|
Aktiviti
Konsultan HBI

Konsultan HBI ialah Dr (H)
Mohamed Hatta Abu Bakar, yang mempunyai kelulusan akademik B.A daripada
Eastern Illinois University (1983) dan M.A. daripada Western Michigan
University (1985). Beliau melibatkan diri dalam perubatan homeopati
apabila mula mempelajarinya secara serius di Akademi Homeopathy Kuala
Terengganu di bawah bimbingan Dr. Teew Lian Eng pada tahun 1991.
Semasa bertugas di Banting, Selangor pada tahun
1992, beliau mendaftarkan diri dalam program Advance Diploma dengan
The British Institute of Homoeopathy, England menerusi B. Jain
Publishers, India. Beliau memperoleh DIHom (Diploma In Homoeopathy)
pada tahun 1994 dan kemudian terus melanjutkan pengajian sehingga memperoleh
HMD (Doctorate in Homoeopathic Medicine) pada tahun 1996. Pada ketika
itu, Dr. Trevor M. Cook merupakan Dekan pengajian homeopati bagi
The British Institute of Homoeopathy
Sebaik
sahaja HBI Health & Homoeopathy Centre ditubuhkan bagi tujuan
mengembangkan homeopati baik menerusi media cetak, secara maya, ceramah dan
khidmat rawatan, beliau terus menyertai
HBI. Jawatan beliau sebagai pengamal dan konsultan HBI berterusan sehingga hari ini.
Dalam pada itu beliau pernah menjadi penasihat kepada MH UMMI Sdn Bhd semasa
syarikat itu mengeluarkan produk Hi-Q dan MB-ED.
Mohamed Hatta Abu Bakar merupakan seorang
penulis yang prolifik dalam pelbagai bidang sejak di bangku sekolah. Beliau
pernah menulis artikel di dalam majalah Dian Diages dan Pengasuh sewaktu
bekerja dengan Syarikat Dian Sdn. Bhd, di bawah pimpinan Dato' Ustaz Yusoff
Zaky Yacob sebelum melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Dato' Ustaz
Yusoff Zaky Yacob merupakan kenalan rapat ayah beliau, Hj Abu Bakar bin
Omar.
Dalam
perubatan homeopati, beliau mula menulis banyak artikel, buku-buku dan
komentar mulai tahun 1994 lagi. Artikel beliau, baik dalam perubatan
homeopati ataupun mengenai isu-isu tertentu pernah disiarkan dalam majalah
Dewan Masyarakat, Dakwah, al-Islam, Berita Harian dan Utusan Malaysia.
Koleksi artikel homeopati beliau setiap bulan disiarkan di dalam majalah
Dakwah sekitar tahun 2000. Sebahagiannya telah disiarkan semula menerusi laman web Malaysia
Homeopathy
Cyber Library. Beliau juga pernah ditemubual oleh Utusan Malaysia pada
tahun 2002 untuk ruangan 'Keluarga'.
Tulisan beliau
yang pertama dalam bentuk buku, iaitu "Perubatan Homoeopati" diterbitkan
pada tahun 1997. Semenjak penerbitan buku yang pertama itu, beliau terus
menulis berkaitan ilmu perubatan homeopati sehingga berjumlah 9 buah
semuanya (setakat ini). Tulisan beliau bukan saja menjadi rujukan para pelajar
di universiti (boleh dilihat dalam senarai tugasan pelajar-pelajar
universiti), malah turut mendapat tempat di laman web Peranchis,
Homoeopathy International yang boleh dilayari menerusi
http://www.homeoint.com
sejak tahun 2003.
Beliau merupakan satu-satunya anak Melayu dari
Malaysia yang
karyanya tersiar dalam laman web bertaraf antara bangsa itu.
|