| 
           §
          1 
          Para
          1 Organon menyatakan bahawa 
          “Setinggi-tinggi
          cita-cita dan tugas seorang doktor itu adalah mengembalikan sakit
          kepada sihat sebagaimana yang dikehendaki.” 
          Untuk
          menjelaskan maksud beliau itu, nota kaki Para 1 menerangkan dengan
          terperinci supaya pengamal homeopati tidak tergelincir daripada
          matlamat sebenar, seperti yang berlaku kepada para doktor alopati.
          Justeru misi seorang doktor bukan untuk menghasilkan sistem-sistem
          dengan menghubungkait hipotesis dan spekulasi kosong berkaitan hakikat
          kehidupan dan asal-usul penyakit di dalam diri manusia (di mana ramai
          para doktor menghabiskan masa dan bakat mereka), demikian juga bukan
          matlamatnya untuk memberikan penerangan panjang lebar mengenai
          fenomena penyakit dan sebab-sebab langsung kehadirannya (yang akan
          selamanya tersembunyi - daripada pengetahuan manusia) yang diadun
          dalam bahasa yang sukar difahami dan ekspresi yang abstrak serta
          diperbesarkan - sehingga nampak seolah-olah sangat terpelajar dengan
          tujuan untuk mengagumkan mereka yang jahil - sedangkan manusia yang
          sakit merintih kesakitan memohon bantuan. 
          Kata
          Hahnemann seterusnya, “Kami rasa sudah cukuplah sudah melayani
          mereka yang merasa terpelajar (yang merujuk kepada perubatan
          teoretikal dan di mana darjah profesor diinstitusikan), dan sekarang
          telah sampai masanya semua yang menggelarkan diri mereka doktor
          menghentikan kerja menamatkan penderitaan manusia sejagat dengan
          semata-mata bercakap. Bahkan sekarang hendaklah bertindak dengan niat
          benar-benar ingin menolong dan menyembuhkan.” 
            
          §
          2 
          “Cara
          penyembuhan yang paling ideal ialah mengembalikan kesihatan dengan
          jalan yang cepat, lemah-lembut dan berkekalan, atau menyembuhkan
          penyakit secara keseluruhan dalam jangka masa pendek, dapat
          dipertanggungjawab serta paling tidak memudaratkan, menurut kaedah
          yang ma'kul.” 
          Penjelasan
          berkaitan para ini daripada mahaguru homeopati mengatakan bahawa:
          ‘jalan yang cepat’ (rapidly)  yang
          dimaksudkan oleh Dr. Hahnemann ialah “tanpa penangguhan yang
          tidak perlu, merugikan masa dan wang”. ‘Lemah-lembut’
          memberi erti melakukan “dengan mesra dan kasih sayang.”
          Sementara ‘berkekalan’ bermaksud “dengan tidak menekan simptom-simptom
          yang memungkinkan ia muncul kembali dalam apa bentuk sekalipun”. 
          ‘Keseluruhan
          penyakit’ merujuk kepada “bukan satu simptom, tetapi keseluruhan
          simptom-simptom”. ‘Paling tidak memudaratkan’ memberi erti menyembuhkan
          “tanpa kesan sampingan dadah (toxic) akibat daripada
          terlampau banyak ubat”, Dan akhirnya ‘kaedah yang
          ma’kul’ di dalam ayat tersebut membawa erti “dengan tidak
          menggunakan sihir atau kepercayaan karut, tetapi hendaklah
          mengikut cara yang saintifik”. 
            
          §
          3 
          “Seorang
          doktor itu dianggap benar-benar pengamal seni kesembuhan dan
          benar-benar faham bagaimana merawat secara jitu dan rasional sekiranya
          dia faham perkara-perkara seperti apa yang boleh disembuhkan dalam
          penyakit bagi setiap kes individu (pengetahuan tentang penyakit -
          petunjuk), apa yang boleh disembuhkan oleh ubat-ubat tertentu (ilmu
          mengenai kuasa-kuasa penawar), serta bagaimana menggunakan ubat
          terhadap apa yang dia temui sebagai morbid dalam diri pesakit mengikut
          prinsip-prinsip yang betul, agar kesembuhan menyusul.” 
          “Ini
          termasuk bagaimana menyesuaikan apa yang menjadi penyakit bagi pesakit
          dengan penawar yang paling sesuai (pilihan remedi, penawar yang
          ditunjuki), demikian juga dari segi cara penyediaan yang tepat dan
          kuantiti yang diperlukan (dos yang betul), serta masa yang sesuai
          boleh diulangi dos.” 
          Dia
          juga harus mengetahui bagaimana caranya menghilang kan idapan agar
          pesakit pulih sepenuhnya. Justeru, Dr. Hahnemann seterusnya
          menjelaskan bahawa sebagai pengamal seni kesembuhan yang sahih,
          akhirnya dia juga harus: 
          “...mengetahui
          halangan-halangan kepada kesembuhan dalam setiap kes dan sedar
          bagaimana membuangnya - agar dengan itu pemulihan menjadi kekal.
          Kemudian barulah dia merupakan orang yang mengetahui bagaimana merawat
          secara bijak dan rasional, dan dialah pengamal seni kesembuhan yang
          sebenar.” 
            
          §
          4 
          “Dia
          adalah pengamal dan pelindung kesihatan jika dia tahu mengenai apa-apa
          yang boleh mengganggu kesihatan, yang menyebabkan terkena penyakit dan
          tahu bagaimana membuang punca-punca yang menyebabkan pesakit itu tidak
          sihat.” 
          Jelasnya,
          Dr. Hahnemann menyatakan seorang pengamal homeopati itu harus tahu
          mengenai apa-apa yang boleh mengganggu kesihatan termasuk tata-cara
          penjagaan kesihatan dan kebersihan yang boleh membawa kepada kehadiran
          penyakit, begitu juga dia harus tahu bagaimana merawat dan
          mengeluarkan punca yang menyebabkan sakit itu. 
            
          § 5 
          “Bagi
          membantu usaha-usaha menyembuhkan, doktor itu juga patut mengetahui
          secara terperinci apa-apa yang menyebabkan timbulnya penyakit akut dan
          apa-apa yang membawa kepada penyakit kronik yang boleh disusur
          daripada latar belakang sejarah (pesakit), supaya beliau dapat menemui
          punca asasnya, yang umumnya adalah disebabkan oleh miasma kronik.
          Dalam penyiasatan seperti ini, dia harus melihat daripada segi
          konstitusi fizikal (terutama bagi penyakit kronik), karakter moral dan
          intelek, pekerjaan, cara hidup dan tabiat, hubungan keluarga dan
          sosial, usia, fungsi seksual dan sebagainya." 
          Di sini, Dr. Samuel Hahnemann sudahpun memberi pengenalan awal mengenai
          penyakit kronik, yang menunjukkan bahawa ianya adalah "causative"
          sifatnya, yang mana mungkin diperoleh sejak lahir (diperturunkan)
          ataupun dimelaratkan melalui cara lain (seperti akibat pembenaman).
          Pengenalan perkataan ‘miasma’ ini akan diikuti dengan pembicaraan
          panjang tentang pembahagian jenis penyakit di dalam aforisme atau para
          seterusnya di tengah-tengah buku Organon Perubatan). 
           * * * * * * * * 
          §
          200 Edisi
          5 dan 6 
          “Jika
          ianya (simptom-simptom lokal) masih ada bagi memimpin rawatan
          internal, remedi bagi keseluruhan penyakit mungkin dapat ditemui, dan
          jika remedi itu ditemui, jangkitan lokal yang berterusan ketika
          penggunaan dalaman (remedi) pasti menunjukkan bahawa kesembuhan belum
          lagi lengkap; namun jika penyakit itu sembuh ketika rawatan, ini akan
          merupakan bukti yang meyakinkan bahawa penyakit itu telah dihapuskan
          sepenuhnya, dan pemulihan yang dikehendaki daripada seluruh bahana
          penyakit telah dicapai dengan baik - kelebihan yang tidak dapat
          ditaksirkan (dalam usaha mencapai kesembuhan sempurna - edisi ke
          6).” 
            
          §
          201 Edisi
          5 dan 6 
          “Jelas
          terbukti bahawa apabila tenaga hayat insan itu dibebani dengan suatu
          penyakit kronik yang tidak dapat dikuasainya, ia akan  merancang
          membentuk penyakit lokal ke atas bahagian eksternal, semata-mata bagi
          satu tujuan, iaitu dengan cara meletakkan penyakit ini di tempat yang
          kurang berbahaya kepada nyawa insan, ia dapat mendiamkan penyakit
          internal yang berkemungkinan membahayakan organ-organ vital (dan
          mengelakkan pesakit daripada kehilangan nyawa), ....Jadinya, kehadiran
          jangkitan lokal mengunci penyakit internal buat sementara waktu,
          walaupun ia tidak mampu menyembuhkan ataupun mengurangkan secara
          material.” 
          “Walau
          apa sekalipun, jangkitan lokal tidak lain melainkan sebahagian
          daripada seluruh penyakit, tetapi sebahagian daripadanya bertambah
          melarat disebabkan oleh tenaga hayat yang memindahkannya ke bahagian
          lain tubuh yang kurang berbahaya (eksternal), supaya ia dapat
          meredakan penyakit dalaman (internal). Namun (seperti yang dimaklumkan
          sebelumnya) meskipun simptom lokal telah mengunci penyakit internal,
          tenaga hayat tidak mampu mengurangkan ataupun menyembuhkan seluruh
          penyakit. Sebaliknya, penyakit internal terus bertambah melarat secara
          perlahan-lahan dan Tabii (Nature) dihalang daripada
          terus-menerus menambah-beratkan simptom lokal sebagai ganti kepada
          kemelaratan penyakit internal.” 
          “Ulser
          lama pada kedua kaki bertambah melarat selagi psora internal tidak
          disembuhkan, kanker membesar selagi sifilis internal masih belum
          sembuh, ketumbuhan ketuat bertambah dan membesar walhal sikosis di
          dalam tidak sembuh-sembuh dan semakin sukar untuk disembuhkan,
          demikian juga seluruh penyakit internal berterusan tambah melarat dari
          masa ke semasa.” 
          Dr.
          Hahnemann membuat ulasan berikut terhadap perubatan alopati: Isunya
          ialah sekolah perubatan lama mengulang perkara yang sama, ketika ulser
          buatan timbul di bahagan luar, mereka mengunci penyakit kronik di
          dalam, sedangkan mereka tidak mampu menyembuhkan penyakit itu. Lebih
          daripada itu, mereka melemahkan dan memusnahkan kesihatan umum
          organisma lebih daripada apa yang dilakukan oleh tenaga hayat. 
            
          §
          202 
          “Sekarang
          sekiranya doktor sekolah perubatan lama memusnahkan simptom lokal
          menerusi aplikasi topikal remedi-remedi internal, dengan kepercayaan
          bahawa dia dapat menyembuhkan seluruh penyakit, Tabii (Nature)
          akan menggantikannya dengan merangsang penyakit dalaman dan
          simptom-simptom lain yang sebelumnya terpendam, menjadikannya melarat
          seiring dengan jangkitan lokal; dengan kata lain, ia membantu
          meningkatkan penyakit dalaman. Apabila keadaan ini terjadi, ia
          disebut-sebut (meskipun tidak tepat) bahawa jangkitan lokal telah
          dimasukkan kembali ke dalam sistem (tubuh) atau urat saraf oleh
          remedi-remedi eksternal.” 
             
          §
          203 
          "Setiap
          rawatan eksternal bagi simptom-simptom lokal mempunyai objektif untuk
          membuangnya daripada permukaan tubuh sementara penyakit miasma dalaman
          ditinggalkan tanpa sembuh, contohnya ialah: usaha membuang erupsi
          psora pada kulit menerusi bermacam jenis ointment, membakar kanker
          dengan kaustik dan menghapuskan kondilomata menggunakan pisau...;” 
          “Corak
          rawatan eksternal yang merosakkan yang diamalkan secara universal ini
          merupakan sumber (rawatan) prolifik bagi pelbagai penyakit kronik yang
          menjadi keluhan umat manusia; ia juga adalah satu daripada prosedur
          jenayah di mana perubatan dunia paling bersalah (dan harus
          bertanggungjawab). Namun inilah rawatan yang diterima sehingga hari
          ini, dan diajar oleh para profesional sebagai rawatan yang
          satu-satunya (ada).” 
          Dr.
          Hahnemann menambah di dalam notanya bahawa ubat-ubat internal yang
          diberikan bersama rawatan lokal hanya menyebabkan penyakit itu tambah
          melarat jika remedi-remedi itu tidak mempunyai kuasa menyembuhkan
          seluruh penyakit.
           
           Petikan kandungan buku Organon Perubatan Homeopati  |