Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting homeopathy all Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

 

PROF. DR. BURHANUDDIN SEBAGAI TOKOH GURU

(SEMPENA HARI GURU 16 Mei 2012)

 

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

HOMEOPATI DALAM KENANGAN
[Artikel yang cuba mengangkat kembali Dr. Burhanuddin ke tempat sewajarnya. Ditulis sempena sambutan Hari guru 16 Mei 2012.  Kami mengalu-alukan sebarang komentar daripada sekalian pengunjung]

 

Hari ini kami ingin menobatkan Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy sebagai Tokoh Guru. Suatu anugerah yang belum terfikirpun oleh para peminat, sejarawan, ilmuan, pengamal homeopati maupun ahli politik Negara.

Mengapa kami terfikir begitu? Tentulah ada rasional atau munasabahnya, khususnya apabila kita semua membuat kajian dan melihat semula peranan dan sumbangan beliau sepanjang sejarah perjuangan dan hala tuju kehidupan beliau.

Latar Belakang

Untuk memendekkan perbicaraan, kita juga harus tidak lupa bahawa Dr. Burhanuddin adalah seorang guru atau pernah menjadi guru dalam perjalanan hidupnya. Sebagaimana telah terbukti, beliau pernah bertugas sebagai guru bahasa Arab di Madrasah Al-junied Al-Islamiah, Aljunied, Singapura.

Semangat Dr. Burhanuddin sebagai seorang guru membara begitu tinggi. Justeru, apabila beliau pulang daripada belajar di India dan mengembara ke Timur Tengah, beliau bukan saja bertugas sebagai guru, tetapi beliau melibatkan diri dalam perjuangan dan mengembangkan idea-idea politik serta kemudiannya mencari murid dan mengajar ilmu perubatan homeopati.

Pengasas Homeopati

Di dalam perubatan homeopati, beliau mempunyai impian menjadikan homeopati sebagai perubatan warisan bangsa dan menjadi antara sistem rawatan arus perdana. Kata beliau sewaktu ucapan pembukaan kuliah sulungnya, beliau menyatakan:

          “.......  saya berpendapat, ilmu  kedoktoran  homeopati ini adalah satu milik bangsa (national asset) yang dapat saya sembahkan menjadi  pusaka kekal buat negara yang merdeka kelak.”

         Meskipun  ilmu perubatan homoeopati tersangat baru dan pelbagai anggapan negatif terpaksa dihadapi, tetapi beliau menjelaskan betapa pentingnya menyemaikan ilmu kepada anak bangsa terutama  ilmu  berkaitan dengan kesihatan sebagai melengkapkan pengisian  kemerdekaan  suatu  bangsa.   Justeru beliau merangsang semangat anak muridnya dengan:

            “Oleh itu, saudara-saudara perintis adalah merupakan angkatan  yang  menjadi harapan bangsa di masa  akan  datang. Apa lagi ilmu kedoktoran ini adalah satu cabang ilmu mengikut aliran tabii semula jadi.  Oleh itu ia merupakan suatu sistem yang sejajar dengan kehendak nature.”

Pada tahap sekarang, amatlah tidak wajar apabila ada segolongan yang sedikit demi sedikit berusaha mengurangkan pengaruh dan kesan sumbangan Allahyarham Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy. Kita boleh tidak bersetuju namun amat tidak wajar demi untuk meningkatkan imej diri sendiri maka kita berusaha mengecilkan sumbangan dan ketokohan beliau yang jelas nyata.

Alasan Dan Sumbangan

Dalam hal ini, kami melihat beliau bukan setakat sebagai Tokoh Guru, sebaliknya merupakan Mahaguru dalam ilmu perubatan homeopati di Malaysia. Secara ringkas, dengan izin, di sini kami senaraikan sumbangan dan kelebihan beliau buat diangkat sebagai Mahaguru dalam ilmu perubatan homeopati di Malaysia.

1.    Beliau adalah pengasas dalam pendidikan homeopati di Malaysia apabila rekod sejarah menunjukkan bahawa beliau telah mulai mengajar 12 orang murid pertama pada tahun 1953/54. (Perubatan Homoeopati)

2.    Beliau telahpun membuat perancangan dengan menyediakan nota-nota sebelum memulakan pengajaran seperti nota Falsafah Perubatan Homeopati yang disediakan sewaktu beliau dalam penjara selepas ditangkap akibat peristiwa demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura dalam kes Natrah (Maria Hertogh).

3.    Ahli-ahli dalam ilmu-ilmu tertentu kerapkali menghasilkan karya ilmu. Dr. Burhanuddin juga telah menghasilkan tidak kurang daripada tiga buah buku homeopati (yang tidak dicetak di waktu itu) seperti Falsafah Perubatan Homeopati, Materi Medica dan Biochemistry. Dalam politik di mana beliau merupakan seorang pemimpin, beliau sempat menulis beberapa makalah seperti :

      Perjuangan Kita, 1946
•     Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947
•     Agama dan Politik, 1954, dan
•     Ideologi Politik Islam, 1957

4.       Dalam melaksanakan program pengajaran dan pembelaran seperti umumnya terdapat dalam sistem pendidikan di sekolah, Dr. Burhanuddin turut menyenaraikan buku-buku teks yang wajib dipelajari untuk melengkapkan khatam seseorang itu belajar homeopati. Dalam hal ini, beliau menetapkan buku-buku berikut: Teks yang digunakan dalam kuliah bagi generasi  pengasas pada  waktu itu terdiri daripada:  The Organon of Medicine (Hahnemann); Materia  Medica (Nash, Kent, Chauldry);  Philosophy (Kent); The Chronic Diseases (Hahnemann);  Muqaddimah (Ibnu  Khaldun) dan  termasuk juga  kitab Hadis Arbain. 

5.    Dr. Burhanuddin telah menjalankan kuliah-kuliahnya di tempat yang tetap dan dimaklumkan pada awalnya lokasi itu ialah di Health Centre (MHC) di 107, Jalan Sultan Singapura.  Pada tahun 1957 terdiri pula Dewan Kesihatan Melayu di Singapura dan Dewan Tata Hidup di Kuala Lumpur. Kuliah-kuliah di tempat lain disediakan mengikut perkembangan semasa dan atas inisiatif murid-murid beliau. Terkemudian, Dr. Burhanuddin juga membawa kuliah dan mengumpul pelajar di  Ehya Assharif  Gunung  Semanggol, Perak.

6.    Beliau merupakan penggerak kepada tertubuhnya sebuah  persatuan homoeopati  yang pertama di Malaysia yang dikenali dengan  nama “Persatuan Homoeopathy Malaya” (Homoeopathic Society of Malaya). Persatuan Homoeopathy Malaya didaftarkan secara rasmi  pada tahun 1961 di mana Presiden pertamanya ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri. Belum ada lagi sebarang persatuan seumpama itu di Malaysia pada waktu itu, sama ada didirikan oleh orang Melayu maupun bangsa asing.

7.    Dengan tertubuhnya persatuan itu  juga,  Dr. Burhanuddin mengesyorkan supaya pusat-pusat rawatan homoeopati ditubuhkan, di mana pusat-pusat itu  juga  boleh menjadi tempat latihan kepada pelajar-pelajar  homoeopati. Penubuhan pusat homeopati ‘dua dalam satu’ merujuk kepada usaha menjadikan pusat itu sebagai tempat memberikan rawatan dan pusat rekrut pelajar serta mengajar homeopati. Kaedah inipun bermula daripada idea Dr. Burhanuddin.

8.    Sebagai ahli Parlimen Besut (1959-1964), Dr. Burhanuddin juga banyak menyuarakan  isu-isu di dalam parlimen. Ini termasuk membawa isu homoeopati ke Parlimen semasa  beliau menjadi ahli parlimen.  Suaranya yang lantang membolehkan aktiviti mengembangkan ilmu perubatan  homoeopati bergerak  ke  seluruh negara lebih lancar. 

9.    Sejak dari awal lagi, Dr. Burhanuddin juga menjalin hubungan di peringkat antara bangsa. Ini berlaku bukan saja dalam kegiatan politik beliau, malah dalam amalan perubatan yang beliau ketengahkan. Kerana kegiatan-kegiatan Dr. Burhanuddin yang merentasi sempadan geografi itulah yang mewajarkan beliau menerima ijazah Doctor of Naturopathy (N.D) daripada School of Naturopathy, London dan Doctor of Divinity daripada International Academy Canada. Kita juga tidak harus lupa bahawa dalam keadaan di mana perhubungan pengangkutan dan komunikasi tidak  sebaik hari ini, beliau telahpun diterima sebagai ahli International Federation of Naturopath (I.F.N) dan Homoeopathic Physician Association (H.P.A., London).

10. Kita juga harus ingata bahawa bahan-bahan kuliah yang disediakan oleh Dr. Burhanuddin telah digunakan oleh murid-murid beliau dalam pengajaran perubatan homeopati selama beberapa dekad. Perkembangan perubatan homeopatipun diperluaskan oleh murid-murid (atau sahabat, merujuk kepada Dr. Mohamad Yacob) beliau, meskipun kita tidak menafikan pendatang terkemudian turut memberi sumbangan yang besar seperti Dr. Nik Omar dan beberapa pengamal yang lain.

Kenyataan yang dinyatakan di atas telahpun terlakar dalam tinta sejarah. Tidak siapa bisa mengubahnya. Sama ada kita berseminar, bermuzakarah, bertegang leher ataupun saling mengkritik, namun kita tetap akan sampai kepada keputusan yang sama berdasarkan fakta yang ada. Jika ada sumbangan yang lebih besar daripada beliaupun, kita boleh kembali duduk dan lihat  timeline sejarah bermula dan berkembangnya sistem perubatan homeopati ini di Malaysia. Jika kita buat begitu, saya percaya kita akan menemui titik kesepakatan yang sama.

Sekalipun kita berhasrat mengkedepankan Prof. Dr. Rajah sebagai orang yang pertama membuka klinik di Malaysia (tiada bukti kukuh Dr. Burhanuddin belajar daripadanya), tetapi kita akan berdepan dengan persoalan apakah sumbangan beliau kepada perkembangan homeopati di Malaysia? Di sana tidak ada sebarang data tentang sekolah apa dibuka, murid mana diajar, medal apa yang diperoleh dan seumpamanya jika ada sesiapa ingin bertekak dan bertegang leher ingin menobatkan individu itu sebagai Tokoh Homeopati di Malaysia.

Kesimpulan

Tuntasnya, semua harus bersetuju bahawa Dr. Burhanuddin merupakan Tokoh Guru atau Mahaguru Homeopati atau kalau diizinkan, kita nobatkan beliau sebagai Bapa Perubatan homeopathy di Malaysia.

Amat jelas sekali Dr. Burhanuddin merupakan seorang yang banyak membuahkan idea-idea yang bernas dalam perjuangan politik ataupun mengembangkan homeopati di Malaysia. Beliau juga bukan seorang yang semata-mata membawa dan mengajar ilmu. Bahkan beliau adalah seorang yang menyertakan teori dengan amalan praktiknya.

Dalam homeopati, beliau juga ada membuka kliniknya sendiri (walaupun tidak lama), dan turut membuat rawatan di rumah. Beliau banyak meninggalkan jasa kepada keluarga, rakan taulan dan masyarakat sehingga peninggalan beliau itu masih kita warisi. Bukankah demikian juga halnya dengan Dr. Samuel Hahnemann pengasas homeopathy dunia?

  Kami pasti bahawa jika kita semua ikhlas, semua kenyataan di atas tidak dapat dinafikan.

   

Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

Mohamed Hatta Abu Bakar. 1997. Perubatan homoeopati.  Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

Mohd Nor, Noordin (Prof. Dr.). 1993. Sejarah dan Falsafah  Ilmu Perubatan dan Peranan Perubatan Homoeopathy. Kertas kerja - sempena Gabungan PPHM & PHBM: 11 April.

Md. Dali Muin. (Prof. Dr.) 1985. Sejarah Penubuhan  Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia.  Majalah Perubatan  Homeopathy, Jil. 1: ms. 4-5.

http://theearlymalaydoctors.blogspot.com/search/label/Dr%20Amir%20Burhanuddin%20bin%20Ungku%20Muhammad%20Noor (view 16 Mei 2012)

http://www.homeolibrary.com/NewHomeo_2011/NEWS_HOMEOPATHY/SpreadHomeopathyMalaysia_HBI.htm (view 16 Mei 2012)

Virtual copyright © Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH) 2012