, kita difahamkan 
            seminar dan mesyuarat agung MPHM yang pertama yang dijadualkan pada 
            16 April 1995 tetap dijalankan.  
              Pada waktu itu, 
            dilaporkan rakan homeopati dari Singapura dan Thailand turut hadir. 
            Selepas itu, dua orang wakil MHKM juga telah dibawa menyertai 
            rombongan Kemenerian Kesihatan Malaysia ke Indonesia pada Julai 
            1997. Mereka yang terlibat ialah Dr.H Haji Mohamad Mohd Noor dan Dr. 
            H. Muhammad Osman Nasir.
              Atas keperluan untuk 
            membawa semua persatuan homeopati di bawah satu bumbung, 
            pertemuan-pertemuan dilakukan lagi. Antaranya ialah perjumpaan pada 
            10 April 1997 di pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia Jalan 
            Damansara, Kuala Lumpur.
              Di dalam laporan Buku 
            Cenderama MPHM 2002, dinyatakan bahawa antara sebab tiada 
            persetujuan dalam penggabungan di bawah MHKM ialah kerana bangkangan 
            daripada wakil Persatuan Pengamal Perubatan Homeopathy Berdaftar 
            Malaysia (3PHBM), selain tindakan Persatuan Doktor Homeopathy 
            Malaysia yang tidak menyertai.
              Selepas pertemuan 
            pada hari itulah, baru kemudiannya kita saksikan penubuhan Majlis 
            Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) seperti yang ada pada hari ini. 
            Dan itupun, tertubuhnya selang 3 tahun selepas pertemuan bersama 
            dengan Kementerian Kesihatan Malayisa.     
            
            
            Isu Utama Perlunya Majlis Gabungan
             
            
            Majlis 
            Homeopathy Kebangsaan Malaysia (MHKM) telahpun berusaha mengadakan 
            hubungan baik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tujuan 
            mendapatkan pengiktirafan dan meningkatkan taraf sistem perubatan 
            homeopati. Namun usaha itu tidak berhasil sepenuhnya meskipun 
            layanan daripada pihak Kementerian adalah positif.
            
              Isu utama ialah 
            berkaitan pengawalan terhadap amalan para pengamal homeopati sedia 
            ada, masalah pensijilan dan pengiktirafan serta penerimaan Kerajaan 
            dan Sistem Perubatan Arus Perdana terhadap saingan Perubatan 
            Alternatif, khususnya homeopati.  
            
              Pihak Kementerian 
            Kesihatan tentu sekali tidak berpuas hati apabila banyak amalan 
            dalam perubatan alternatif meliputi kepercayaan kepada perkara ghaib 
            dan jampi serapah, wujud adab dan cara rawatan yang menyalahi etika 
            (salah laku), penggunaan ubatan herba yang berisiko tinggi dan tidak 
            ada suatu peraturan standard yang boleh mengawal perkembangan ini 
            dalam keadaan masyarakat mulai mendekati kembali sistem alternatif.
            
              Pada waktu itu 
            pandangan Kementerian Kesihatan pula tidak jelas dan tidak memiliki 
            ilmu yang mencukupi bagi menangani masalah berkaitan aliran 
            perubatan yang dilupai dan dipinggirkan. Ini terbukti apabila semua 
            amalan perubatan alternatif yang sedia ada dikumpulkan di bawah satu 
            persatuan sahaja, seperti bilamana tertubuhnya Persatuan 
            Complementary Medicine yang menggabungkan semua amalan perubatan 
            alternatif selain daripada Perubatan Konvensional.
            
              Sementara itu, 
            para pengamal dan persatuan homeopati cukup sedar tentang perkara 
            ini. Ia bukan saja merupakan suatu masalah dalam sistem perubatan 
            tradisional yang berasaskan tahayul dan tidak saintifik sahaja, 
            malah dalam seluruh sistem perubatan alternatif atau komplimentari. 
            
            
            
              Keseragaman dalam 
            mempraktikkan amalan dan modul pembelajaran (serta kelulusan) yang 
            standard tidak dapat dilaksanakan bukan sahaja di kalangan ahli yang 
            berdaftar dengan MHKM, malah lebih-lebih lagi di kalangan mereka 
            yang berada di bawah persatuan yang tidak menyertai gabungan.  
            
            
              Selepas usaha 
            beberapa pihak untuk menggabungkan kesemua persatuan homeopati di 
            Malaysia gagal disebabkan hanya dua sahaja persatuan yang bersatu 
            atas nama Majlis Homeopathy Kebangsaan Malaysia, maka satu usahasama 
            telah dibuat di antara wakil-wakil persatuan homeopati dan 
            Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencari titik pertemuan. Di 
            samping itu, mereka juga menyampaikan hasrat ketidak-sesuaian 
            apabila homeopati digabungkan bersekali dengan refleksologi, 
            chiropractic, akupunktur, herba dan sebagainya.
            Penubuhan Majlis 
            Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM)
            
              Dengan itu, pada 
            21 Januari 2001, sebuah majlis baru telah dirasmikan penubuhannya. 
            Inilah yang kita kenali hari ini sebagai Majlis Perubatan Homeopathy 
            Malaysia (MPHM). Gabungan baru ini telah dirasmikan oleh Timbalan 
            Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Hj. Sulaiman Mohamad.
            
              Dalam ucapan Dato’ 
            Seri Dr. Hj. Sulaiman Mohamad ketika merasmikan Mesyuarat Agung 
            pertama MPHM di Hotel City Villa, Kuala Lumpur, beliau menasihatkan 
            para pengamal homeopati supaya menjalin hubungan baik di antara ahli 
            dan persatuan.
            
              Katanya, memimpin 
            persatuan haruslah mengecilkan jurang perselisihan antara 
            ahli-ahlinya, sambil mengutamakan kemajuan persatuan yang dipimpin. 
            Ahli-ahli pula bertanggungjawab memilih jawatankuasa di kalangan 
            orang yang benar-benar berwawasan.
            
              Di peringkat awal 
            penubuhan itu, kesemua enam persatuan yang bergabung telah 
            memberikan komitmen yang jitu. Persatuan yang dimaksudkan termasuk 
            Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (PPHM), Persatuan Perubatan 
            Homeopathy Bumiputra Malaysia (PPHBM), Persatuan Pengamal Perubatan 
            Homeopathy Berdaftar Malaysia (3PHBM-MRHP), Persatuan Doktor 
            Homeopati Malaysia (PDHM), Persatuan Iktisad Homeopathy Malaysia (POLYCREST) 
            dan Persatuan Sains Perubatan Homeopathy  dan Pengkaji Penyakit 
            secara Homeopathy Melaka (PSPH).
            
              Di dalam senarai 
            jawatankuasa yang dipimpin oleh Presiden pertamanya, Dr.  
            
            Mohamed Hairudin B. Abdul  Hamid 
            termasuklah: Dr.  
            
            Zuharni Bin Abdul Ghani (Tim Pres), Prof. Dr.Nik Omar Bin Nik Daud 
            (N. Pres 1), Prof.Dr.Ali Bin Talib (N. Pres 2), Dr. Ungku Mohd.Noor 
            B.Ungku Mahmood (s/u agung) dan Dr.Haji Mohamed B.Mohd.Noor (Bendahari).
            Matlamat MPHM
            
              Di antara matlamat 
            badan payung Majlis Perubatan Homeopati Malaysia ialah:
            
              - 
              
              Untuk menetapkan garis panduan pendaftaran, setiap pengamal perlu 
              mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu perubatan homeopati yang 
              diiktiraf oleh Badan Induk dengan pengawasan oleh pihak 
              Kementerian yang berkenaan.  
 
              - 
              
              Untuk pengamal mengikut syarat dan tatasusila dalam etika 
              perubatan supaya mudah dikawal kegiatan mereka dan 
              bertanggungjawab di atas segala aktiviti pengamalannya terhadap 
              pesakit-pesakit mereka.  
 
              - 
              
              Untuk sistem perubatan homeopati dapat melaksanakan perkara yang 
              tersebut di atas dan menjadikannya satu kerjaya yang dihormati, 
              serta pelajar-pelajar baru akan mempunyai keyakinan dalam memilih 
              bidang perubatan homeopati.  
 
              - 
              
              Seterusnya kita dapat membentuk satu profesion yang setanding 
              dengan profesion lain malahan bersedia membuat penyelidikan dan 
              meneroka kaedah-kaedah baru dalam memperbaiki lagi sistem 
              perubatan homeopati agar menjadi lebih maju serta dapat menjadi 
              pelopor homeopati moden dalam dunia ini.
               
 
              - 
              
              Untuk meningkatkan mutu dan imej profesional Pengamal Perubatan 
              Homeopati di negara ini.  
 
              - 
              
              Untuk memastikan pendaftaran semua Pengamal perubatan Homeopati 
              dan mengemaskini pendaftaran dari semasa ke semasa.
               
 
              - 
              
              Untuk merancang perkembangan kerjaya Pengamal Perubatan Homeopati.
              
              
 
              - 
              
              Untuk menyediakan peraturan dan syarat bagi Pengamal Perubatan 
              Homeopati Warga Asing yang hendak mengamalkan rawatan Perubatan 
              Homeopati di Malaysia.  
 
              - 
              
              Untuk menentukan kedudukan Pengamal Perubatan Homeopati yang tiada 
              kelayakan pendidikan secara formal (Kumpulan ini akan 
              diberikan latihan dan pendidikan lanjuran supaya mereka akan 
              menjadi Pengamal Perubatan Homeopati yang berkelayakan nanti)
              
              
 
            
            Perselisihan dan 
            Perkembangan
            
              Pada tahun 2003, 
            ketika Presiden Majlis yang baru dilantik iaitu Dr. Mohamed b Mohd 
            Noor daripada PPHBM, perpecahan di dalam MPHM tidak dapat dielakkan 
            lagi. Tiga persatuan telah mengambil jalan sendiri. Menurut Dr. Nik 
            Omar di dalam laman(blog)nya, perpecahan itu adalah disebabkan oleh 
            pegawai yang terlibat di dalam Majlis telah menyimpang daripada 
            matlamat asal dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan.
            
              Kendatipun, 
            homeopati terus berkembang di bawah payung MPHM ke arah 
            memartabatkan perubatan homeopati menerusi konsep kerjasama dengan 
            Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM), Kementerian 
            Kesihatan Malaysia. Pada waktu sama, kita tidak menafikan kemajuan 
            yang dibawa oleh persatuan lain yang tidak bernaung di bawah MPHM 
            melalui kaedah masing-masing.
            
            Namun hingga ke hari 
            ini, adalah jelas sekali bahawa Presidennya yang terkini Dr. H. 
            Zainul Azmi Ahmad masih terus memberi komitmen terhadap janji dan 
            perubahan yang dijangka akan dibawa oleh T&CM dan Kementerian 
            Kesihatan.
            
            Polisi dan Dasar
            
            Justeru, dinyatakan 
            di dalam laman 
            mphm.org.my,   
            tentang polisi dan 
            dasarnya seperti berikut:
            
            
            AMALAN HOMEOPATHY
            
            Homeopathy 
            yang diamalkan di Malaysia adalah seperti mana yang diasaskan oleh 
            Dr Samuel Hahnemann serta pengamal homeopathy yang sealiran dengan 
            beliau dan juga konsensus Badan Homeopathy resmi antarabangsa.
            
            Adapun 
            amalan perubatan yang dikaitkan dengan homeopathy seperti 
            homeopuncture bukanlah amalan homeopathy tulen.
            
            
            PUSAT PENGAJIAN HOMEOPATHY  
            
            MPHM 
            bukanlah badan yang dilantik oleh pihak kerajaan untuk mengiktiraf 
            mana-mana pusat pengajian Homeopathy sama ada dalam atau luar 
            Negara.
            
            Badan yang 
            dilantik oleh kerajaan untuk tujuan ini ialah Malaysian Qualifying 
            Agency (MQA) Agensi Kelayakan Malaysia – Kementerian Pengajian 
            Tinggi. Pusat pengajian homeopathy tempatan mestilah berdaftar 
            dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan mendapat akreditasi daripada 
            MQA sebelum menawarkan kursus homeopathy.
            
            MPHM hanya 
            akan mengiktiraf pusat pengajian homeopathy yang diiktiraf oleh MQA 
            dan Kementerian Pengajian Tinggi sahaja  
            
            
            KEPERLAUAN MENJADI AHLI MPHM
            
            Menurut 
            risalah yang dikeluarkan oleh cawangan Inspektorat dan 
            Penguatkuasaan, Bahagian Perubatan Tradisonal Dan Komplementari (BPTK), 
            Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai badan pengamal telah 
            menjelaskan
            
            “Selaras 
            dengan keperluan Akta BPTK yang akan di kuatkuasakan, setiap 
            pengamal perlu mendaftar diri mereka dengan badan pengamal yang 
            dilantik sebelum membuat pendaftaran dengan KKM.”  
            
            Oleh kerana 
            MPHM adalah Badan Pengamal Yang Dilantik oleh KKM untuk 
            pengamal homeopathy, adalah wajar bagi seorang pengamal homeopathy 
            berdaftar dan menjadi ahli MPHM.
            
            
            KELULUSAN PENGAMAL HOMEOPATHY
            
            Sebelum 
            Rang Undang-undang Perubatan Tradisional Dan Komplementari (RUU PTK) 
            diluluskan oleh parlimen, pengamal homeopathy yang sedang 
            menjalankan praktisnya secara sepenuh masa atau sambilan di premis 
            homeopathy boleh berdaftar dengan e-pengamal Bahagian Perubatan 
            Tradisional Dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan 
            kelulusan homeopathy yang mereka miliki sekarang sama ada peringkat 
            sijil, diploma, ijazah atau selainnya dan daripada pusat pengajian 
            homeopathy tempatan atau luar Negara walaupun tidak diiktiraf oleh 
            Negara di mana kelulusan itu di keluarkannya.
            
            Pengamal 
            homeopathy yang mendapat no rujukan selepas berdaftar dengan e-pengamal 
            layak untuk menjadi ahli MPHM dan mendapat Sijil Amalan Tahunan(SAT).
            
            Selepas RUU 
            PTK menjadi akta, pengamal homeopathy yang sudah mendapat no rujukan 
            E-pengamal dan berumur kurang dari 50 tahun semasa akta ptk di 
            kuatkuasakan serta memiliki kelulusan homeopathy daripada institut 
            pengajian homeopathy yang tidak diiktiraf daripada pihak kerajaan 
            layak menduduki Peperiksaan Kelayakan Kebangsaan Untuk Pengamal 
            Homeopathy (National Qualifying Examination for Homeopathic 
            Practitioners).
            
            Lulusan PKK 
            ini akan diberi pendaftaran penuh oleh KKM
            
            
             Perkembangan Mutakhir
            
            
                
            
            
            Mengikut bulletin BPTK, sebuah lagi persatuan homeopati menyertai 
            MPHM pada tahun 2008. Persatuan baru itu ialah
            
            
            
            Persatuan Homeopathy Dan Biokimia Malaysia (PHDBM). Namun setakat 
            ini di dalam senarai persatuan dalam laman web MPHM, persatuan ahli 
            terdiri daripada PPHM, PPHBM, Polycrest and PPHS.
            
            
              Jika ditinjau tentang kerjasama bagi mendapatkan akreditasi, 
            proses itu telah diikuti oleh MPHM mengikut kemampuan dan rentak KKM 
            dan keperluan Kementerian Pengajian Tinggi, yang mana ini tidak 
            disertai oleh persatuan homeopati di luar daripada MPHM yang 
            bergerak secara sendirian.  
            
            
              Pada 30 Mac 2009, MPHM telah menganjurkan Seminar Ke Arah
             
            
            Pengiktirafan Pengajian Homeopati Di Malaysia dengan
            
            kerjasama Bahagian Perubatan 
            Tradisional dan Komplementari, KKM, Wakil National Council For 
            Homeopathy (Govt of Pakistan), Cyberjaya University College 
            of Medical Sciences dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kem. 
            Pengajian Tinggi.
              Pada 
            9 November tahun yang sama sebuah akhbar arus perdana, Berita Harian, 
            telah menyiarkan artikel mengenai kesediaan CUCMS (Cyberjaya 
            University College of Medical Science)  menawarkan ijazah 
            Sarjana Muda Sains Perubatan Homeopati (Bachelor of Homeopathic 
            Medical Science [Honours]). Suatu berita yang dinanti-nantikan 
            justeru persatuan-persatuan homeopati secara sendirian tidak mampu 
            menyediakan dana bagi mendirikan institusi yang disyaratkan oleh 
            Kementerian.  
              
            Kemudiannya, pada 16 Disember 2009, CUCMS dan MHKM juga terlibat 
            dalam Hari Bertemu Pelanggan sempena Ulang Tahun ke 5 BPTK di Dewan 
            Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplemenari, Kementerian 
            Kesihatan Malaysia, Kuala Lumpur. Di majlis berkenaan, para 
            pengunjung diedarkan dengan pamflet modul-modul kursus yang perlu 
            diambil oleh mahasiswa perubatan homeopati di CUCMS apabila ianya 
            bermula.
            
            
            
            
              Seperti dilaporkan oleh The New Straits Times pada 18 April 2010, 
            akhirnya MPHM (Malaysian 
            Homeopathic Medical Council) 
             telah menandtangai MOU (Memorandum of Understanding ) dengan 
            Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS) bagi 
            memulakan arena baru dalam dunia pendidikan homeopati. Presiden 
            CUCMS telah diwakili oleh  Datuk Prof. Dr. Abu Abdullah, sementara 
            Dr. H Mohamed Mohd Noor selaku Penasihat Majlis telah mewakili 
            Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM).  
              Keputusan CUCMS 
            itu bertepatan kerana sistem perubatan homeopati sememangnya 
            diiktiraf dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat dunia. 
            Dilaporkan bahawa Dekan Fakulti, Dr. Ahmad Asmadi Yusof memaklumkan 
            kesediaan CUCMS menawarkan kursus ijazah Bachelor of Homeopathic 
            Medical Science (BHMS) adalah kerana ia merupakan amalan 
            perubatan yang sudah tersebar luas di dunia hari ini dan orang awam 
            harus mendapat khidmat rawatan yang lebih berkualiti.  
              Sungguhpun 
            tidak semua pengamal atau persatuan homeopati merestui perkembangan 
            terbaru, usaha-usaha kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia 
            dan CUCMS tetap diteruskan oleh MPHM. Tanpa sokongan semuapun, 
            majoriti pengamal yang bernaung di bawah MPHM telah memberikan 
            sokongan padu apabila seminar 
            
            1st International Homeopathy Conference 
            
            
            di PWTC, Kuala Lumpur (Malaysia) 
            pada 15 – 17 Julai 2011 baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa.
            
            
              Demikian teraju dan peranan MPHM dalam rangka usahanya menegakkan 
            homeopati supaya seiring dengan kemajuan perubatan arus perdana. Di 
            samping itu, kita juga ingin saksikan lebih jauh lagi mengenai apa 
            kesannya perkembangan mutakhir ini terhadap program Majlis Akademi 
            Homeopathy Malaysia yang dimulakan oleh PPHM sejak lebih sedekad 
            lalu. (Ini belum sempat kami ulas lagi...)